Sabda DPMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-10

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH KALI KE-10

 

BERTEMPAT
DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
PADA
HARI RABU, 17 OGOS 2022

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
 
Segala puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua kita dapat berhimpun di Majlis Haflut Takharruj, Diploma ‘Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-10 bagi meraikan kejayaan 19 graduan Hafiz dan Hafizah yang akan menerima syahadah diploma masing-masing.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada para graduan termasuk ibu bapa dan penjaga kerana berkat kesungguhan, keyakinan dan sokongan padu masing-masing yang berbentuk moral dan material, makanya siswa dan siswi berjaya menamatkan penggajian di institut ini sebagai langkah ke arah kejayaan yang lebih besar.

Saya difahamkan, dari sekian ramai pelajar yang memasuki Institut Tahfiz pada saban tahun hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya ke peringkat ini dan seterusnya meraih kejayaan. Biarpun bilangan graduan yang terhad, namun kita yakin dengan kualiti yang terbaik dari setiap lepasan, keberkatan dan kerahmatan dari Al-Quran akan dapat menjamin masa depan graduan-graduan dan juga keselamatan dan kemakmuran negara serta melepaskan kita dari berbagai musibah.

Pengajian Tahfiz Al-Quran dan penguasaan Qiraat yang diwarisi dari zaman Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat masih lagi relevan hingga ke hari ini. Pengajiannya sudah semestinya mempunyai impak dan berakah serta manfaat dalam melestarikan berbagai cabang bidang pengajian Islam khususnya sebagai teras dalam ilmu Syariah dan Usuluddin.

Islam adalah agama syumul dalam mana Al-Quran adalah sumber ilmu dan petunjuk yang menjadi pemandu cara hidup umat manusia. Kerana itu kita dituntut untuk sentiasa mempelajari serta mengamalkan ajarannya seperti mafhum Surah Al-Qamar, ayat 17 :

“Dan demi sesungguhnya Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”
 
Ayat dimaksudkan diulang sebanyak empat kali dalam surah yang sama. Secara umumnya, menurut para ulama maksud ayat ini ialah, Allah Subhanahu Wata’ala telah memudahkan kita untuk membaca, menghafaz, dan memanfaatkan ilmu Al-Quran, namun ayat ini juga seolah-olah menegaskan bahawa kemudahan tersebut tidak ada kesannya kalau kita sendiri tidak mempelajari dan mengamalkannya.

Alhamdulillah, dewasa ini semakin ramai yang berminat untuk mempelajari teknik menghafaz Al-Quran, dengan demikian usaha-usaha untuk mengajarkannya perlu diperluaskan serta dimajukan bersandarkan kepada permintaan dan profil setiap peringkat masyarakat. Dalam hubungan ini, saya mengambil maklum dan gembira untuk mengetahui bahawa beberapa Pusat Pengajian Swasta yang dipelopori oleh usahawan tempatan termasuk individu yang ditauliahkan Majlis Ugama Islam Brunei telah tampil menawarkan pengajian seumpamanya kepada orang ramai di negara ini.

Saya berharap momentum perkembangan dan minat terhadapnya akan dapat dijadikan inspirasi kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk seterusnya mengembangluaskan akses kepada program-program hafazan yang terbukti kepada golongan sasar tertentu ke arah melengkapkan sistem pengajian dan tadabbur Al-Quran yang dapat memacu Negara Brunei Darussalam selaras dengan aspirasi untuk memantapkannya sebagai sebuah Negara Zikir.

Dengan bertambahnya jumlah Alumni Diploma ‘Aliyah Qiraat, saya percaya kelas pengajian Tahfiz dan Qiraat Al-Quran ini akan dapat dikembangluaskan ke seluruh peringkat masyarakat dan pelosok negara yang secara tidak langsung menepati atau mencapai matlamat penubuhan Institut Tahfiz khususnya ke arah meningkatkan bilangan Huffaz yang profesional, berdaya maju dan serba boleh yang berpotensi serta berperanan sebagai usahawan, pendakwah dan pemimpin masyarakat yang sentiasa berpegang teguh kepada keberkatan kehidupan di samping dapat meraih ganjaran pahala dan syafaat Al-Quran.

Perkembangan positif ini berhubungkait dengan Titah Paduka Ayahanda pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-17 baru-baru ini yang secara khusus menyentuh mengenai peranan signifikan dan trend transformasi set minda di kalangan belia :

“Tidak syak lagi para belia adalah komponen kritikal dalam usaha pembangunan negara, selaku stakeholder yang dinamik. ‘Acuan’ yang tepat adalah diperlukan untuk menjadikan golongan belia lebih bersedia dalam memacu pembangunan negara. Hari ini kita melihat transformasi belia sedang berlaku, dengan mereka itu didapati lebih berwawasan dan berani untuk meneroka bidang-bidang baru, di antaranya bidang perekonomian, digital, inovasi sosial, agri-bisnes dan industri kreatif”.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan dan berharap ilmu hafazan Al-Quran dan ilmu Qiraat yang berjaya diraih dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Sesungguhnya setiap graduan atau lepasan Institut Tahfiz adalah merupakan purih bangsa yang akan sentiasa mempertahankan jati diri dan memartabatkan identiti kebruneian yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja.

Saya juga tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan, pentadbir serta tenaga pengajar dan warga kerja Institut Tahfiz di atas semangat gigih, kerjasama padu dan komitmen berterusan yang telah menyumbang kepada kelangsungan program serta kejayaan setiap graduan di dalam pengajian ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan ganjaran berupa rahmat dan syafaat untuk kita semua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​​ 

***

Sabda DPMM Sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1443 Hijrah Bersamaan 2022 Masihi

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN

 

                   BERTEMPAT                     

DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

PADA

1443 HIJRAH / 2022 MASIHI

 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat berhimpun di Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada malam ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan keberkatan di atas kehadiran kita semua di Majlis berkebajikan ini yang juga merupakan syiar dan dorongan kea rah bersama-sama meraih manfaat dan syafaat yang dibaca para qari dan qari’ah serta menghayati maknanya.

Alhamdulillah, dalam usia musabaqah kebangsaan mencapai 63 tahun, sudah setentunya ramai qari dan qari’ah tempatan yang telah dilahirkan di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dalam mana nama negara juga telah mendapat tempat di persada bidang Tarannum Al-Qur’an.

Tarannum sebagai salah satu bidang kemahiran yang sudah matang serta pesat berkembang di seluruh jagat dengan generasi demi generasi bersilih melangkah aktif ke hadapan untuk terus mendalaminya menerusi berbagai variasi penyampaian dan kemahiran. Laluan bagi meningkatkan kemahirannya akan semakin mencabar ke arah memelihara serta mengekalkan keaslian dan hukum-hakamnya.

Di samping usaha berterusan pihak kerajaan dalam memperkasa kemahiran dalam bidang Tarannum Al-Qur’an, qari dan qari’ah muda juga seharusnya berusaha mempertingkatkan kemahiran dengan rajin berguru. Manakala tenaga pengajar pula hendaklah terus berusaha membekalkan kemahiran dengan mendalami kaedah-kaedah tarannum yang sentiasa dikemas kini seiring dengan keperluan untuk melahirkan generasi qari dan qari’ah yang berpotensi dan berkaliber.

Mengambil sukut tema Musabaqah, iaitu “Bertemankan Al-Qur’an Sepanjang Zaman”, menanamkan minat serta melestarikan budaya yang mencintai seni pembacaan Al-Qur’an secara bertarannum amatlah bersesuaian untuk diserapkan seawal usia khususnya di kalangan pelajar dan belia. Keberhasilannya adalah sebagai wadah untuk mengukuhkan pembangunan generasi yang menjadikan kitab suci Al-Qur’an sebagai teman sejati duniawi dan ukhrawi.

Al-Qur’an diturunkan sebagai penasihat, penawar dan petunjuk hidayah bagi seluruh umat manusia seperti mafhum Surah Yunus, ayat 57:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”.

Kecanggihan Teknologi dan kepesatan prasarana semata-mata bukan sekadar pengukur kemodenan dan tahap kemajuan sesebuah negara khasnya dalam kepesatan era globalisasi masa kini. Sebaliknya, acuan kemajuan perlu seiring dengan pembangunan insan yang sentiasa taat dan patuh menghayati nilai agama. Kemajuan tanpa akhlak akan akhirnya membawa kepincangan. Sejarah kegemilangan tamadun Islam adalah terbina atas keutuhan nilai akhlak dan iman yang ditunjangi dengan sempurna sebagaimana acuan keperibadian serta kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Dalam hubungan ini, Paduka Ayahanda pada Sambutan Awal Tahun Hijrah 1444 baru-baru ini menyeru kita untuk bersama-sama mengotakan azam menjadikan “niat baik kerana Allah” sebagai pasak dalam semua tindak-tanduk dan amal salih kita yang semata-mata untuk kebaikan semua:

“Kalau kita membangun, membangun itu kita niatkan kerana Allah untuk kesejahteraan rakyat. Kalau kita menjana ekonomi, menjana ekonomi itu kita niatkan kerana Allah untuk kemakmuran negara. Kalau kita menjalankan undang-undang, menjalankan undang-undang itu kita niatkan kerana Allah untuk menegakkan keadilan. Kalau kita memperkasa pertahanan, memperkasa pertahanan itu niatkan kerana Allah untuk keselamatan. Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kita yang demikian itu, semua pekerjaan atau usaha kita yang berkebajikan akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Al-Qur’an adalah mukjizat agung dalam merawat kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup sebagai utap kepada ummah dalam mendepani berbagai cabaran sepanjang zaman. Justeru, amalan dan budaya memartabatkan Al-Qur’an dengan niat baik adalah tuntutan untuk meraih berkah dan rahmah Allah Azza Wa Jalla. Semakin kerap kita berinteraksi dengan Al-Qur’an maka semakin berkah waktu yang kita miliki.

Dengan demikian, peri mustahaknya penghayatan nilai Al-Qur’an untuk diterjemahkan menerusi pengisian rutin kehidupan dalam mana rumah adalah institusi tarbiah terawal dalam membentuk sahsiah dan mendidik generasi Al-Qur’an. Golongan pelajar dan belia adalah tunas bangsa yang akan seterusnya mengambil peranan yang lebih besar sebagai aset dan peneraju pembangunan negara serta pewaris bangsa yang akan terus menegakkan syiar Islam di bumi Darussalam yang kita cintai.

Pada hemat Saya, di sinilah keperluannya bagi pihak yang berkenaan untuk memanfaatkan berbagai perkembangan berkaitan yang menjurus kepada meningkatkan minat serta memperluas akses kepada masyarakat untuk mengikuti program pengajian tertentu yang bersinambung dengan usaha untuk memartabat Al-Qur’an dan syiar di negara ini.

Dalam hubungan itu, adalah bersesuaian bagi pihak yang berkepentingan untuk seterusnya meraih manfaat kecanggihan platform infokomunikasi khasnya di dalam bidang pembelajaran online sebagai peluang tambahan mendekatkan masyarakat untuk mendalami nilai-nilai akhlak yang tersirat menerusi program-program tarbiah dan pengajian Al-Qur’an termasuk As-Sunnah ke arah melahirkan generasi Al-Qur’an yang menghayati sepenuhnya nilai-nilai murni Islam.

Akhirnya, dengan melafazkan kalimah berkat ‘Bismillah Hir Rahman Nir Rahim’, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1443 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
 

***

Sabda DPMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-9 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
 MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KALI KE-9
INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

 

BERTEMPAT
DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
PADA
HARI RABU, 15 REJAB 1443 BERSAMAAN 16 FEBRUARI 2022

 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

 
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua kita berpeluang berhimpun dalam Majlis Haflut Takharruj, Diploma ‘Aaliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Kesembilan. Syabas dan setinggi kejayaan menamatkan pengajian masing-masing.

Sesungguhnya kejayaan setiap graduan akan terus menjadi tunjang utama kepada hasrat kita untuk melahirkan generasi huffaz negara yang menyumbang secara langsung kepada kecemerlangan institut, serta memelihara kesinambungan generasi penjaga ‘Kalamullah’.

Malah, keberhasilannya juga menjurus kepada mengukuhkan aspek emosi, rohani, jasmani, dan intelek kehidupan bermasyarakat seiring dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Tambahan pula, kecenderungan masyarakat dalam melestarikan amalan membaca dan mentadabbur Al-Quran serta melazimkan zikir dan doa tertentu kini boleh sahaja dipraktikkan menerusi pelbagai bentuk media masa terkini semata-mata bagi meraih syafaat ukhrawi dan duniawi, serta limpahan rahmat-Nya.

Ianya adalah juga bagi memohon dihindari daripada segala bentuk bencana yang berpunca dari sifat ‘hubbud dunia’ atau cinta dunia, sebagaimana maksud Surah Al-A’raf ayat 204 dan 205:

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia, serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai”.

Sehubungan dengannya, Kementerian Hal Ehwal Ugama, khasnya Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, termasuk institusi pengajian Islam dan khidmat swasta untuk secara berterusan mengaktifkan dan memperbanyakkan lagi rancangan halaqah atau program penggalak bagi mengasuh serta meningkatkan kemahiran membaca, menghafaz, dan mentadabbur Al-Quran.

Di samping itu, pendekatan yang diguna pakai bagi rancangan dan program sedia ada hendaklah dipelbagaikan dengan lebih kreatif dalam usaha mendekati dan melibatkan masyarakat agar mereka lebih berminat dan tertarik untuk menyertainya ke arah memastikan pencapaian rancangan dan program yang luas dengan kesan berimpak tinggi.

Dalam pada itu, peluang adalah terbuka luas bagi para graduan untuk menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi yang menjurus kepada menambah nilai serta meningkatkan potensi masing-masing sebagai pembimbing masyarakat.

Dalam hubungan ini, saya ingin memetik Titah Paduka Ayahanda pada Majlis Haflut Takharruj UNISSA Kali Ke-9 seperti berikut :

“Pada masa ini tidak terdapat tanggapan walau satu pun, tentang institusi Pendidikan tinggi Islam yang tidak relevan. Sedang pendapat yang sahih, telah meletakkan Pendidikan tinggi Islam itu sebagai keperluan asasi yang tidak boleh diabaikan, kerana daripadanya muncul tamadun yang sempurna”.

Kerana itu Paduka Ayahanda berpendirian, pengajian dan Pendidikan Islam mesti terus diperkasa, kerana ia adalah teras segala kepentingan, yang mampu untuk menghadirkan segala kebaikan untuk bangsa dan negara.

Di sinilah juga pentingnya Institut Tahfiz sendiri, untuk terus peka dengan kehendak peredaran masa, khususnya menilai keberkesanan program-program yang diterajuinya sebagai pemangkin dalam melahirkan lebih ramai modal insan berkeupayaan ke arah membantu negara berkembang maju secara progresif.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan dan berharap ilmu yang diraih dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Saya juga tidak lupa merakamkan ucapan setinggi tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan, pentadbir dan tenaga pengajar serta warga kerja Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah termasuk ibu bapa dan penjaga di atas semangat gigih, usaha sama dan komitmen berterusan masing-masing yang telah menyumbang kepada kelangsungan program serta kejayaan setiap graduan.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan ganjaran berupa rahmat dan syafaat untuk kita semua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum warahmatullaahi Wabarakaatuh.
 

***