TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH AL-MARHUM IBNI

SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

 

SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM KE-30 TAHUN 2023

 

PADA HARI SELASA:

 16 RABIULAKHIR 1445H / 31 OKTOBER 2023M

 

TEMPAT:

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.​

​​Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

  Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat berkumpul pada pagi ini di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-30 Tahun.

Tidak dapat disangkal, bahawa dalam tempoh tiga dekad ini, pelbagai cabaran telah diharungi untuk menguji kedayatahanan perkhidmatan awam.

Maka sehubungan itu, setiap penjawat awam hendaklah sentiasa peka dengan perubahan semasa, disamping tidak lupa mengharapkan petunjuk Allah Subhanahu Wata’ala dalam masa melaksanakan apa jua tugas dan tanggungjawab.

Juga perlu dimiliki ialah idea-idea baru sebagai penambahbaikan proses kerja, peraturan, system penyampaian dan penghasilan.

Begitu juga dalam kepimpinan, setiap pemimpin dikehendaki bijak dalam mempelopori potensi kerja, khasnya potensi teknologi digital, sebagai asas kepada transformasi perkhidmatan yang berimpak besar.

Mengenai transformasi perkhidmatan, Beta telah memperkenankan bagi peralihan sebahagian besar proses pengambilan tenaga kerja daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ke Kementerian-Kementerian, khusus bagi Bahagian dua ke bawah. Disamping untuk meningkatkan akauntabiliti, ia juga untuk mempercepatkan lagi pengisian kekosongan jawatan dengan memanfaatkan sepenuhnya Public Service Recruitment System atau PSCR yang sedia ada.

Beta juga ingin menekankan soal integriti perkhidmatan awam. Ia tidak boleh roboh, tetapi mesti sentiasa teguh. Kerana jika integriti roboh, maka pelbagai perkara negatif pasti akan berlaku, seperti penyelewengan untuk kepentingan peribadi, rasuah dan sebagainya, sedangkan yang kita mahu ialah sebuah perkhidmatan awam yang bersih, amanah dan berkesan.

Maka ke arah itu, satu pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Am atau ‘General Orders’ telahpun dilaksanakan dan akan dikuatkuasakan sedikit masa lagi. Pindaan ini dibuat adalah sesuai dengan keperluan semasa sambil terus menekankan aspek kesaksamaan dan ketelusan dalam semua tindakan.

Semua ini turut berkaitan dengan urustadbir perkhidmatan awam sendiri.

Juga turut penting ialah, Kementerian dikehendaki untuk memperinci penyediaan pelan masing-masing, sebagai dokongan kepada kajian mengoptimakan Sumber Manusia atau Manpower Optimisation Plan, yang diterajui bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi ketika ini.

Ini tidak terkecuali, kita menekankan pembangunan kapasiti dan kompentensi setiap warga kerja, dengan kemahiran, pengetahuan dan nilai-nilai asas yang diperlukan.

Pada tahun ini, satu anugerah baru telah diperkenalkan sempena 30 tahun sambutan Hari Perkhidmatan Awam. Beta menyambut baik dan menghargai sokongan Jawatankuasa Penilai Anugerah Penghargaan Khas Jasawan Perkhidmatan Awam kerana mengetengahkan Paduka Ayahanda Beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, selaku tokoh besar “Arkitek Brunei Moden.”

Antara peristiwa penting dalam pemerintahan Al-Marhum ialah termaktubnya Perlembagaan Brunei dalam tahun 1959, yang membawa Brunei Darussalam berkerajaan sendiri.

Sesungguhnya, legasi kepimpinan Al-Marhum telah melakar pelbagai kemajuan yang dapat kita nikmati sehingga ke hari ini, khasnya bagi bidang-bidang utama, seperti Ugama, Pendidikan, Pertahanan, Pentadbiran Awam dan Kebajikan untuk rakyat dan penduduk.

Ternyata, kedayatahanan sektor awam negara ini adalah berpaksikan iltizam dan sumbangan Al-Marhum yang berimpak besar kepada kestabilan, kemakmuran dan kemajuan seumumnya.

Maka pada hari ini, Selasa 16 haribulan Rabiulakhir 1445 hijrah bersamaan 31 haribulan Oktober 2023 masihi, mengambil sukut baik sempena 30 tahun sambutan kali ini, Beta dengan sukacita memasyhurkan, bahawa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam adalah TOKOH JASAWAN NEGARA. Semoga Allah Subahanahu Wata’ala merahmati roh Al-Marhum dengan menghimpunkan Baginda ke dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang saleh.

Untuk akhirnya, kepada penerima-penerima Anugerah, Beta mengucapakan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih di atas usaha dan dedikasi yang telah dicurahkan. Semoga penganugerahan ini akan mencetuskan semangat motivasi dan sumber inspirasi kepada seluruh penjawat awam.

Demikian juga penghargaan kepada setiap penjawat awam yang masih berkhidmat dan yang telah bersara di atas sumbangan dan jasa bakti mereka kepada pembangunan negara, dan juga kepada semua Jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.