TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1445H/2024M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
 
‘Idil Adha menjelang lagi. ‘Idil Adha bererti Hari Raya Korban. Kita umat Islam digalakkan berkorban dengan menyembelih binatang korban. Pahala berkorban itu sangat besar untuk dijawat di akhirat kelak.

Oleh itu, bagi siapa yang mampu, marilah sama-sama berkorban. Peluang berkorban itu boleh didapat cuma sekali sahaja dalam setahun.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kalau berkorban di luar ‘Idil Adha, lagi banyak macamnya, seperti berkorban membangun masjid, berkorban menyantuni fakir miskin dengan sedekah, berkorban memelihara anak-anak yatim, berkorban membantu mangsa-mangsa banjir, mangsa-mangsa kebakaran dan lain-lain, berkorban menyantuni warga emas dengan pencen tua, berkorban memelihara saudara-saudara baru dengan membantu dan menyampaikan bimbingan-bimbingan keugamaan dan lain-lain.

Semua itu, juga namanya berkorban, yang dijanjikan oleh Allah ganjaran pahala bagi siapa yang melakukannya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Peluang berkorban adalah sentiasa terbuka bagi kita orang-orang Islam, misalnya berkorban dengan mengisi Tabung Kemanusiaan rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan ugama, bangsa dan negara mereka. Pengorbanan jenis ini malah boleh disifatkan sebagai pengorbanan tertinggi kerana tujuannya yang suci pada jalan Allah.

Negara Brunei Darussalam selama-lamanya berpendirian supaya perang yang berat sebelah ini segera ditamatkan, dengan rakyat yang tidak berdosa dihormati hak-hak mereka untuk menikmati keamanan, kesentosaan dan kebebasan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kepada para jemaah haji kita di Tanah Suci, hendaknya jangan lupa, disamping berdo’a untuk negara sendiri, berdo’alah juga untuk saudara-saudara seugama di mana sahaja, khasnya saudara-saudara rakyat Palestin yang sedang berendam air mata.

Do’a adalah pernyataan simpati dan kasih sayang terhadap orang yang dido’akan. Perkara ini sangat disuruh oleh ugama, sehingga Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, ada menjelaskan dalam beberapa hadits baginda, diantaranya:

–       Hadits pertama riwayat At-Tirmizi daripada Abdullah bin ‘Amr, maksudnya: “Orang-orang yang pengasihan akan dikasihani oleh Ar-Rahman (Allah). Kasihanilah siapa yang di bumi, nescaya akan dikasihani oleh siapa yang di langit”.

–       Hadits kedua yang disepakati, bermaksud: “Barangsiapa yang tidak mengasihani manusia, dia tidak akan dikasihani oleh Allah”.

Hadits-hadits ini jelas menjadi dalil kuat, supaya kita mengasihani sesama hamba, terutama terhadap mereka yang menjadi mangsa kezaliman atau lain-lain musibah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Demikian itu indahnya ajaran Islam dalam konteks berkorban. Pengorbanan dalam Islam adalah sangat luas dan menyeluruh, termasuk perbuatan bersimpati dan mendo’akan saudara muslim adalah juga termasuk pengorbanan. Kerana itu ganjarannya adalah istimewa bagi siapa yang melakukannya.

Seorang yang mendo’akan kebajikan untuk saudaranya, jika kebajikan itu didapat oleh saudara yang dido’akan, maka ganjaran kebajikan yang sama akan diterima juga oleh orang yang mendo’akan. Demikian juga kalau kita mengasihani sesama kita di muka bumi, maka kita juga akan dikasihani oleh penghuni langit dan bahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Begitulah adilnya Allah dalam mengurniakan ganjaran timbal balik kepada sesiapa yang berkorban dan juga kepada mereka yang menerima pengorbanan.

Untuk mengakhiri perutusan ini, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha Al-Mubarak kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​