TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-16
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN
UGAMA SERI BEGAWAN
TAHUN 1448H/2026M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita berhimpun pada pagi yang penuh berkat ini sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-16, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Dengan hati yang tulus ikhlas, Beta merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Penghargaan juga Beta tujukan kepada para tenaga akademik, ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang telah mencurahkan segala usaha membimbing, mendorong dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga para graduan berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan. Beta berharap kejayaan yang diraih ini tidak hanya dilihat sebagai pencapaian peribadi, tetapi juga perlu diterjemahkan sebagai sumbangan untuk ugama, Raja dan negara.

Beta melihat perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) menjadi teknologi yang paling digemari pada abad ini, yang membawa perubahan besar kepada landskap pendidikan dan kehidupan masyarakat. Dalam hubungan ini, KUPU SB sebagai institusi peneraju perguruan ugama hendaklah tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi juga berupaya untuk menjadi pemimpin pendekatan pedagogi dan etika penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang berpandukan prinsip syarak, nilai Islam dan adab keilmuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Beta juga mengambil maklum akan kesungguhan KUPU SB dalam mempertahankan dan mengembangkan pengajian kitab Turath dan tulisan Jawi dalam pembinaan kurikulumnya pada semua peringkat pengajian. Beta melihat usaha ini amat penting bagi memastikan kemajuan pendidikan dan teknologi terus berpaksikan khazanah ilmu Islam, di samping memelihara jati diri, tradisi keilmuan dan kesinambungan warisan pendidikan ugama.

Sehubungan itu, pemerkasaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan Islam hendaklah diadun secara bijaksana dengan penguasaan ilmu Turath dan kontemporari sebagai suatu ikhtiar strategik untuk memperkukuhkan lagi penyampaian ilmu, tanpa menjejaskan prinsip syari’at dan adab keilmuan. Pendekatan sedemikian adalah penting bagi membina ketahanan dikalangan generasi pendidik supaya terus mampu mendepani pengaruh pemikiran dan ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Beta mengambil maklum dan menyambut baik komitmen KUPU SB dalam memperkukuh kurikulum yang holistik yang selaras dengan keperluan semasa. Usaha ini bukan sahaja berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan, bahkan juga turut memperkasa mereka sebagai mampu untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada institusi, masyarakat dan negara melalui penguasaan ilmu.

Sehubungan itu, KUPU SB perlu terus membangunkan ekosistem pendidikan yang komprehensif melalui jalinan kolaborasi strategik dengan para rakan, di samping memastikan program-program yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan semasa. Langkah ini juga wajar diperkukuh melalui pelaksanaan Program Pembangunan Profesional Berterusan (Continuous Professional Development-CPD) bagi meningkatkan lagi keupayaan para alumni KUPU SB agar sentiasa selaras dengan perubahan dan keperluan semasa, sekali gus mendokong pendidikan dan pembentukan modal insan yang unggul dan berdaya saing.

Dalam hal ini, Beta menyambut baik inisiatif KUPU SB dalam memperluas program upskilling dan reskilling melalui penubuhan Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi KUPU SB. Kewujudan pusat ini diharapkan akan dapat menyemarakkan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat, di samping memperkaya pengetahuan dan meningkatkan keupayaan para graduan serta alumni. Lebih penting lagi, inisiatif tersebut berupaya untuk melahirkan sumber manusia yang berpegang teguh kepada prinsip syarak, memiliki keupayaan yang relevan dengan keperluan semasa, berdaya saing dalam pasaran pekerjaan serta memperoleh pengiktirafan melalui pensijilan kemahiran yang diiktiraf.

Akhirnya, Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga KUPU SB, khususnya Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli-Ahli Senat, Pegawai-Pegawai Utama, para ahli akademik, pegawai dan kakitangan (KUPU SB) atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga semua ilmu yang didapat oleh para graduan menjadi ilmu yang bermanfaat, diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala, dan KUPU SB terus diberkati dalam melahirkan graduan berilmu dan berakhlak mulia.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*  *  *