TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMASA
PERSIDANGAN KHAS
MAJLIS MESYUARAT MENTERI-MENTERI KABINET
PADA 4 JULAI 2022
DI ISTANA NURUL IMAN
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Keadaan selalunya berubah, mempengaruhi kehidupan untuk turut berubah dan bahkan adakalanya mesti berubah. Demikian itulah halnya dengan struktur organisasi pentadbiran adalah tidak statik tetapi sentiasa terbuka kepada perubahan. Sementara perubahan itu pula dimaksudkan sebagai anjakan ke hadapan, bukan berundur ke belakang. Dengan elemen-elemen keperluan menjadi punca. Maka dengan itu, rombakan pun berlaku sebagai memenuhi tuntutan untuk berubah. Apapun perubahan berlaku maka sampailah masanya untuk mereka yang terlibat sama ada yang dilantik semula atau pun yang baru dilantik akan sama-sama berganding bahu memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan negara.
Selaku Pemimpin, mereka juga perlu ingat bahawa jawatan yang disandang adalah semata-mata amanah, dimana amanah adalah merupakan perjanjian suci kita dengan Allah. Jika amanah itu, tidak atau salah ditunaikan maka bererti kita telah melanggar perjanjian tersebut. Di antara amanah bagi pemegang-pemegang jawatan ialah melaksanakan tanggungjawab dengan telus dan adil, bersikap baik sangka terhadap semua anak buah serta mengelakkan amalan pilih kasih termasuk tidak sekali-kali bersikap suka mencari-cari kelemahan atau kesalahan orang-orang di bawah tangan kita kemudian menghukumnya dengan tindakan-tindakan melulu yang menyakiti.
Perlu diingat, undang-undang dan peraturan ada, no one above the law. Ini jika berlaku adalah dikesali kerana risikonya ialah kezaliman. Beta sama sekali tidak menyenangi berlaku sebarang kezaliman di dalam kerajaan Beta kerana kezaliman itu tidak diragukan lagi boleh mengundang kepada balasan-balasan tunai daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala selain balasan yang lebih perit di akhirat kelak. Yang betulnya, jika terdapat kelemahan atau berlaku kesalahan, maka menjadi kewajiban para pemimpin untuk menolong yang lemah itu supaya dapat bangun menjadi kuat dan terhadap kesalahan pula, jika masih boleh diperbetulkan maka membetulkan itu adalah lebih utama dan mendatangkan pahala dari mengambil tindakan tergesa-gesa menimpakan hukuman.
Brunei Darussalam adalah Negara Zikir. Etika Negara Zikir mengenai kuasa dan kepimpinan, paksinya adalah keadilan. Sebagaimana maksud hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam memberi peringatan bahawa tidak sesiapapun yang dilantik, walau sekadar untuk memimpin sepuluh orang sahaja melainkan didatangkan dia pada Hari Kiamat dengan tangannya terbelenggu hingga ke leher dan dia tidak akan dapat membebaskan diri dari belenggu itu kecuali hanya dengan keadilan, apabila dia berjaya melaksanakan keadilan ke atas mereka yang sepuluh orang di bawah pimpinannya tadi.
Demikian gambaran betapa beratnya kewajiban menjadi Pemimpin. Sekarang di Brunei Darussalam kapasiti bagi tiap-tiap kementerian dan jabatan adalah melebihi dari jumlah sepuluh orang malah ada yang sampai mencecah ribu orang bagi sebuah kementerian sahaja. Dimana semua jumlah yang ada itu perlu ditadbir dan dipimpin dengan telus dan adil, jangan ada yang sampai teraniaya atau terzalimi. Jika berlaku kepimpinan yang baik lagi adil, Beta yakin itulah jaminan mutlak bagi negara ini akan memperolehi rahmat berupa keharmonian, perpaduan dan kemakmuran.
Beta ingin menyebut di sini, bahawa para Menteri dan Timbalan Menteri memang dibenarkan untuk menyembahkan nasihat kepada Beta, tetapi Beta tidak mahu menerima sebarang nasihat yang tidak betul atau nasihat itu masih ditahap tidak jelas kebenarannya. Dan jika nasihat itu berhubungkait dengan rancangan-rancangan kementerian atau jabatan, maka Beta mahu supaya ia dibutirkan dengan lengkap dan sokongan dengan alasan-alasan atau sebab-sebab yang kukuh lagi munasabah. Ini juga adalah sebahagian dari tindak langkah melaksanakan keadilan.
Mengenai rancangan-rancangan kemajuan mahupun urusan-urusan rutin dalam kerajaan bagi rakyat dan negara, tidaklah mampu untuk menunggu lama-lama sebarang rancangan atau urusan itu diselesaikan. Penyelesaian yang segera tetapi sempurna itulah tanda prestasi cemerlang. Beta mahu semua pihak hendaklah mengambil perhatian serius terhadap perkara ini. Para Pemimpin wajarlah bekerja lebih keras menangani tugas-tugas asasi mereka dengan mengurangkan terlibat kepada aktiviti ringan.
Beta sukacita mengambil peluang untuk mengulangi lagi ucapan tahniah di atas perlantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri serta tidak lupa juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang tidak lagi dilantik. Sesungguhnya mereka yang tidak dilantik itu bukanlah disingkirkan tetapi cuma diganti sebagai tradisi yang biasa berlaku.
Sekian.
