TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
TAHUN BARU HIJRAH 1444
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1444.

Beta mengambil maklum bahawa tema sambutan kali ini menggalakkan supaya Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa dalam menghadapi ujian.

Tema ini dilihat sangat sesuai dengan situasi masa ini, dimana kita masih berhadapan dengan wabak koronavirus.

Bersabar dan berikhtiar, serta bertawakal dan berdo’a adalah memang ajaran ugama. Terutama sifat sabar menjadi penentu kepada kesempurnaan iman seseorang, sebagaimana maksud sebuah Hadits, riwayat Muslim yang mahfumnya: “(Tanda) iman seorang mukmin sempurna adalah, apabila dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur. Maka itulah kebaikan baginya. (Dan) apabila (sebaliknya) dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Maka itulah kebaikan baginya.”

Syukur dan sabar adalah pakaian nabi-nabi dan orang-orang salih. Kita perlu bersikap seperti mereka itu, kerana ‘syukur’ menambahkan nikmat, sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Ibrahim, Ayat 7, tafsirnya: “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah lagi nikmatKu kepada kamu.”

Sementara ‘sabar’ pula mengukuhkan kedudukan, berdasarkan orang sabar itu sentiasa ‘bersama-sama’ dengan Allah, sebagaimana dapat dirujuk maksud Ayat 153, Surah Al-Baqarah.

Sesungguhnya tidak ada apa lagi yang patut dirisaukan atau ditakutkan, jika Allah sudah bersama-sama dengan kita.

Di sinilah terdapat pengajaran HIJRAH, dimana Sayyidina Abu Bakar radhiallahu ‘anhu yang ketika itu bersama-sama dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam gua, bahawa beliau (Sayyidina Abu Bakar) merasa amat cemas dan takut, kerana menganggap musuh dari luar gua sudah nampak kepada mereka, sehingga mendorong Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda memberikan perangsang, maksudnya: “(Wahai Abu Bakar), janganlah takut dan berdukacita, sesungguhnya Allah adalah bersama-sama dengan kita.”

Dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini, maka turunlah ketenangan kepada Sayyidina Abu Bakar, yang sekali gus telah menjayakan misi Hijrah yang penuh dengan cabaran itu.

Perkara ini seyugia menjadi iktibar, khasnya dalam keadaan kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian. Disamping melakukan usaha-usaha biasa, maka pergantungan kepada Allah juga adalah rukun utama kehidupan.

Hijrah adalah satu usaha untuk menghindari musibah yang ditimpakan oleh musuh akidah. Tetapi ia bukan setakat usaha biasa, malah usaha yang dihiasi dengan niat kerana Allah, iaitu untuk menyelamatkan ugama dan mencari keredhaan-Nya. Maka dengan niat demikian itulah, HIJRAH telah berjaya menepati sasarannya.

Mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, maka elok sangat, jika dalam menangani Covid-19, kita menghiasi semua usaha kita dengan ‘niat suci’ kerana Allah agar dihindari daripada wabak, supaya dengan itu kita dapat melakukan ibadat dengan selesa dan dapat menunaikan lain-lain kewajipan dengan lebih baik dan sempurna.

Inilah cara yang sebaik-baiknya mendekati Allah, iaitu melalui ‘niat kerana Allah’, bagi memperolehi sesuatu yang dihajati. Sesungguhnya Allah adalah menilai semua perbuatan kita berdasarkan niat, sebagaimana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu perkara ini, maksudnya: “Semua perbuatan itu adalah dengan niat.”

Maka bersempena dengan menyambut Awal Tahun Hijrah 1444 ini, marilah kita mengotakan azam akan menjadikan “niat baik kerana Allah” sebagai pasak dalam semua tindak-tanduk dan amal salih kita.

Misalnya kalau kita membangun, membangun itu kita niatkan kerana Allah untuk kesejahteraan rakyat. Kalau kita menjana ekonomi, menjana ekonomi itu kita niatkan kerana Allah untuk kemakmuran negara. Kalau kita menjalankan undang-undang, menjalankan undang-undang itu kita niatkan kerana Allah untuk menegakkan keadilan. Kalau kita memperkasa pertahanan, memperkasa pertahanan itu niatkan kerana Allah untuk keselamatan. Kalau kita menangani Covid-19, juga kita niatkan kerana Allah untuk kebaikan semua, dan lain-lain lagi.

Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kita yang demikian itu, semua pekerjaan atau usaha kita yang berkebajikan akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1444, semoga kita dan negara sama-sama dipayungi oleh rahmat di sepanjang tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.