TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1446H / 2024M​
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

​Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita menyambut dan menyemarakkan lagi bulan Rabiulawal sempena hari kelahiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam.

Antara tujuan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam diutus ialah untuk menyempurnakan akhlak, sebagaimana Allah Subhanahu Wata’ala memperakui Baginda itu merupakan contoh terbaik untuk diikut seperti yang disebut di dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang kira-kira tafsirnya:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di akhirat serta banyak berzikir mengingat Allah.”

​Beta mengambil maklum, tema sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini berbunyi: ‘Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.’

Tema ini amatlah sesuai untuk dihayati, berdasarkan cabaran-cabaran masa kini memerlukan akal dipelihara. Kerana akal yang sihat menjamin kehidupan berkat.Jika akal sihat, semua akan berjalan dengan baik, lancar dan berjaya. Sebab itu gejala mental adalah menjadi keutamaan untuk dirawat.

Akal adalah kurnia terbesar Allah Subhanahu Wata’ala. Ia sangat penting untuk kelangsungan hidup. Sebab itu Ugama Islam telah menyediakan panduan bagaimana memelihara akal supaya tetap sihat, jangan terganggu atau terjejas, iaitu antaranya telah mengharamkan segala benda yang memabukkan yang boleh merosakkan akal, seperti meminum arak, menyalagunakan dadah dan sebagainya.
 
Termasuk semua perkara yang boleh membawa kepada ketagihan, seperti melayari aplikasi media secara tidak terkawal, menyalurkan maklumat-maklumat tidak sahih dan melihat imej atau klip video yang tidak bermoral. Ini semua boleh mengganggu fungsi akal yang sebenar.
 
Melihat senario yang sangat membimbangkan ini, Beta berharap pendidikan, khasnya pendidikan ugama hendaklah berperanan secara berkesan dalam menyemai akhlak mulia malalui pendidikan, dari peringkat rendah sehingga keperingkat tinggi.
 
Dalam hubungan ini, para ibubapa dan penjaga serta lain-lain yang berkepentingan, di kehendaki supaya peka dengan setiap perkembangan kognitif dan kesihatan mental anak-anak dan pelajar-pelajar serta bersikap lebih prihatin terhadap kegiatan mereka dalam melayari capaian internet, sehingga kemudahan teknologi digital ini tidak disalahgunakan.
 
Memang dalam era digital masa ini, cabaran semakin besar, terutama dengan kehadiran media sosial yang kadang-kadang menyebarkan maklumat bercanggah dengan ajaran Islam aliran ahli Sunnah Wal Jama’ah. Oleh itu, kita perlu memperkuat sistem ‘immune’ atau kekebalan diri dengan pendidikan ugama. Ini penting, supaya kita tidak terpengaruh oleh ideologi dan pemikiran yang tidak selari dengan dasar Kerajaan Beta.

Di samping itu, Beta juga berharap agar aktiviti-aktiviti dakwah yang dikendalikan oleh pihak-pihak berkenaan akan dapat disampaikan secara berhikmah, sehingga mampu untuk menjadi benteng menghalangi ajaran-ajaran sesat dari disebar melalui pelbagai bentuk aplikasi media.
 
Alhamdulillah, Kerajaan Beta melalui semua agensi penguatkuasaan, terus meningkatkan usaha menangani ajaran sesat dan mengawal fahaman Pluralisme, extremisme dan radikalisme supaya tidak tersebar di negara ini. Ini penting bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan.
 
Untuk akhirnya, bersempena dengan memperingati Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alahi Wasallam ini, maka marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda, sebagai usaha menagih syafa’at di dunia dan di akhirat.
 
        Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalmu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
 
​* * *