Sabda DPMM Di Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah kali Ke-14 Tahun 1448H 2026M

SABDA 

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ
INSTITUT TAHFIZ AL-QUR’AN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
KALI KEEMPAT BELAS
TAHUN 1448 HIJRAH / 2026 MASIHI

 

BERTEMPAT
DEWAN UTAMA,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC),
BERAKAS

 

PADA
HARI RABU
20HB RABIULAWAL 1448 BERSAMAAN 2HB SEPTEMBER 2026

 

Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah inayah, rahmat serta taufik-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama berhimpun dalam suasana yang penuh keberkatan ini, bagi menyempurnakan Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-14.

Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Kejayaan ini adalah hasil daripada keutuhan iltizam, ketekunan serta istiqamah sepanjang menempuh proses pembelajaran yang menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi.

Ucapan setinggi penghargaan jua kepada para ibu bapa dan penjaga atas doa dan sokongan murni, serta barisan tenaga pengajar dan seluruh warga Institut atas curahan bimbingan yang amat bernilai.

Majlis pada hari ini merupakan peristiwa bersejarah dalam perkembangan Institut, dengan meraikan seramai 38 penerima syahadah daripada pengambilan sulung program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat sesi kemasukan tahun 2023. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan Institut dalam memperkasa bidang pengajian Al-Quran agar sentiasa berkembang selaras dengan keperluan negara, khasnya dalam melestari tradisi keilmuan Islam yang muktabar.

Sesungguhnya kejayaan menamatkan pengajian tahfiz bukanlah noktah akhir, bahkan merupakan permulaan kepada menanai amanah yang lebih besar. Penguasaan pelbagai disiplin ilmu Al-Quran termasuk Tajwid, Qiraat, Tafsir, Ulum Al-Quran dan Tadabbur, merupakan khazanah keilmuan yang amat bernilai bagi membina masyarakat celik Kalamullah.

Para graduan berpotensi besar untuk memperluas peranan sebagai huffaz profesional yang berdaya saing, berpaksi kepada tradisi keilmuan yang dipelihara turun-temurun, serta mampu berdikari membawa penghayatan nilai Al-Quran dalam pelbagai lapangan kehidupan demi pembangunan ummah.

Pada hemat Saya, dalam melestarikan kecemerlangan bidang ini, Pembangunan profesional tenaga pengajar harus diberikan perhatian yang sewajarnya. Ini merangkumi membuka ruang dan peluang bagi mereka mempertingkat kelayakan akademik, memperluas budaya penyelidikan, serta menghasilkan karya ilmiah berwibawa, khususnya dalam memperkukuh kurikulum pengajian Al-Quran negara.

Perkara ini bertepatan dengan Titah Paduka Ayahanda semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara 1446 Hijrah, bahawa antara harapan tinggi negara adalah untuk melihat “guru-guru yang berkaliber, khasnya guru-guru Al-Quran yang mampu untuk melahirkan generasi cemerlang dalam bidang Al-Quran”, di samping memberi jaminan bahawa Kerajaan Baginda akan sentiasa memberi keutamaan kepada bidang pengajian Al-Quran.

Sehubungan itu, kekuatan hafazan wajib disempurnakan dengan kefahaman tadabbur yang sahih berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, agar kita sentiasa terhindar daripada fahaman yang menyimpang. Penghayatan Al-Quran melalui tilawah yang tartil, ta’lim dan tazkiyah berupaya membentuk sahsiah huffaz sebagai qudwah hassanah, iaitu contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Dalam mendepani arus pemodenan, kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai wahana bantu penyebaran ilmu dan bukan sebaliknya. Walau bagaimanapun, kecerdasan buatan tidak sesekali dapat menggantikan keutamaan guru, kerana kaedah talaqqi dan musyafahah kekal sebagai asas mutlak dalam memelihara keaslian sanad bacaan dan kefahaman Al-Quran.

Pada masa yang sama, aspek pembangunan insan tidak boleh diketepikan. Pemerkasaan kemahiran insaniah melalui latihan peningkatan keupayaan, termasuk jalinan kerjasama strategik bersama Pusat Pembangunan Belia, amat bertepatan bagi melahirkan graduan yang memiliki daya kepimpinan, semangat kerja berpasukan serta ketahanan diri yang kukuh dalam mendepani realiti pasaran kerjaya.

Justeru, Saya menyeru para graduan agar terus memelihara hafazan, memperkaya khazanah ilmu dan menjunjung tinggi adab Al-Quran dalam apa jua bidang yang diceburi. Bawalah amanah ini sebagai penjaga Kalamullah yang memartabatkan syiar Islam demi merealisasikan hasrat murni Paduka Ayahanda membangunkan sebuah Negara Zikir.

Sebagai penutup, Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan serta keluarga, dan ucapan terima kasih kepada Ahli Lembaga Institut serta seluruh Jawatankuasa Pengelola Majlis. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan taufik dan hidayah-Nya, memberkati para graduan dengan kekuatan untuk terus memelihara hafazan, memperkukuh keilmuan, serta kekal istiqamah berbakti demi agama, raja, bangsa dan negara.

Semoga segala usaha murni semua pihak yang menjayakan majlis ini dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Sabda DPMM Di Majlis Penganugerahan BICTA 2026

SABDA DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
 IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

PENAUNG DIRAJA BRUNEI ICT AWARDS (BICTA)

DI MAJLIS PENGANUGERAHAN BICTA
2026

 BERTEMPAT
DEWAN PLENARY PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

  PADA
 HARI RABU
13HB RABIULAWAL 1448 BERSAMAAN 27HB OGOS 2026

Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillah Hir Rahman Nir Rahim Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya, Brunei ICT Awards (BICTA) terus berperanan sebagai wadah utama dalam mencungkil bakat, menyemai budaya reka cipta, serta memperkasa inovasi anak tempatan.

Dunia kini berada dalam fasa perubahan teknologi yang amat pesat. Kemajuan dalam Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan sistem automasi pintar turut merobah gaya hidup, kaedah pembelajaran dan cara kerja, serta urus niaga. Namun matlamat kita adalah jelas, teknologi adalah pemudah cara kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Dalam mendepani perkembangan ini, sama-sama kita mengamati titah Paduka Ayahanda semasa Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, yang antara lain menegaskan bahawa:

“Kecerdasan Buatan (AI) mesti dimanfaatkan untuk memperluas peluang, dan bukan memperdalam jurang, serta untuk memperkasa daya cipta manusia, bukan melemahkannya.”

Titah Paduka Ayahanda ini jelas memberikan peringatan dan panduan berharga dalam setiap langkah penerokaan teknologi baharu.

Pengalaman yang Saya peroleh semasa siri lawatan kerja rasmi ke luar negara baru-baru ini, khususnya dalam meneliti Pusat-Pusat Kecemerlangan serta aplikasi teknologi moden di institusi pengajian tinggi, memperlihatkan betapa pentingnya pelaburan yang sistematik dan mampan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembinaan modal insan berkemahiran tinggi serta perkongsian strategik dengan pihak industri.

Seiring dengan peralihan ini, pada hemat Saya sudah tiba masanya untuk kita mengorak langkah lebih jauh. Kita bukan sekadar memanfaatkan kemajuan teknologi, bahkan mampu menerajui penciptaan dan pembangunan inovasi tempatan. Keupayaan untuk memahami dan menyesuaikan teknologi mengikut keperluan domestik, termasuk dalam bidang strategik seperti keterjaminan makanan dan perkhidmatan awam yang mesra rakyat, amat mustahak bagi kita membina asas daya tahan serta menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Di sinilah letaknya nilai BICTA yang lebih bermakna. Wadah ini perlu terus menjadi medan lahirnya idea dan bakat yang bukan sahaja mampu meraih anugerah, tetapi berkembang menjadi penyelesaian sebenar, penjanaan harta intelek, dan perusahaan tempatan yang memberi impak.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kita perlu memperkukuh asas Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang merentas pelbagai sektor, dengan disokong oleh jaringan kerjasama antarabangsa. Pembangunan National Science, Technology and Innovation Strategy Framework merupakan langkah strategik dalam memberikan hala tuju yang tersusun kepada pembangunan ekosistem STI negara bagi memperkukuh keberhasilan penyelidikan serta menghubungkannya dengan kehendak industri.

Usaha ini melengkapi matlamat Digital Brunei 2030 yang membawa aspirasi “Together Towards Digital Brunei”, dengan data dan AI sebagai pemacu transformasi merentas sektor. Kejayaan strategi ini bertunjangkan kepada beberapa keutamaan asas iaitu melahirkan barisan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sains data; keselamatan siber dan teknologi baharu; penyediaan dasar dan kerangka kawal selia yang responsif; dan pemanfaatan data secara berimpak tinggi; serta sinergi yang padu antara Kerajaan, industri dan institusi pengajian.

Sehubungan ini, asas ekosistem STI yang kukuh turut memerlukan ruang pengujian teknologi dalam persekitaran sebenar dan terkawal. Inisiatif AITI dalam membangunkan 5G Campus Network di Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei dihasratkan menjadi ‘testbed’ bagi menguji aplikasi masa hadapan termasuk sistem pengangkutan pintar, kenderaan berautonomi, serta keselamatan awam berasaskan teknologi termaju.

Adalah menjadi harapan tinggi saya bagi kemudahan prasarana ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah memperkukuh ekosistem inovasi kebangsaan, memastikan hasil penyelidikan berupaya beralih secara lancar daripada pembuktian konsep kepada penjanaan harta intelek dan produk pasaran yang berdaya saing.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam di peringkat serantau terus menunjukkan pencapaian yang menggalakkan. Melalui Asia Pacific ICT Alliance Awards (APICTA), bakat tempatan membuktikan keupayaan mereka bersaing di persada antarabangsa dengan bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.

Akhir kata, kepada semua peserta, finalis dan penerima anugerah BICTA 2026, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah seraya menyeru “Berinovasilah untuk mencipta nilai, menangani cabaran bersama, dan membina masa hadapan Negara Brunei Darussalam yang makmur dan berdaya tahan”.

Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), InfoCom Federation Brunei (IFB), kementerian-kementerian, institusi-institusi pendidikan serta pihak industri atas komitmen berterusan dalam menjayakan usaha ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

 ***

Sabda DPMM Di Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian DewasaPeringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 / 2026 (Malam Pertama)

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 / 2026 (MALAM PERTAMA)

BERTEMPAT DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

PADA
HARI ISNIN MALAM SELASA
10HB ZULKAEDAH 1447
BERSAMAAN 27HB APRIL 2026

 

 

Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, setinggi puji dan syukur dipanjatkan ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya jua, kita dapat hadir dan berhimpun malam ini bagi mendengarkan dan menghayati bersama lantunan kalam Allah dalam Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah.

Majlis Musabaqah ini merupakan wadah penting dalam usaha berterusan negara untuk memartabatkan Al-Qur’an sebagai syiar serta pegangan dan panduan hidup yang syumul. Musabaqah yang kini memasuki tahun ke-67 membuktikan pemerkasaannya yang terus subur dengan peredaran masa.

Tema tahun ini, “Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur’an dan Menghayati Ajarannya”, menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menjunjung dan menanai tanggungjawab serta amanah yang sangat besar ini.

Ayat-ayat suci Al-Qur’an bukan untuk dilafazkan semata-mata. Kalamullah diturunkan untuk dibaca dengan hati yang hadir, difahami dengan akal yang terbuka, dan dihidupkan dalam setiap tindak-tanduk kehidupan. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Shad, ayat 29, tafsirnya:

“(Al-Qur’an ini ialah) sebuah kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (Wahai Nabi Muhammad), yang mengandungi berkat, supaya mereka memikirkan dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai akal dapat mengambil pengajaran.”

Justeru, Majlis Musabaqah ini bukan semata-mata tentang pertandingan. Ia adalah usaha bersama untuk menyemai dan memperkukuh kecintaan hakiki terhadap Al-Qur’an, membentuk sahsiah dan kerohanian generasi muda menjadi pewaris yang berpegang teguh kepada tauhid.

Di sebalik membaca dengan tartil, Allah Subhanahu Wata’ala juga memperingatkan kita dalam Surah Muhammad, ayat 24, iaitu tentang hikmah serta tuntutan yang lebih besar dalam menyantuni kitabullah sepertimana tafsirnya:

“Maka tidakkah mereka memperhatikan Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?”

Paduka Ayahanda memperingatkan sempena Majlis Musabaqah tahun lalu bahawa “Al-Qur’an bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran”.

Titah Paduka Ayahanda itu menegaskan bahawa penghayatan Al-Qur’an bukan sahaja membentuk insan yang bertaqwa, bahkan turut melahirkan akal yang tajam dan jiwa yang berilmu.

Pada hemat Saya, “Celik Al-Qur’an” bermaksud lebih daripada sekadar keupayaan membaca. Ia menuntut generasi yang memahami apa yang dibacanya, lidah serta hatinya sentiasa tergerak oleh kehalusan kalam Allah, dan yang menjadikan Al-Qur’an sebagai pegangan terunggul dalam mendepani sebarang bentuk cabaran kehidupan. Perkara ini seiring dengan aspirasi negara, iaitu untuk secara berterusan memelihara kesejahteraan rakyat dan tanah air tercinta melalui gagasan pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek spiritual, intelektual, ekonomi, dan sosial.

Dalam hubungan ini, Saya menyambut baik dan menghargai komitmen berterusan semua pihak khasnya ke arah mempergiat serta mengembangkan pelbagai program “Celik Al-Qur’an” termasuk kelas-kelas tadabbur untuk seluruh peringkat masyarakat. Insiatif sepadu pelbagai pihak berkepentingan ini telah semakin dipermudahkan melalui berbagai kemudahan digital, termasuk rakaman audio bacaan Al-Qur’an dan rancangan televisyen berkonsepkan pembelajaran Al-Qur’an yang boleh diakses melalui saluran media rasmi Kerajaan RTBGo menurut kesesuaian masa setiap pencinta ilmu.

Mereka yang berpegang teguh kepada Al-Qur’an adalah juga mereka yang lebih kukuh dalam berhadapan dengan pengaruh negatif luar, serta lebih terdidik untuk mengenal dan memperkasa nilai-nilai falsafah negara Melayu Islam Beraja. Di sinilah peranan kita semua untuk terus berusaha mengisi kehidupan dengan mendidik akal-budi yang berupaya mengenal “hikmah dan kebenaran” yang dimaksudkan.

Akhir kata, dengan lafaz kalimah agung “Bismillah Hir Rahman Nir Rahim”, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1447 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Sabda DPMM Di Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

DI MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1447 HIJRAH

DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

HARI JUMAAT MALAM SABTU,
17HB RAMADAN 1447 BERSAMAAN 6HB MAC 2026

Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapatlah kita berkumpul memperingati peristiwa Nuzul Al-Qur’an pada malam 17 Ramadhan yang penuh berkat ini. Tema sambutan pada tahun ini, ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur’an dan Menghayati Ajarannya’, bertepatan dengan hasrat Negara untuk terus memperkasa jati diri umat Islam melalui kitab suci Al-Qur’an.

Tema ini merupakan kesinambungan daripada hasrat Paduka Ayahnda yang menekankan Al-Qur’an sebagai teras kehidupan. Sebagaimana Titah Paduka Ayahnda sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Peringkat Akhir Kebangsaan lepas:

“Al-Qur’an bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran.”

Bagi memastikan ‘manual kehidupan’ ini benar-benar dihayati, Kerajaan sentiasa memperkasa inisiatif melalui pelbagai peringkat pendidikan agama kebangsaan termasuk pencapaian serantau khususnya dalam menerbitkan Tafsir ‘Ilmi Ayat-Ayat Kauniyyat menerusi kerjasama MABIMS. Usaha seumpamanya adalah bertujuan melahirkan generasi penerus yang mahir membaca dan membesar dalam lingkungan adab serta kecintaan kepada Kalamullah.

Oleh itu, sebagai usaha bersinambung memahami isi kandungan Al-Qur’an, kita dituntut untuk mendekatinya melalui tadabbur. Pendekatan ini selaras dengan tujuan penurunan Al-Qur’an, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah Shad ( ص ), ayat 29 yang bermaksud:

“(Al-Qur’an ini ialah) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) yang mengandungi berkat, supaya mereka memikirkan dengan teliti ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal dapat mengambil pengajaran.”

Amalan Tadabbur Al-Qur’an membawa kepada penghayatan tiga konsep utama: Tilawah (iaitu, pembacaan yang betul dan bertajwid), Ta’lim (mempelajari dan memahami isi kandungannya), dan Tazkiyah (pengamalan ajaran Al-Qur’an bagi membentuk akhlak mulia serta adab dalam hubungan sesama insan).

Namun, dalam meniti arus kemodenan termasuk kemajuan teknologi digital dan pengaruh Kecerdasan Buatan (AI) kini merupakan suatu kenyataan merentasi kehidupan seharian.

Dalam hal ini, kita menjunjung tinggi Titah peringatan Paduka Ayahnda mengenainya pada Sambutan Ilal Hijrah baru-baru ini, khususnya cabaran teknologi AI yang semakin canggih sehingga boleh menyebabkan: “kesukaran kita untuk menilai dan membezakan yang mana realiti atau yang diada-adakan.”

Pada hemat saya, cabaran kepantasan maklumat dan pertembungannya menuntut kita untuk memiliki sikap yang lebih bijaksana dalam berusaha merungkai berbagai khazanah ilmu yang tersirat. Hal ini selaras dengan sabda peringatan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, mafhumnya:

“Sesiapa yang berkata tentang Al-Qur’an tanpa ilmu, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam api neraka.”

Sehubungan dengannya, perlu diingat bahawa peranan mufassir atau pentafsir Al-Qur’an merupakan satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Ianya menuntut penguasaan ilmu dan pematuhan kepada disiplin ilmu yang ketat sebagaimana digariskan dalam kitab-kitab ‘Ulum Al-Qur’an.

Dengan demikian, kita perlu menyedari bahawa teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) hanyalah sebuah wasilah atau perantara dalam mana ianya tidak memiliki ‘Basirah’ atau ‘mata hati’ di samping tidak berpaksikan kepada disiplin ilmu yang bersanad. Kemajuan teknologi ini bagaimanapun harus dimanfaatkan dengan aplikasinya berpandukan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah demi memelihara keselamatan akidah serta kesejahteraan ummah dan negara.

Justeru, kebijaksanaan kita menggunakan teknologi mestilah sentiasa diimbangi dengan kekuatan rohani dan integriti ilmu yang bersanad. Inilah benteng utama kita bagi melahirkan ugamawan serta generasi yang bukan sahaja celik digital, malah teguh imannya dalam mendepani apa jua cabaran masa kini dan mendatang.

Akhir kalam, adalah penting dan menjadi keutamaan bagi semua pihak untuk terus bekerjasama dalam menanai peranan masing-masing ke arah memperkukuh pengalaman pembelajaran, pengajian dan penghayatan Al-Qur’an melalui pendekatan tadabbur yang sahih dan mudah. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan taufiq dan kekuatan untuk kita membaca, memahami, dan mengamalkan isi kandungan Al-Qur’an dengan istiqamah serta meraih syafa’atnya dan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam rahmat serta perlindungan-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

***

Sabda DPMM Di Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj Peringkat Negara Tahun 1447H

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
DI MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1447 HIJRAH
 
DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC),
BERAKAS
 
PADA HARI SABTU,
27HB REJAB 1447 BERSAMAAN 17HB JANUARI 2026
 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Pada pagi yang penuh keberkatan dan bermakna ini, Saya terlebih dahulu merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, kita berpeluang berhimpun untuk memperingati peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj; iaitu peristiwa luar biasa yang mengangkat martabat Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam sebagai pedoman besar kepada seluruh umat manusia.

Di sebalik peristiwa tersebut, tersirat perintah yang amat agung kedudukannya, iaitu kewajipan sembahyang fardhu lima waktu dalam mana Allah Azza Wajalla mensyariatkannya secara langsung kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassalaam ketika Baginda naik ke Sidratul Muntaha yang menandakan betapa tingginya martabat sembahyang sebagai tiang ugama dan asas keteguhan akhlak umat Islam.

Tema sambutan pada tahun ini, “Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang”, amat bertepatan dengan tuntutan pembangunan negara. Sesungguhnya kecemerlangan seseorang insan tidak hanya diukur melalui kekuatan fizikal atau kecerdikan akal semata-mata, tetapi turut bertunjangkan keteguhan spiritual, keluhuran akhlak serta disiplin diri. Nilai-nilai ini terbina melalui sembahyang yang dijaga dan dilaksanakan dengan penuh khusyuk.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah al-Mu’minun ayat 1 hingga 2 yang bermaksud:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyang mereka.”

Hakikat ini menegaskan bahawa kualiti sembahyang adalah asas kejayaan manusia sepertimana pertautannya dengan titah Paduka Ayahanda semasa Sambutan Isra’ dan Mi’raj 1446 Hijrah yang lalu:

Hati dan minda orang sembahyang tidak ke mana-mana, melainkan hanya kepada Allah semata-mata, menjadikan hati dan minda orang sembahyang itu pasti bersih, tenang dan sihat.”

Oleh itu, hanya minda yang sihat dan cerdas sahaja yang mampu membuat pertimbangan antara perkara baik dan buruk. Inilah ciri-ciri penting bagi pembentukan kecemerlangan modal insan yang seimbang; bukan sahaja cemerlang dalam akademik atau kemahiran teknikal, tetapi turut disempurnakan dengan kerohanian yang kukuh, akhlak yang luhur, dan integriti yang tinggi. Dalam tradisi Brunei, modal insan yang unggul ialah insan yang berilmu, beradab, berugama dan berakhlak mulia.

Pembangunan modal insan cemerlang adalah bermula daripada institusi keluarga yang kukuh sebagai asas utama dalam membentuk keperibadian, akhlak dan sahsiah anak-anak. Menyedari hakikat ini, usaha mengukuhkan institusi keluarga hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

Perkara ini seiring dengan titah Paduka Ayahanda pada Sambutan Mauludir Rasul bagi Tahun 1447 Hijrah yang menekankan: Keluarga yang dibangun berdasarkan keimanan, ketaqwaan dan cinta kepada Allah Subhanahu Wata’ala akan membentuk kepada keluarga yang penuh dengan ketenangan, kasih sayang dan rahmat.”

Paduka Ayahanda turut mengingatkan bahawa setiap daripada kita Adalah pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Oleh itu, adalah menjadi keutamaan mutlak untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berakhlak mulia dan jauh daripada sebarang gejala buruk khusus di zaman penuh cabaran ini. Adalah menjadi azam bersama untuk menjadikan institusi keluarga masing-masing sebagai keluarga yang diberkati mengikut acuan keluarga Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kejayaan kita membentuknya adalah juga antara pemangkin kepada pencapaian matlamat Wawasan Negara 2035.

Akhir kalam, marilah kita mengambil tabarruk daripada peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj serta meneladani akhlak dan ketabahan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassalam dalam memperteguh hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wata’ala melalui kesempurnaan ibadah sembahyang. Mudah-mudahan kita dikurniakan kejayaan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat. Amiin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

***​

 

Sabda DPMM Sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-Dua Puluh Empat Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

SABDA​

DULI YANG TERAMAT MULIA​
PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
JENERAL ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE PENGAMBILAN 
KE-DUA PULUH EMPAT SEKOLAH PEGAWAI KADET, AKADEMI PERTAHANAN, 
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN, 
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI, 
KAMPUNG TANAH JAMBU

PADA KHAMIS, 
25HB REJAB 1447 / 15HB JANUARI 2026
 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim​​

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.​​

​​Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat berhimpun pada pagi yang penuh makna ini bagi Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-24, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.​​

Terlebih dahulu, Saya merakamkan setinggi tahniah dan syabas kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas mutu persembahan perbarisan yang kemas dan penuh bersemangat sebentar tadi.

Alhamdulillah, seramai 50 Pegawai Kadet akan ditauliahkan pada kali ini, termasuk penyertaan antarabangsa daripada Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Bersenjata Republik Singapura, dan buat julung kalinya, daripada Angkatan Tentera Diraja Thailand.

Peningkatan penyertaan dari Angkatan Tentera serantau ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kualiti latihan yang disampaikan dan telah mengangkat kredibiliti Sekolah Pegawai Kadet di rantau ini. Syabas, kepada Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Dalam usia Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei baharu mencapai 15 tahun, Saya amat berbangga menyaksikan pencapaian yang telah diraih.

Antaranya ialah penganugerahan Ijazah Sarjana dalam Pengajian Pertahanan dan Sekuriti (Master of Defence and Security Studies) kepada peserta Kursus Maktab Turus ABDB Siri Ke-15 bagi tahun 2025, yang buat pertama kalinya dianugerahkan melalui kerjasama Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dan Universiti Brunei Darussalam.​​

Pencapaian signifikan ini mencerminkan kemajuan pendidikan ketenteraan ABDB yang seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan rakyat berkemahiran dan berpendidikan tinggi sebagai salah satu matlamat Wawasan Brunei 2035.

Saya juga sukacita mengambil maklum mengenai perancangan Akademi Pertahanan bersama Universiti Brunei Darussalam untuk seterusnya memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Pertahanan dan Sekuriti (Bachelor of Defence and Security Studies) sebagai pendidikan asas bagi semua Pegawai Muda ABDB.

Pelaksanaannya bermula dari Sekolah Pegawai Kadet hingga ke semua kursus Perkembangan Pangkat Leftenan dan Kapten, sehingga lulus Kursus Staf Pertengahan sebagai kursus kemuncak dalam mengutip mata modul akademik Ijazah Sarjana Muda.

Melalui konsep Pendidikan Sepanjang Perkhidmatan ini, Saya yakin Pegawai-Pegawai ABDB akan dapat mempertingkatkan kebolehan dalam memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada pembangunan strategi, diplomasi pertahanan dan keselamatan serantau, selaras dengan hala tuju yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2021 dan Gagasan Angkatan 2035.

Seiring dengan usaha mempertingkatkan pembangunan profesionalisma, Saya juga difahamkan bahawa kemaskini Kertas Putih Pertahanan 2021 sedang giat dilaksanakan dan akan dilancarkan di Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-65 tahun ini, insya Allah.

Saya yakin pengemaskinian tersebut akan memperkukuhkan lagi keupayaan negara dalam menghadapi “new emerging security challenges” – cabaran keselamatan masa hadapan secara lebih strategik, fokus dan bersepadu.

Namun pada hemat Saya, selain memiliki pendidikan dan pengetahuan yang tinggi, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei hendaklah sentiasa peka terhadap perubahan lanskap geopolitik dan ketenteraan masa kini yang semakin dinamik dan mencabar.

Peperangan moden bukan sahaja tertumpu kepada darat, laut dan udara semata-mata, bahkan turut merentasi domain angkasa, siber dan maklumat.

Ancaman seperti serangan siber, pencerobohan rangkaian serta penyebaran maklumat palsu dan ditambah lagi dengan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), mampu menggugat keselamatan negara.

Oleh itu, sinergi kekuatan sumber tenaga manusia dan teknologi tetap menjadi keutamaan dalam menghadapi ancaman ini.

Sehubungan dengannya, pada hemat Saya, Dasar Pertahanan Siber Kementerian Pertahanan perlu sentiasa diperkukuhkan melalui kerjasama erat dengan agensi-agensi keselamatan negara dalam mencegah, mengesan, dan menangkis sebarang bentuk ancaman siber, dari dalam mahupun luar negara, melalui pendekatan Akhirnya, Saya sukacita merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada seluruh warga Akademi Pertahanan, khususnya kepada Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai, Colour Sergeant, School Sergeant Major, Jurulatih dan Kakitangan Sekolah Pegawai Kadet di atas kegigihan dan ketabahan dalam melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet dan seterusnya menjayakan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini. Semua ini adalah pengorbanan yang sangat dihargai.

Saya juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tulus kepada para ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga di atas suntikan semangat dan sokongan berterusan yang menjadi sumber kekuatan Pegawai-pegawai Kadet dalam menempuhi latihan yang mencabar ini hingga ke Perbarisan Sovereign’s Parade pada pagi ini.

Kepada semua Penerima-penerima Anugerah, Saya ucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan yang dicapai hasil usaha gigih, disiplin serta semangat yang tinggi.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, telus dan semangat kepimpinan yang cemerlang.

Dengan merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata‘ala dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, dengan berkat kalimah “Bismillah Hir Rahman Nir Rahim”, Saya dengan sukacita mengurniakan Tauliah Pegawai Tentera kepada Lima Puluh (50) Pegawai Kadet, Pengambilan Ke-24.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

​​***​