TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
TAHUN 1442 HIJRAH / 2020 MASIHI
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita wajib bersyukur, di atas limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala yang mengizinkan kita terus dapat meraikan Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1442 Hijrah.
Tidak diragukan lagi, pada tahun ini, kita di Brunei, seperti juga dimana-mana, sedang berhadapan dengan ujian luar biasa penularan wabak koronavirus. Namun Brunei alhamdulillah, berkat kesepaduan dan cara kita menangani penularan ini, Allah Subhanahu Wata’ala telah menyelamatkan kita dan negara.
Maka dengan itu, dapatlah kita menjalani kehidupan biasa dengan selesa dan harmoni.
Beta sangat menyanjung tinggi sikap rakyat dan penduduk yang mengamalkan budaya sabar dalam menghadapi ujian getir ini dengan terus mematuhi arahan dan peraturan kerajaan.
Budaya sabar adalah diantara akhlak agung Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda terkenal sebagai sangat penyabar. Dari umur remaja sampai ke dewasa, Baginda tidak putus-putus diuji dengan pelbagai rintangan dan tentangan oleh penentang-penentang Baginda. Namun berkat kesabaran menghadapinya, Baginda akhirnya berjaya membangun negeri dan ummah yang sangat digalati.
Cara Baginda membangun, sangat dikagumi. Sebelum membangun negeri, Baginda terlebih dahulu membangun peribadi, sehingga berjaya melahirkan peribadi-peribadi besar seperti, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina ‘Umar, Sayyidina Othman, Sayyidina ‘Ali dan lain-lain lagi para sahabat.
Apa makna membangun peribadi itu di sini? Ertinya ialah, mengisi peribadi-peribadi tersebut dengan akhlak-akhlak yang mulia, seperti akhlak adil, akhlak berani, akhlak sabar, akhlak ta’at, akhlak amanah dan seumpamanya.
Apabila peribadi-peribadi itu telah padat berisi dengan akhlak-akhlak yang mulia ini, maka barulah Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam mula bergerak membangun negeri dengan dibantu dan didokong oleh peribadi-peribadi besar yang kaya dengan akhlak-akhlak mulia itu.
Pada hemat Beta, apa yang Beta sebutkan ini, dapat dikaitkan dengan tema sambutan kita pada tahun ini, iaitu: ”Membangun Dengan Akhlak Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.”
Kita memang selamanya akan berada dalam era membangun. Pembangunan yang kita lakukan tidak akan ada titik noktahnya. Maka dalam situasi begini, sangat sesuailah kita menjadikan akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam itu sebagai suluh atau panduan kita dalam membangun, supaya semua pembangunan yang kita ada mengikut landasan ugama.
Satu contoh, antara akhlak-akhlak Rasulullah ialah ‘mengharamkan rasuah’. Sekiranya akhlak ini dipakai dan berjalan mantap dalam negara, maka sudah tentu ia akan menjanjikan sebuah negara yang sejahtera lagi bahagia.
Memang tidak diragukan lagi, negara yang bebas dari rasuah adalah negara yang berkat, penuh dengan rahmat serta terlepas daripada laknat.
Begitu juga satu contoh lain akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah mengamalkan ‘ihsan dan menunaikan amanah. Boleh dibayangkan, jika satu-satu pembangunan itu berpaksikan ihsan dan amanah, nescaya pembangunan yang seperti itu pasti membuahkan kebajikan.
Begitulah luhur dan tingginya akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Jika kita atau siapa saja yang memakai akhlak ini, nescaya mampu untuk melahirkan sebuah dunia yang bahagia.
Demikian itulah hakikat yang telah ditentukan oleh Allah sendiri kepada Nabi-Nya Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, sebagaimana termaktub dalam Al-Qur’an Surah Al-Anbiya, ayat 107, tafsirnya:
”Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam seluruhnya.”
Ini adalah ‘perisytiharan’ yang tidak dapat dipertikai atau dibantah, betapa tingginya kedudukan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam itu, selaku pembawa rahmat.
Marilah kita membanyakkan selawat ke atas Baginda, semoga dengan itu insya Allah, kitapun akan mendapat syafaatnya di dunia dan di akhirat.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
