Titah KDYMM Sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-19

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE SEMBILAN BELAS
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS
7 JAMADILAKHIR 1442 / 21 JANUARI 2021

BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
 
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita hadir pada pagi ini bagi menyaksikan Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-19 Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Beta dengan amat sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada 73 orang pegawai kadet yang telah berjaya menamatkan latihan dan juga telah mempamerkan penampilan perbarisan bermutu dan kemas sebentar tadi. Syabas Beta ucapkan kepada semua.

Demikian juga ucapan ini ditujukan kepada para ibubapa, penjaga dan keluarga di atas sokongan padu mereka di sepanjang pegawai-pegawai kadet ini mengikuti latihan.

Pada tahun 2020, Negara kita tidak terkecuali mengalami musibah pandemik coronavirus.  Ianya telah menjejaskan aktiviti rutin termasuk pengendalian latihan tentera. Namun Alhamdulillah, latihan ketenteraan masih saja dapat berjalan walaupun dengan kaedah berbeza. Pembelajaran alternatif melalui teknologi telah berjaya dilaksanakan. Ini telah mengesahkan bahawa kursus-kursus dan lain-lain latihan boleh saja disampaikan melalui kaedah digital dengan berkesan.

Sehubungan itu, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei wajarlah mengambil ingatan bahawa perkembangan teknologi adalah berupaya atau mampu untuk mengimbangi kekurangan tenaga kerja. Selain itu, aplikasi teknologi juga perlu diberi perhatian untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pentadbiran dan kebolehgunaan. Perkembangan teknologi juga berkait rapat dengan keupayaan siber yang merupakan cabaran baru bagi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk bagaimana menghadapi ancaman-ancaman yang berkaitan dengannya.

Kepada pegawai-pegawai kadet yang menamatkan latihan mereka pada pagi ini, Beta sekali lagi mengucapkan syabas di atas kecekalan dan semangat gigih awda menjalani kursus yang bermakna ini sehingga berjaya. Hari ini menandakan bermulanya kerjaya awda sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang bertauliah. Sebagai pemimpin khususnya sebagai seorang pegawai muda memerlukan komitmen dan integriti yang tinggi selain sentiasa menjadi role model kepada yang dipimpin.

Sehubungan dengan itu, Beta ingin mengingatkan kepada semua agar sentiasa menjaga disiplin dan tahap profesionalisme masing-masing. Selain itu, Beta juga ingin mengingatkan supaya semua sentiasa memelihara pegangan kerohanian untuk mendapatkan rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala daripada gejala-gejala buruk.

Alhamdulillah, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah mencapai usianya 10 tahun pada 25 November 2020 yang baru lalu.  Beta dimaklumkan sepanjang satu dekad kelahiran Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah berjaya mendidik seramai 2216 orang pegawai tentera dari dalam dan luar negara melalui beberapa kursus termasuk seramai 605 orang pegawai kadet.

Beta berbangga dengan transformasi Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Diantara perkembangannya yang ketara ialah mempunyai perkhemahannya sendiri, menjalin kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara dan mampu untuk menarik peserta kursus dari rantau dan antarabangsa. Ini termasuk pada akhir-akhir ini melahirkan graduate diploma dan juga Sarjana dalam Pengajian Pertahanan dan Keselamatan atau Masters in Defence and Security Studies melalui kolaborasi bersama Universiti Brunei Darussalam.

Beta terpanggil disini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Akademi Pertahanan yang merangkumi Pemangku Komandan, Pegawai Pemerintah, Intake Commander, Colour Sergeant, semua jurulatih dan staf Sekolah Pegawai Kadet atas segala dedikasi dan penat lelah mereka dalam melatih dan mendidik bakal-bakal Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan menjayakan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini.

Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala pengorbanan mereka dengan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda. 

Dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka Beta kurniakan tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada 73 pegawai kadet pengambilan ke-19.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2021

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU
MASIHI 2021

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita melangkah ke tahun baru Masihi 2021.

Tahun 2020, adalah merupakan tahun yang sangat mencabar bagi negara kita sendiri dan malah dunia, iaitu bersabit dengan tularnya wabak Coronavirus.

Wabak ini memberi impak besar kepada perkembangan sosio-ekonomi di seluruh dunia.

Alhamduillah, dengan izinNya jua, negara kita telah dapat membendung wabak berkenaan dari terus merebak, hasil dari usaha-usaha bersepadu oleh pihak-pihak berkenaan serta penglibatan dan kerjasama seluruh rakyat dan penduduk menanganinya dengan ‘vaksin ketuhanan’ juga digunakan secara konsisten.

Pada tahun 2021 ini, Negara Brunei Darussalam akan menjadi Pengerusi kepada mesyuarat di peringkat ASEAN yang membawa Tema ‘We Care, We Prepare, We Prosper’. Tema ini bertujuan memberi fokus kepada hal ehwal kesejahteraan rakyat ASEAN.

Maka dalam hubungan ini, keutamaan akan terus diberikan kepada melaksanakan inisiatif-inisiatif yang membolehkan negara-negara ASEAN akan lebih bersedia bertindak balas untuk memelihara kesejahteraan rakyat masing-masing, khasnya ketika menghadapi sebarang krisis atau bencana di masa-masa mendatang.

Dalam masa yang sama juga, rakyat ASEAN perlu diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan, supaya lebih bersedia menghadapi cabaran serta ligat merebut peluang dari perkembangan teknologi dan arus perubahan global yang pantas.

Oleh itu, Negara Brunei Darussalam sendiri mesti seiring dengan rakan-rakan membuat perubahan, dengan sistem negara, ekonomi, pendidikan dan keselamatan diperkukuhkan sebagaimana merujuk kepada Blueprint-Blueprint, Pelan-Pelan Induk dan Pelan-Pelan Strategik yang dikeluarkan, sama ada di peringkat kementerian mahupun nasional.

Mengenai ehwal keselamatan ini, pada bulan Ogos 2020 yang lalu, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Cyber Security Brunei sebagai agensi yang menjaga keselamatan siber kebangsaan dari sebarang insiden dan ancaman siber.

Brunei turut teruja dengan perkembangan transformasi digital untuk menuju aspirasi menjadikan negara sebagai sebuah negara pintar. Maka untuk itu, kerjasama strategik yang berterusan di antara semua pihak yang berkepentingan adalah diperlukan bagi menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran bagi mencapai kemajuan kearah smart city.

Mengenai tenaga kerja alhamdulillah, pada tahun 2020, sejumlah 9,317 warga Brunei telah mendapat pekerjaan di sektor swasta, berbanding sejumlah 9,056 pada tahun 2019. Kerajaan melalui Manpower Planning and Employment Council (MPEC) akan meningkatkan usaha menerusi Job Centre Brunei (JCB) di antara sektor awam dan swasta dalam meluaskan lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Apa yang Beta harapkan, mereka yang berkhidmat dalam sektor awam atau swasta akan mengamalkan budaya kerja yang berintegriti tinggi, bertanggungjawap dan patuh kepada peraturan dan undang-undang. Isu keruntuhan dan kelemahan etika dan moral dalam melaksanakan amanah boleh menjadi penyebab kepada keburukan amalan rasuah, pecah amanah atau salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi. Beta yakin, manakala sifat seumpama ini dihapuskan, insya Allah, negara akan selamat dan sentiasa diberkati untuk menuju kejayaan.

Kerajaan Beta melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi telahpun menyediakan Economic Blueprint sebagai hala tuju untuk mencapai perkembangan mantap ekonomi. Hasrat ini hanya akan dicapai melalui sokongan padu oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Beta ingin melihat dasar ekonomi tersebut berupaya untuk meningkatkan lagi produktiviti negara melalui inovasi dan koordinasi yang efektif. Disamping itu isu sekuriti makanan juga adalah agenda utama kita, supaya bekalan makanan asasi benar-benar mencukupi.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, pasukan-pasukan keselamatan, serta para sukarelawan di atas usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawap masing-masing sepanjang tahun 2020.

Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masehi 2021 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada kita semua dan menjadikan Negara Brunei Darussalam kekal aman dan sejahtera di bawah naunganNya. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Perutusan KDYMM Bagi Majlis Ilmu 2020 Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-74 Tahun

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BAGI MAJLIS ILMU 2020
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN BAGINDA YANG
KE-74 TAHUN
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, Majlis Ilmu tahun ini masih saja dapat diungkayahkan, walaupun negara masih berwaspada terhadap penularan wabak koronavirus.

Sehubungan itu, Beta berpendapat, kita masih saja tidak boleh leka dengan keadaan sekarang. Usaha dan langkah berjaga-jaga masih saja perlu diteruskan, dengan ayat-ayat al­Qur’an dan do’a-do’a terus diamalkan.

Sesuai dengan tema Majlis Ilmu pada tahun ini iaitu “Mensyukuri Ni’mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah”, kita tidaklah wajar untuk lupa bersyukur di atas limpah kurnia Allah menyelamatkan kita dan negara dari wabak yang sedang menular itu.

Tema ini cukup relevan untuk dibincangkan oleh para ilmuan yang terdiri daripada para ulama, pakar perubatan dan kesihatan, serta juga ahli akademik. la tidak syak lagi adalah perkara penting, kerana kesihatan merupakan anugerah Allah yang amat berharga.

Sejajar dengan tuntutan ugama, maka inilah masanya untuk semua pihak komited dengan perkara kesihatan. Kerana itu juga dianggap satu cara untuk mengelakkan jangkitan wabak.

Pada hemat Beta, sesuai dengan suasana Majlis Ilmu, tidak syak lagi, perkara wabak koronavirus mustahak untuk dibuat kajian dan huraian termasuk mencari jawapan mengapa wabak ini alhamdulillah, dapat dikawal dengan berkesan di negara kita, adakah pada pendapat para ilmuan, bahawa diantara sebabnya ialah, kerana kita terus mematuhi piawaian standard antarabangsa, disamping secara konsisten menggunakan ‘vaksin ketuhanan’ berupa ayat-ayat al­Qur’an dan do’a-do’a?

Perkara ini penting, kiranya dengan kajian dan huraian itu akan dapat menyingkap sedikit hikmah disebalik kejadian. Sesungguhnya hikmah itu mampu untuk memberi impak kepada jiwa sebagai pengajaran.

Kita semua yakin, setiap kejadian yang didatangkan oleh Allah adalah tidak sunyi dari mengandungi hikmah. Kerana itu ia perlu difahami dan dipelajari untuk mengetahui hikmah itu. Jika hikmah dapat diketahui walaupun sedikit, maka kesannya adalah mampu untuk menumbuhkan keinsafan atau kesedaran di hati kita. Inilah harganya hikmah itu.

Beta dari dahulu lagi mengharapkan, supaya Majlis Ilmu berupaya, untuk memacu kesedaran berugama dan bermasyarakat. Ia Beta lihat sebagai mampu untuk memainkan peranan khusus dalam bidang keilmuan dan dakwah, iaitu apabila diantara acara-acaranya ialah berupa forum atau seminar dan ceramah. Ini semua tidak diragukan lagi adalah wadah ke arah penyibaran ilmu dan dakwah itu.

Beta optimis, Majlis Ilmu memang mampu untuk mencipta visi dan misi yang berkebajikan bagi negara. Kerana itu, adalah sesuai untuk ia terus diadakan dari tahun ke tahun untuk meraih manfaat daripadanya.

Akhirnya, Beta mendo’akan, semoga semua pihak yang berkenaan bagi menjayakan Majlis Ilmu ini, akan sentiasa dikurniakan dengan kesihatan, supaya mereka dapat terus berbakti melaksanakan khidmat masing-masing kepada negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kesepuluh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Negara Brunei Darussalam Tahun 1442h/2020m

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA 
MAJLIS KONVOKESYEN KESEPULUH 
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA 
SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1442H/2020M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Ke-10 pada pagi yang mubarak ini. 
Dengan amat gembira, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing.
Beta juga mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa dan penjaga serta para pensyarah KUPU SB yang sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan kepada para graduan.
Kejayaan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini, perlulah disyukuri dengan meningkatkan lagi ketaqwaan terhadap-Nya.
Matlamat KUPU SB ditubuhkan ialah untuk melahirkan modal insan pendidik yang berkepakaran. Begitu juga dengan UNISSA untuk melahirkan para ulama.
Alhamdulillah, kedua-dua buah institusi ugama ini sudahpun melahirkan sekian ramai graduan, cuma soalnya, adakah mereka itu sudah boleh diiktiraf sebagai ulama?
Pada hemat Beta, ini semua banyak bergantung kepada sistem dan program pengajian. Oleh itu, seyogia sistem dan program itu sentiasa dinilai atau direbiu.
Kiranya graduan Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama pada hari ini adalah keluaran dari program yang telah dikemaskinikan sejak tahun 2016. Program ini mengintegrasikan antara pengalaman akademik dan perkembangan syakhsiah melalui program kokurikulum.
Jika program seperti ini dilaksanakan dengan berkesan, pada pendapat Beta, ia sudah tentu mampu untuk melahirkan para graduan yang benar-benar berkualiti dan cemerlang.
Negara bergantung harapan kepada para pendidik untuk membentuk dan melahirkan generasi cemerlang dalam semua aspek, terutama aspek ilmu dan akhlak yang mulia.
Ilmu dan akhlak, manakala keduanya itu menjadi pakaian bagi bangsa, maka bangsa tersebut tidak diragukan lagi adalah bangsa yang bermartabat.
Inilah, yang kita di Brunei Darussalam sedang mengisi atau membina diri dengan ilmu dan akhlak yang dibawa oleh junjungan besar kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam.  
Adapun institusi pengajian tinggi, seperti KUPU SB, adalah turut dibebankan dengan amanah ini.
Akhirnya, Beta sukacita merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti dan Senat, Ra’es, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala khidmat dan sumbangan yang mereka hulurkan. Semoga Allah jua yang akan membalasnya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-8 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-8
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
 
PADA:
Hari Isnin
30HB Rabiulawal 1442
16HB November 2020
 
BERTEMPAT DI
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta tidak jemu-jemu bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadhir ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-8 Universiti Teknologi Brunei pada hari ini.

Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-­masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.

Alhamdulillah, Beta sebentar tadi telahpun melancarkan Permulaan Penulisan Mushaf UTB. Insya Allah Mushaf ini nanti akan mengepelai setiap perarakan dalam Majlis Konvokesyen UTB. Dengan ini juga bererti, UTB tidak ketinggalan memertabatkan Mushaf sebagai ‘lambang keilmuan’ yang tidak ada tolok bandingnya.

Beta, dalam majlis yang permai ini mengambil maklum, bahawa UTB buat julung kalinya akan menganugerahkan ijazah kedoktoran atau PhD. Ini menunjukkan UTB semakin meningkat matang dalam bidang penyelidikan dan pasca ijazah.

Beta pernah menyentuh mengenai peranan UTB sebagai penyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan serta berupaya untuk menyelesaikan isu-isu kontemporari melalui usaha-usaha penyelidikan.

Sehubungan itu, Beta menyambut baik mengenai kerjasama penyelidikan kejuruteraan bertaraf dunia bersama Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP), Imperial College (UK) dan University of New South Wales (Australia). Projek berkenaan dijangka akan menyelesaikan salah satu cabaran teknikal paling mahal di Negara Brunei Darussalam, iaitu isu pasir dalam pengeluaran hidrokarbon.

Projek ini juga akan menawarkan biasiswa kepada pelajar dan menyediakan pekerjaan tempatan kepada para graduan UTB.

Malah, Beta juga difahamkan bahawa aktiviti-aktiviti penyelidikan UTB telah juga dilaratkan kepada komuniti, seperti Majlis Perundingan Kampung, sebagai live project bagi kakitangan dan mahasiswa UTB, selaras dengan visi UTB untuk menjadi sebuah universiti global yang memberi kesan kepada masyarakat.

Mengenai kedudukan UTB sebagai sebuah universiti global, Beta mengucapkan tahniah, kerana pada tahun ini UTB telah berjaya meraih kedudukan ke-350 di QS World University Ranking. Pada julung kalinya juga, UTB telah masuk ke dalam senarai 50 Young Global University dibawah umur 50 tahun, pada tangga ke-40.

Dalam usaha UTB mempersiapkan sumber manuasia, Beta ingin mengingatkan, supaya etika Islam yang selari dengan budaya bangsa sentiasa diutamakan. Ini penting, supaya jati diri tidak dapat di gugat oleh sebarang pengaruh asing.

Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’ a semoga Allah Subhanahu Wata ‘ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.