TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MENYAMBUT BULAN RAMADHAN
TAHUN 1441H / 2020M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita bersyukur, kerana dapat pula memasuki bulan Ramadhan yang mulia untuk melakukan ibadat puasa didalamnya.
Pada Ramadhan kali ini, tentu saja berbeza dengan Ramadhan-Ramadhan yang lalu. Perbezaan itu ialah dari segi suasana menghadapinya. Beberapa bulan sebelum Ramadhan, kita telah dikejutkan oleh wabak COVID-19, yang membawa kepada ketidakselesaan dan bahkan ketakutan.
Ini, bukan saja dirasakan oleh Brunei, malah dimana-mana sahaja di seluruh dunia, sama-sama merasakannya. Sehingga untuk beberapa ketika, kita terpaksa menangguhkan kehadhiran ke Masjid, Surau dan Balai Ibadat bagi melakukan Sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah biasa. Ini kita lakukan adalah sebagai usaha untuk mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.
Namun alhamdulillah, dengan izin Allah jua, wabak, nampak-nampaknya dapat kita kawal dengan berkesan. Ini Beta percaya, adalah kerana usaha-usaha pencegahan secara bersepadu, dan juga faktor do`a yang kita amalkan adalah segala-galanya.
Dalam Bulan Ramadhan, biasanya kita orang-orang Islam akan memeriahkan Masjid, Surau dan Balai Ibadat dengan Sembahyang Sunat Terawih berjemaah. Tetapi pada kali ini, sekiranya keadaan belum mengizinkan untuk berkumpul beramai-ramai, maka kita masih saja ada cara lain untuk membuat Terawih itu bersama-sama dengan keluarga di rumah. Begitu juga bertadarus Al-Qur’an, kita masih saja dapat membuatnya dirumah kita sendiri dengan keluarga dan anak-anak.
Pendeknya, kita tidak kehabisan cara untuk melakukannya bagi meraih pahala dibulan Ramadhan.
Sangat perlu diingat, bahawa COVID-19 tidak seharusnya menggangu Umat Islam untuk melakukan ibadat puasa. COVID-19 adalah satu perkara, sedang ibadat puasa pula satu perkara lain. Jika kita dalam keadaan sihat ‘afiat, maka tidak ada sebab untuk menjadikan COVID-19 sebagai penghalang kita berpuasa.
Perlu disedari, bahawa Ramadhan cuma sekali sahaja dalam setahun. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang dinamakan Malam Al-Qadar yang lebih baik dari seribu bulan, dalam makna, beribadat didalamnya boleh meraih pahala lebih dari seribu bulan. Kerana itu, eloklah bagi kita semua untuk berazam merebutnya.
Selepas Ramadhan, kita akan memasuki Bulan Syawal pula, untuk menyambut Hari Raya. Biasanya Hari Raya kita sambut dengan penuh kemeriahan. Tetapi ketentuan Allah telah menjadikannya berbeza pada tahun ini. Sembahyang Hari Raya akan terpaksa ditiadakan, dan begitu juga tradisi kunjung mengunjungi turut ditegah untuk mengelakkan sebarang risiko COVID-19.
Kita wajar bersabar menghadapi situasi ini, dengan menganggap, bahawa apa yang berlaku itu mempunyai hikmah disisi Allah.
Walau bagaimanapun, disamping bersabar, kita juga dituntut untuk berusaha dengan apa jua cara, seperti mengambil langkah-langkah pencegahan dan seumpamanya.
Namun selaku orang Islam, kita juga mempunyai kelebihan tersendiri, iaitu digalakkan untuk menghadapi apa saja bencana, dengan do’a. Maka marilah kita lakukan ia, lebih-lebih lagi, kebetulan pula dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, dimana do’a orang-orang berpuasa adalah sangat ampuh dan mustajab.
Menyebut tentang kelebihan do’a ini, Beta teringat kepada do`a dalam Qunut Nazilah yang dibaca pada Hari Jumaat dalam Sembahyang Jumaat. Hingga sekarang, sudah beberapa Jumaat kita tidak dapat menunaikan Fardhu Jumaat, dalam makna, dengan sendirinya Qunut Nazilah tidak dapat dibaca.
Pada hemat Beta, Qunut Nazilah masih saja perlu diteruskan, terutama dalam situasi kita menghadapi wabak COVID-19. Beta difahamkan, Qunut Nazilah tidak semestinya hanya dilakukan di Masjid secara berjemaah pada Hari Jumaat, malah ia juga boleh dibuat di rumah, sama ada secara berjemaah dengan keluarga atau bersendirian didalam sembahyang-sembahyang fardhu lima waktu. Tetapi masih juga boleh dipilih mana waktu yang kita mampu atau sesuai melakukannya, seperti dalam Sembahyang Subuh atau Maghrib, tanpa memestikan ia dibuat dalam kesemua lima-lima waktu. Yang penting, Qunut ini terus dibaca, sementara menunggu Masjid, Surau dan Balai Ibadat beroperasi semula.
Bagi kemudahan orang ramai melakukan semua ini, maka kenalah pihak yang berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, mengambil inisiatif menyediakan panduan dan do`a qunut yang bersesuaian. Seeloknya ringkas dan mudah tetapi padat menepati tujuan.
Sehubungan ini pula, Beta berpendapat, bukan sahaja kita di Brunei, malah umat Islam diseluruh dunia adalah sangat wajar untuk sama-sama mengambil kesempatan dibulan yang bersukut istimewa ini untuk merafakkan do’a banyak-banyak supaya dunia kita cepat bebas daripada bahaya wabak COVID-19.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta, dengan hati suci, mengucapkan selamat berpuasa. Semoga kita sama-sama dikurniakan oleh Allah kesihatan dan kesabaran disepanjang menjalani ibadat puasa. Ramadhan Karim.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.