Titah KDYMM Sempena Majlis Ilmu 2026

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS ILMU 2026

TEMA:
“MELAYU ISLAM BERAJA:
TONGGAK KEDAULATAN NEGARA”

PADA HARI SABTU
27 JAMADILAWAL 1447 /  7 NOVEMBER 2026 

BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir dalam perhimpunan Majlis Ilmu yang penuh keberkatan pada pagi ini.

Beta gembira, Majlis Ilmu terus diadakan sebagai salah satu acara yang disempenakan dalam acara-acara Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta.

Penganjuran Majlis Ilmu seumpama ini, tidak syak lagi mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah Subhanahu Wata’ala dan ugama. Kerana, di dalamnya kita dapat menambah pelbagai bidang ilmu, melalui aktiviti-aktiviti keilmuan. Bahkan ia merupakan ibadat dan amal kebajikan yang memberi manfaat kepada setiap individu, masyarakat dan negara.

Beta mengambil maklum bahawa tema Majlis Ilmu pada tahun ini ialah Melayu Islam Beraja: Tonggak Kedaulatan Negara.”

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, perkataan Melayu Islam Beraja (MIB) bukanlah suatu yang asing kepada orang-orang Brunei. Kerana, kita sedia maklum bahawa Melayu Islam Beraja merupakan falsafah negara yang telah Beta isytiharkan semasa Pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984.

Secara ringkasnya, Melayu mencerminkan jati diri, bahasa, adat dan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat dan negara.

Islam pula, menjadi suluh akidah, syari’ah dan akhlak serta suluh kehidupan bernegara.

Manakala Beraja, mencerminkan institusi pemerintahan yang menjadi payung Allah di bumi-Nya yang bertanggungjawab memelihara ugama, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Pada hemat Beta, falsafah MIB ini perlu difahami, dihayati dan diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat sebagai tonggak untuk membina identiti sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat.

Kerana itu MIB tidak boleh dilihat hanya sebagai suatu ungkapan atau slogan semata-mata. Tetapi ia juga adalah teras sejarah, nilai ugama dan sistem pemerintahan yang tersendiri.

Oleh kerana itu, kemerdekaan tidak dapat dipisahkan daripada falsafah Melayu Islam Beraja, sementara kedaulatan pula, adalah perlu untuk didukung dan dipertahankan oleh semua. Ia bukan hanya tanggungjawab pemerintah, malah merupakan amanah untuk dipikul bersama-sama.

Inilah MIB yang perlu diperkasa dan dipertahankan oleh generasi demi generasi.

Melayu Islam Beraja bukan hanya menjelaskan siapa kita dan dari mana asal kita, tetapi juga turut menentukan bagaimana kita melangkah ke hadapan selaku bangsa yang mempunyai jati diri tersendiri.

Beta penuh yakin dan optimis, dengan berlandaskan MIB, Brunei akan terus disenangi dan dihormati. Tidak siapa yang akan melihat Brunei malap, malah sentiasa berseri-seri kerana Al-Qur’an sentiasa dibaca pada setiap hari.

Maka generasi Brunei bolehlah ia dipanggil Generasi MIB, generasi masa depan yang cemerlang, yang gigih membangun dan memajukan negara hingga ke taraf dunia.

Pada kesempatan ini, Beta ingin berseru kepada semua pihak, untuk sama-sama bertanggungjawab memastikan MIB kekal hidup dalam keluarga, dalam masyarakat, dalam pendidikan, dalam perkhidmatan awam mahupun swasta, dalam institusi keugamaan dan dalam kehidupan bernegara.

Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Penganjur dan semua Ahli Jawatankuasa yang terlibat. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati segala usaha kita yang berkebajikan. Amin.

Dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Shalli ‘Alaa Sayyidina Muhammad, Wa ‘Alla Alihi Wasahbihee Wasallim, Beta dengan sukacita melancarkan buku bertajuk “SIHIR: KEJAHATAN SEPANJANG ZAMAN” dan BUKU KECIL UNTUK MENGUBAT SIHIR DAN MERAWAT KERASUKAN” serta sekaligus merasmikan Majlis Ilmu 2026 berserta semua acara di dalamnya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-33 Tahun 2026

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KEMUNCAK SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM KE-33,
TAHUN 2026

 PADA HARI KHAMIS
18 JAMADILAWAL 1448 /  29 OKTOBER 2026

 BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan rahmat-Nya jua, dapatlah kita berhimpun di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-33, Tahun 2026 pada pagi ini. Tema baru yang dipilih iaitu Menjulang Kepimpinan dan Kedaulatan Raja: Memacu Perkhidmatan Awam Yang Transformatif.  Tema ini bukan sekadar slogan, tetapi satu pengiktirafan tentang hubungan rapat di antara kepimpinan Beraja dengan perkhidmatan awam di negara ini.

Ianya juga terjemahan kepada asas membentuk kestabilan dan kemajuan negara, berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja sebagai cara hidup, cara berfikir dan cara kita mentadbir dalam kehidupan seharian.

Malah keamanan dan kestabilan yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan keyakinan bahawa setiap penjawat awam memahami jawatan mereka bukan semata-mata pekerjaan, tetapi amalan yang dipertanggungjawabkan oleh Raja dan Negara.

Dalam dunia yang semakin terbuka, kedaulatan sesebuah negara tidak lagi diukur berdasarkan pertahanan fizikal, tetapi melalui kekuatan dan keberkesanan pentadbirannya. Oleh itu, perkhidmatan awam diibaratkan sebagai benteng kedaulatan.

Ini kerana, apabila seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan jujur dan adil, maka bermakna dia mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman rasuah, penyalahgunaan kuasa dan keruntuhan institusi.

Alhamdulillah, penghayatan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik telah terbukti menerusi pencapaian terbaik negara setakat ini dalam Corruption Perceptions Index (CPI) tahun 2025 terbitan Transparency International yang meletakkan negara pada kedudukan ke-31 daripada 182 buah negara di dunia dan kedua tertinggi di ASEAN selepas Singapura.

Dari sudut mendukung kepimpinan pula, penjawat awam hendaklah menjadikan setiap arahan, hasrat dan wawasan pemimpin sebagai pedoman yang perlu diterjemahkan ke dalam dasar, program dan tindakan yang bersepadu.

Sokongan terhadap kepimpinan bukan sekadar retorik atau simbolik, sebaliknya mesti terpancar melalui kesungguhan kerja dan ketepatan pelaksanaan di setiap peringkat perkhidmatan.

Jangan hanya setakat mendengar, tetapi perlu melaksanakannya, dan jangan juga sekadar setuju, tetapi perlu menyempurnakannya. Kita semua perlu menyedari bahawa ketika zaman berubah, cabaran orang ramai juga turut berubah, dan malah cara kita berkhidmat juga perlu berubah.

Perubahan ini bukan bermakna kelemahan sistem yang sedia ada, sebaliknya bukti-bukti kematangan sesebuah negara.

Di sinilah perkhidmatan awam selaku Peneraju Transformasi perlu berubah bentuk dan karakter tanpa mengkompromi objektif terasnya, untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan mantap serta bermakna kepada masyarakat.

Namun, dalam menerajui transformasi ini, sama ada digitalisasi, penambahbaikan penyampaian perkhidmatan, mahupun pembangunan modal insan, kita adalah perlu sentiasa kembali kepada persoalan asas iaitu adakah perkhidmatan kita telah benar-benar memudahkan kehidupan rakyat, dan menzahirkan kesetiaan terhadap Raja dan negara?

Jika ya, teruskanlah dengan penuh keyakinan, dan jika masih ada jurang, maka perbaikilah dengan tindakan dan bukan keluhan.

Oleh yang demikian, Beta ingin berpesan, jadilah penjawat awam yang taat kepada arahan, bijaksana dalam pelaksanaan, pantas menerima perubahan dan teguh berpegang kepada nilai.

Dengan cara inilah, kita dapat memastikan kedaulatan negara terus terpelihara, kepimpinan Raja terus didukung sepenuh hati dan perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam terus relevan untuk semua peringkat zaman.

Akhirnya, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah pada tahun ini.

Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi dan dorongan kepada seluruh penjawat awam, untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dengan penuh keikhlasan, dedikasi dan amanah.

Setinggi penghargaan juga turut ditujukan kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara serta kepada semua pihak yang telah menjayakan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Tahun 1448H/2026M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-16
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN
UGAMA SERI BEGAWAN
TAHUN 1448H/2026M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita berhimpun pada pagi yang penuh berkat ini sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-16, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Dengan hati yang tulus ikhlas, Beta merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Penghargaan juga Beta tujukan kepada para tenaga akademik, ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang telah mencurahkan segala usaha membimbing, mendorong dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga para graduan berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan. Beta berharap kejayaan yang diraih ini tidak hanya dilihat sebagai pencapaian peribadi, tetapi juga perlu diterjemahkan sebagai sumbangan untuk ugama, Raja dan negara.

Beta melihat perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) menjadi teknologi yang paling digemari pada abad ini, yang membawa perubahan besar kepada landskap pendidikan dan kehidupan masyarakat. Dalam hubungan ini, KUPU SB sebagai institusi peneraju perguruan ugama hendaklah tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi juga berupaya untuk menjadi pemimpin pendekatan pedagogi dan etika penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang berpandukan prinsip syarak, nilai Islam dan adab keilmuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Beta juga mengambil maklum akan kesungguhan KUPU SB dalam mempertahankan dan mengembangkan pengajian kitab Turath dan tulisan Jawi dalam pembinaan kurikulumnya pada semua peringkat pengajian. Beta melihat usaha ini amat penting bagi memastikan kemajuan pendidikan dan teknologi terus berpaksikan khazanah ilmu Islam, di samping memelihara jati diri, tradisi keilmuan dan kesinambungan warisan pendidikan ugama.

Sehubungan itu, pemerkasaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan Islam hendaklah diadun secara bijaksana dengan penguasaan ilmu Turath dan kontemporari sebagai suatu ikhtiar strategik untuk memperkukuhkan lagi penyampaian ilmu, tanpa menjejaskan prinsip syari’at dan adab keilmuan. Pendekatan sedemikian adalah penting bagi membina ketahanan dikalangan generasi pendidik supaya terus mampu mendepani pengaruh pemikiran dan ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Beta mengambil maklum dan menyambut baik komitmen KUPU SB dalam memperkukuh kurikulum yang holistik yang selaras dengan keperluan semasa. Usaha ini bukan sahaja berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan, bahkan juga turut memperkasa mereka sebagai mampu untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada institusi, masyarakat dan negara melalui penguasaan ilmu.

Sehubungan itu, KUPU SB perlu terus membangunkan ekosistem pendidikan yang komprehensif melalui jalinan kolaborasi strategik dengan para rakan, di samping memastikan program-program yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan semasa. Langkah ini juga wajar diperkukuh melalui pelaksanaan Program Pembangunan Profesional Berterusan (Continuous Professional Development-CPD) bagi meningkatkan lagi keupayaan para alumni KUPU SB agar sentiasa selaras dengan perubahan dan keperluan semasa, sekali gus mendokong pendidikan dan pembentukan modal insan yang unggul dan berdaya saing.

Dalam hal ini, Beta menyambut baik inisiatif KUPU SB dalam memperluas program upskilling dan reskilling melalui penubuhan Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi KUPU SB. Kewujudan pusat ini diharapkan akan dapat menyemarakkan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat, di samping memperkaya pengetahuan dan meningkatkan keupayaan para graduan serta alumni. Lebih penting lagi, inisiatif tersebut berupaya untuk melahirkan sumber manusia yang berpegang teguh kepada prinsip syarak, memiliki keupayaan yang relevan dengan keperluan semasa, berdaya saing dalam pasaran pekerjaan serta memperoleh pengiktirafan melalui pensijilan kemahiran yang diiktiraf.

Akhirnya, Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga KUPU SB, khususnya Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli-Ahli Senat, Pegawai-Pegawai Utama, para ahli akademik, pegawai dan kakitangan (KUPU SB) atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga semua ilmu yang didapat oleh para graduan menjadi ilmu yang bermanfaat, diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala, dan KUPU SB terus diberkati dalam melahirkan graduan berilmu dan berakhlak mulia.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*  *  *

Titah KDYMM Sempena Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-21 Tahun 2026

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

SEMPENA 
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN
KALI KE-21, TAHUN 2026

PADA HARI KHAMIS
26 RABIULAKHIR 1448/
8 OKTOBER 2026

BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita bersama-sama hadir dalam Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-21, dalam suasana aman dan sejahtera.

Setelah tujuh tahun berturut-turut mengangkat tema “Belia Siaga Masa Depan”, pada tahun ini Beta sendiri ingin memilih tema baharu, iaitu “Belia Peneraju Negara”. Tema ini amat sesuai dengan peranan belia sebagai nadi pembangunan.

Beta juga yakin bahawa belia adalah merupakan pewaris masa depan dalam semua bidang, khasnya bidang ilmu dan kemahiran. Bidang ini amat mencabar, tetapi golongan belia mampu untuk menanainya, bahkan sekaligus menjadi pencorak masa depan negara.

Dalam menghadapi perubahan pula, para belia dikehendaki untuk lebih berani melangkah ke hadapan, bagi merebut peluang yang sedia ada, lebih-lebih lagi peluang-peluang baharu. Para belia juga, bukan setakat mencari peluang, tetapi lebih lagi daripada itu, menjadi pengguna teknologi dan pemacu ekonomi progresif yang berdaya tahan.

Para belia juga perlu terus giat dalam program kemasyarakatan dan kesukarelawanan, sebagai pelakar pengalaman dan kepimpinan. Budaya kesukarelawanan perlu terus dipupuk melalui penglibatan para belia, institusi pendidikan, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, dan lain-lain penggiat kemasyarakatan. Kerjasama pihak-pihak berkenaan ini amatlah penting untuk menjamin sumbangan para belia dapat dilihat sebagai sangat berharga.

Mengenai kemajuan golongan belia pula, Beta gembira mengetahui bahawa peningkatan Indeks Pembangunan Belia (Youth Development Index) daripada 65.1 pada tahun 2018 meningkat kepada 69.0 pada tahun 2025. Peningkatan ini adalah merupakan pencapaian tertinggi sejak indeks mula diperkenalkan pada tahun 2008. Peningkatan ini juga adalah didorong oleh prestasi yang membanggakan dalam bidang Nilai dan Identiti (Values and Identities) serta Pendidikan.

Namun begitu, Beta tetap menyeru supaya perhatian terus diberikan kepada bidang-bidang yang masih memerlukan pengukuhan, khususnya, penglibatan komuniti dan literasi kewangan dikalangan para belia. Usaha masih sahaja diperlukan untuk bidang-bidang ini dilaksanakan secara berterusan. Pada masa yang sama, aspek pendidikan dan peluang pekerjaan juga mestilah terus diperkasa untuk memastikan pembangunan belia dilaksanakan secara seimbang.

Beta menyambut baik usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk meneliti semula Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS), supaya dasar tersebut terus relevan untuk masa sekarang dan akan datang.

Dalam hubungan ini, Beta menyarankan supaya penelitian tersebut terus sahaja dibuat berdasarkan dapatan terkini Indeks Pembangunan Belia, dengan juga mengambil kira perubahan landskap ekonomi, teknologi dan keperluan belia.

Beta berharap, usaha ini dapat terus melahirkan Belia Berwawasan dan Agen Perubahan Bertaraf Dunia.

Menyentuh mengenai Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) pula, Beta mengambil maklum mengenai pelaksanaan secara rintis program ini, iaitu selama enam bulan, berbanding tiga bulan sebelumnya. Program rintis ini pula turut diperkukuh dengan pengenalan dua modul baharu, iaitu Siap Siaga Masa Depan dan Program Pertahanan Awam. Pengenalan modul-modul ini dihasratkan untuk melengkapkan lagi pengisian PKBN, khasnya dalam pembekalan kepada para belia kemahiran dan pengetahuan supaya mampu menghadapi apa jua cabaran.

Sehubungan itu, Beta menyarankan supaya pelaksanaan program rintis ini akan terus diteliti dan dinilai lagi keberkesanannya secara menyeluruh, bagi memastikan PKBN benar-benar memberi impak berkesan kepada pembentukan jati diri dan disiplin para belia. Dalam kesempatan ini, Beta turut menyeru supaya lebih ramai lagi para belia turut merebut peluang untuk menyertai PKBN, selaku ianya wadah bagi para belia untuk menyumbangkan khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Kebangsaan Ke-21 kepada seluruh warga belia di negara ini. Beta berdo’a semoga para belia akan terus dikurniakan kekuatan dan semangat suka berbakti kepada nusa dan bangsa.

Kepada para penerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah, serta berharap, semoga pengiktirafan ini akan menjadi pendorong kepada para belia untuk terus mencipta kecemerlangan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
* * *

Titah KDYMM Sempena Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Kali Ke-36 Tahun 2026

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

SEMPENA 
MAJLIS KEMUNCAK SAMBUTAN HARI GURU 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 
KALI KE-36 TAHUN 2026

 PADA HARI RABU
11HB. RABIULAKHIR 1448
23 SEPTEMBER 2026

TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-36 dalam suasana aman dan sejahtera.

Majlis pada hari ini bukan sekadar memperingati sambutan Hari Guru, malah juga untuk menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kita terhadap jasa, pengorbanan dan dedikasi para guru yang sentiasa cekal dalam mendidik, membimbing dan membentuk modal insan yang berpendidikan.

Tema Hari Guru pada tahun ini: “Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi”, iaitu sebagai mengiktiraf pentingnya sumbangan guru ke arah memperkukuh sistem pendidikan yang berkualiti, lestari dan relevan, demi melahirkan generasi kreatif serta berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Landskap pendidikan secara global, telah membawa pelbagai cabaran baharu untuk dihadapi oleh para pendidik. Kajian antarabangsa telah menunjukkan bahawa faktor-faktor seperti motivasi dan komitmen guru tetap merupakan faktor yang sangat penting dalam memastikan kejayaan para pelajar.

Dalam hubungan ini, Beta sukacita mengetahui bahawa Programme for International Student Assessment (PISA 2025) telah mendapati pelajar Negara Brunei Darussalam telah melaporkan sokongan guru sebagai sangat positif. Dapatan ini lebih tinggi berbanding purata negara-negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD). Sokongan serta komitmen para guru adalah berpotensi untuk mempengaruhi pembelajaran pelajar. Ini telah dibuktikan dalam beberapa kajian dan sekarang dalam PISA 2025 Negara Brunei Darussalam adalah merupakan salah satu dari hanya beberapa buah negara, dimana pencapaian pelajar adalah meningkat dalam ketiga-tiga domain iaitu: Sains, Matematik dan Membaca.

Dalam perkembangan lain melalui penilaian yang sama, lebih dari 70% pelajar telah mencapai tahap prestasi melebihi jangkaan dalam Computational Problem-Solving, dan ini meletakkan Negara Brunei Darussalam dalam kedudukan kedua teratas dalam senarai negara-negara yang mengikuti PISA.

Syabas dan tahniah Beta ucapkan kepada seluruh warga guru, kerana pencapaian ini tidak mungkin akan dapat direalisasikan tanpa komitmen dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi daripada guru-guru semua.

Dalam kesungguhan untuk melengkapi pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi, para pendidik adalah turut memikul amanah membentuk syakhsiah, akhlak dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar. Dalam hal ini, Beta berharap agar Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan sentiasa bekerjasama dalam memperkemas kurikulum, demi memperkukuh penerapan nilai-nilai murni dan etika Melayu Islam Beraja (MIB) sejak dari peringkat sekolah rendah lagi. Usaha ini amat penting kerana pembentukan karakter dan syakhsiah pelajar perlu bermula dari peringkat awal usia.

Mengenai kesejahteraan para guru, Beta sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu beban tugas dan pengajaran yang sering dihadapi. Kesejahteraan warga guru akan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Beta. Oleh itu Beta berharap Kementerian Pendidikan dapat melaksanakan penambahbaikan pengurusan Guru Relif secara bersepadu dan berkesan. Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan para guru, kualiti dan proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa terpelihara.

Pemerkasaan proses pembelajaran dan pengajaran juga hendaklah terus diusahakan melalui program-program yang sedia ada. Sehubungan dengan ini, Beta berpandangan bahawa usaha tersebut perlu disejajarkan dengan pemantapan sistem pendidikan, termasuk memperkukuh sistem intervensi awal kanak-kanak. Penyediaan pendidikan awal yang inklusif hendaklah diberikan perhatian supaya setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, mendapat peluang yang saksama untuk berkembang secara optimum.

Dalam hal ini, Beta sukacita memperkenankan penubuhan National Intervention Centre for Early Childhood Education (NICEe) iaitu satu pusat intervensi pendidikan awal kanak-kanak berusia antara 2 hingga 4 tahun bermula tahun 2027. Pusat ini akan diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Akhir kata, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Negara Brunei Darussalam. Semoga segala jasa, pengorbanan dan bakti yang dicurahkan dalam mendidik generasi pewaris akan sentiasa diberkati serta dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Beta turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini. Semoga penghargaan berprestij ini menjadi sumber inspirasi serta pencetus semangat seluruh warga guru dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Hari Ulang Tahun Jubli Emas RPK ABDB

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 
SEMPENA
HARI ULANG TAHUN JUBLI EMAS
RAJIMEN PASUKAN KHAS
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI 

 PADA HARI RABU
06 RABIULAWAL 1448/
19 OGOS 2026 

 BERTEMPAT
DI PADANG KAWAD PERKHEMAHAN
REJIMEN PASUKAN KHAS
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita ke hadhrat  Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir pada pagi ini untuk meraikan Sambutan Jubli Emas Penubuhan Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RPK ABDB).

Pasukan bermula pada tahun 1976 cuma seramai dua puluh empat (24) anak tempatan sahaja. ‘River Sqaudron’ terus berkembang sehingga menjadi sebuah pasukan elit. Beta gembira menyaksikan perbarisan RPK ABDB pada pagi ini, dalam usianya mencecah setengah abad.

Mengambil sukut baik hari yang bersejarah ini, Beta dengan sukacita mengurniakan Pingat Jubli Emas RPK ABDB kepada semua anggota RPK yang masih berkhidmat.

Dalam Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026, telah menekankan Lanskap Sekuriti Rantau dan Antarabangsa yang semakin tidak menentu. Ia juga turut memberi kesan kepada negara. Selaku negara berdaulat, untuk memiliki kekuatan tentera tidaklah boleh dipandang ringan. Selain kekuatan diplomasi, sistem pertahanan yang kukuh juga adalah menjadi keutamaan.

Beta ingin melihat RPK ABDB mengambil peluang melalui hubungan diplomasi dengan negara-negara lain untuk menggunakan teknologi terkini dalam bidang ketenteraan. Beta juga bangga dengan penglibatan RPK ABDB dalam perlawanan-perlawanan pasukan khas di luar negara. Hendaknya dari perlawanan-perlawanan ini RPK ABDB akan dapat mencapai keupayaan, setanding dengan pasukan-pasukan antarabangsa.

RPK ABDB adalah aset strategik pertahanan negara. Ia hendaklah dipelihara dengan penuh keikhlasan dan integriti melalui Ikrar Rejimen pasukan Khas yang baru dilaungkan sebentar tadi.

Beta ingin melihat, melalui Diplomasi Pertahanan, supaya RPK ABDB akan terus bekerjasama dengan pasukan khas negara-negara sahabat. Dengan adanya latihan bersama dan perkongsian kemahiran operasi khas terkini, maka Beta yakin RPK akan mempunyai tahap kemahiran tempur yang sentiasa tinggi.

Mengenai dengan peningkatan kemahiran operasi khas ini, Beta adalah mengambil maklum perasmian bangunan baru dan moden Kompleks Tempur Rapat (Close Quarter Battle Complex) RPK ABDB pada hari ini. Bangunan ini sudah tentu akan memantapkan lagi kemahiran tempur rapat anggota-anggota RPK melalui pelbagai senario latihan mencabar, sesuai dengan evolusi tempur dalam operasi khas.

Pada masa yang sama, Beta juga menggalakkan Rejimen Pasukan Khas untuk sentiasa mengintegrasikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence). Langkah ini penting bagi memperkasa lagi keupayaan serta kemahiran operasi khas.

Beta menyeru supaya semua anggota Rejimen Pasukan Khas terus menjaga disiplin dan etika kerja, melaksanakan tugas dengan setia dan jujur. Beta mengingatkan juga supaya anggota-anggota Rejimen Pasukan Khas tidak terjerumus ke dalam kegiatan-kegiatan jenayah dan elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan imej dan reputasi RPK dan Angkatan Bersenjata Diraja  Brunei secara menyeluruh.

Dalam suasana meraikan Hari Jubli Emas RPK ABDB pagi ini, Beta juga gembira melihat kehadiran mantan-mantan pemimpin dan anggota Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Kehadiran mereka ini turut mencerminkan sokongan dan komitmen yang berterusan dalam sama-sama melihat sendiri perkembangan RPK masa kini. Beta ucapkan terima kasih dan penghargaan di atas pengorbanan mereka sebelum ini.

Akhirnya, Beta mengucapkan syabas dan tahniah bersempena sambutan Hari Ulang Tahun jubli Emas Penubuhan Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada seluruh warga RPK yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara. Tidak lupa juga, penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan Jubli Emas atas usaha gigih mereka menjayakan acara bersejarah pada pagi ini. Beta turut mendo’akan supaya Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berjaya dan sentiasa dalam pemeliharaan serta perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*   *   *