TITAH PERUTUSAN KHAS

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN RAMADHAN
BAGI TAHUN 1447H / 2026M
 
DAN
 
TITAH PERUTUSAN KHAS
PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat dan kurnia-Nya kerana mengizinkan kita sekali lagi bertemu dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak dalam suasana yang aman, sejahtera dan penuh keberkatan.

Beta juga amat bersyukur atas nikmat kesembuhan yang dikurniakan, serta diberi kesempatan untuk menyampaikan perutusan ini, setelah selesai menjalani rawatan. Pengalaman ini mengingatkan kita betapa pentingnya menjaga kesihatan, kerana ia adalah anugerah yang tidak ternilai. Kesihatan yang baik bukan sahaja membolehkan kita beribadah dan berkhidmat dengan lebih sempurna, malah ia adalah amanah bersama.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, nikmat kesihatan menjadi asas untuk kita melaksanakan ibadah puasa dan amal kebajikan dengan penuh keikhlasan, sekali gus mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Menjaga kesihatan diri bermakna kita juga menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat, kerana tubuh yang sihat memberi ruang untuk kita terus berbakti dan menyumbang kepada pembangunan bangsa serta kesejahteraan ummah. Pada kesempatan ini, dengan penuh keikhlasan dan rasa terharu, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang telah mendoakan kesihatan dan kesembuhan Beta. Beta amat menghargai setiap ingatan dan sokongan yang diberikan.

Beta percaya segala usaha menunaikan solat hajat, bacaan surah Yassin dan doa yang dipanjatkan telah didengar dan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Doa-doa yang dipanjatkan menjadi sumber kekuatan yang besar dan Beta amat tersentuh, apabila mengetahui bahawa semua lapisan masyarakat di dalam dan di luar negara, tanpa mengira usia, bangsa dan agama termasuk kanak-kanak turut sama mendoakan kesihatan Beta.

Begitu juga, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, serta para Ketua dan Pembesar dari negara-negara sahabat yang telah mengutuskan perutusan mendoakan kesihatan Beta.

Beta mendoakan agar hubungan baik yang sedia terjalin ini akan terus diperkukuh dan dipermudahkan demi kesejahteraan bersama. Tidak lupa, Beta ingin merakamkan setulus-tulus penghargaan dan pengiktirafan setinggi-tingginya kepada para doktor dan pasukan perubatan, yang terdiri daripada pakar tempatan dan luar negara, atas dedikasi dan kerjasama mereka dalam memberikan rawatan terbaik kepada Beta.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala membalas segala kebaikan tersebut dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda serta mengurniakan kesihatan, kesejahteraan dan keberkatan kepada semua.

Mengambil sukut baik sempena bulan Ramadhan yang penuh rahmat, marilah kita sama-sama merafa’kan do’a, memohon keampunan kehadharat Allah Subhanahu Wata’ala supaya dijauhkan daripada api neraka, dipanjangkan umur untuk kita diberi kesempatan bertemu dengan bulan Ramadhan secara berulang-ulang kali, dan dikurniakan kesihatan agar dapat melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna dan penuh ketenangan.

Ramadhan ialah masa untuk kita mengumpul segala ganjaran pahala. Marilah kita sama-sama berazam untuk memakmurkan Ramadhan dengan ibadat puasa dan lain-lain ibadat seperti bertadarus Al-Qur’an, Sembahyang Tarawih dan Qiamullail, di samping menjaga kesihatan melalui pemakanan sihat. Bulan ini juga mengajar kita kesederhanaan, apabila kita menjauhi pembaziran, nikmat yang ada dapat dimanfaatkan untuk memberi dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

Untuk mengimarahkan bulan Ramadhan, seperti kelazimannya Beta menyeru agar semua pihak di peringkat kementerian, jabatan dan sektor swasta serta seluruh masyarakat untuk mengisikan masa dengan beramal ibadat dan memperbanyakkan aktiviti keagamaan dan amal jariah.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas dan sukacita mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadat Puasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati Ramadhan kita serta mengizinkan kita berpuasa dalam suasana aman, damai dan sejahtera.

Dalam kesempatan ini kepada masyarakat Tionghua di Negara ini, Beta ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***