TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI RAYA ‘IDIL FITRI
TAHUN 1445H / 2024M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
‘Idil Fitri insya Allah menjelang lagi, iaitu hari kita bergembira sambil bersyukur kerana berjaya mendepani cabaran berpuasa. Alhamdulillah kita adalah sama-sama berjaya. Semoga kejayaan ini diterima oleh Allah sebagai ibadat yang diperintahkan-Nya.
Bukan kecil cabaran berpuasa itu. Ia memerlukan kesabaran tingkat tertinggi. Jika ada kesabaran seperti ini, barulah mudah untuk menghadapi cabaran tersebut.
Beta yakin, rakyat Beta yang berugama Islam memahami perkara ini, yang menjadikan mereka tidak ada masalah untuk menyempurnakan ibadat puasa masing-masing.
Sekarang kewajipan kita ialah untuk bersyukur. Semasa berpuasa, manakala kita dikurniakan kesihatan dan rezeki, maka wajiblah dibalas dengan bersyukur.
“Syukur” adalah perkara agung dan mulia. Ia dituntut oleh Allah dengan berjanji, bahawa barang siapa yang mensyukuri nikmat, akan ditambah lagi nikmat itu.
Maksud syukur ialah berterima kasih kepada Allah di atas nikmat-Nya. Caranya ialah dengan memuji-Nya dengan lafaz “Alhamdulillah”.
Manakala kita berjaya menyempurnakan ibadat puasa, maka wajarlah bagi kita untuk mengucapkan Alhamdulillah. Begitu juga kalau badan sihat dan rezeki luas serta dapat menyambut ‘Idil Fitri dengan selesa, maka wajarlah bagi kita untuk melafazkan Alhamdulillah, sebagai pernyataan kita bersyukur atau berterima kasih kepada Allah.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Lafaz “Alhamdulillah” sangat tinggi nilainya. Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda, maksudnya: “Sekiranya seseorang dari umatku dikurniakan dunia dengan segala isi di dalamnya, kemudian dia mengucapkan “Alhamdulillah”, maka ucapan Alhamdulillah itu adalah lebih utama dari dunia dan segala isinya”.
Begitu harga “Alhamdulillah” (ucapan memuji Allah), sebagai tanda kita bersyukur. Selain dari ucapan, perbuatan juga boleh jadi tanda bersyukur, seperti seseorang yang menunaikan zakat, maka perbuatannya berzakat itu adalah bukti dia bersyukur. Kerana itu Allah akan menggandakan hartanya sebagai balasan dia bersyukur itu.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Mengenai zakat, Beta difahamkan bahawa tujuan berzakat itu ialah untuk membersihkan harta. Harta yang dizakat adalah harta berkat. Ia bukan berkurang tetapi bertambah, dan tidak binasa tetapi selamat.
Oleh itu, disamping menunaikan Zakat Fitrah, maka bagi siapa yang mampu, hendaklah bersedia untuk menunaikan Zakat Harta pula.
Zakat adalah wajib setelah genap haul, dan menjadi syarat untuk seseorang diiktiraf sebagai beriman, sebagaimana maksud Hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa (yang mahu digolongkan) sebagai beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menunaikan zakat hartanya”.
Marilah kita sama-sama berazam untuk memenuhi tanggungjawab yang besar ini, demi keselamatan kita di akhirat kelak, dan juga untuk tujuan membantu golongan yang berhak, serta impaknya yang lebih jauh pula ialah untuk menjana kemakmuran umat dan negara.
Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada, semoga kita sama-sama beroleh kerahmatan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
