TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KEMUNCAK SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-36 TAHUN 2026
PADA HARI RABU
11HB. RABIULAKHIR 1448
23 SEPTEMBER 2026
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Segala puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-36 dalam suasana aman dan sejahtera.
Majlis pada hari ini bukan sekadar memperingati sambutan Hari Guru, malah juga untuk menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kita terhadap jasa, pengorbanan dan dedikasi para guru yang sentiasa cekal dalam mendidik, membimbing dan membentuk modal insan yang berpendidikan.
Tema Hari Guru pada tahun ini: “Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi”, iaitu sebagai mengiktiraf pentingnya sumbangan guru ke arah memperkukuh sistem pendidikan yang berkualiti, lestari dan relevan, demi melahirkan generasi kreatif serta berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Landskap pendidikan secara global, telah membawa pelbagai cabaran baharu untuk dihadapi oleh para pendidik. Kajian antarabangsa telah menunjukkan bahawa faktor-faktor seperti motivasi dan komitmen guru tetap merupakan faktor yang sangat penting dalam memastikan kejayaan para pelajar.
Dalam hubungan ini, Beta sukacita mengetahui bahawa Programme for International Student Assessment (PISA 2025) telah mendapati pelajar Negara Brunei Darussalam telah melaporkan sokongan guru sebagai sangat positif. Dapatan ini lebih tinggi berbanding purata negara-negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD). Sokongan serta komitmen para guru adalah berpotensi untuk mempengaruhi pembelajaran pelajar. Ini telah dibuktikan dalam beberapa kajian dan sekarang dalam PISA 2025 Negara Brunei Darussalam adalah merupakan salah satu dari hanya beberapa buah negara, dimana pencapaian pelajar adalah meningkat dalam ketiga-tiga domain iaitu: Sains, Matematik dan Membaca.
Dalam perkembangan lain melalui penilaian yang sama, lebih dari 70% pelajar telah mencapai tahap prestasi melebihi jangkaan dalam Computational Problem-Solving, dan ini meletakkan Negara Brunei Darussalam dalam kedudukan kedua teratas dalam senarai negara-negara yang mengikuti PISA.
Syabas dan tahniah Beta ucapkan kepada seluruh warga guru, kerana pencapaian ini tidak mungkin akan dapat direalisasikan tanpa komitmen dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi daripada guru-guru semua.
Dalam kesungguhan untuk melengkapi pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi, para pendidik adalah turut memikul amanah membentuk syakhsiah, akhlak dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar. Dalam hal ini, Beta berharap agar Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan sentiasa bekerjasama dalam memperkemas kurikulum, demi memperkukuh penerapan nilai-nilai murni dan etika Melayu Islam Beraja (MIB) sejak dari peringkat sekolah rendah lagi. Usaha ini amat penting kerana pembentukan karakter dan syakhsiah pelajar perlu bermula dari peringkat awal usia.
Mengenai kesejahteraan para guru, Beta sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu beban tugas dan pengajaran yang sering dihadapi. Kesejahteraan warga guru akan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Beta. Oleh itu Beta berharap Kementerian Pendidikan dapat melaksanakan penambahbaikan pengurusan Guru Relif secara bersepadu dan berkesan. Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan para guru, kualiti dan proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa terpelihara.
Pemerkasaan proses pembelajaran dan pengajaran juga hendaklah terus diusahakan melalui program-program yang sedia ada. Sehubungan dengan ini, Beta berpandangan bahawa usaha tersebut perlu disejajarkan dengan pemantapan sistem pendidikan, termasuk memperkukuh sistem intervensi awal kanak-kanak. Penyediaan pendidikan awal yang inklusif hendaklah diberikan perhatian supaya setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, mendapat peluang yang saksama untuk berkembang secara optimum.
Dalam hal ini, Beta sukacita memperkenankan penubuhan National Intervention Centre for Early Childhood Education (NICEe) iaitu satu pusat intervensi pendidikan awal kanak-kanak berusia antara 2 hingga 4 tahun bermula tahun 2027. Pusat ini akan diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Akhir kata, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Negara Brunei Darussalam. Semoga segala jasa, pengorbanan dan bakti yang dicurahkan dalam mendidik generasi pewaris akan sentiasa diberkati serta dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Beta turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini. Semoga penghargaan berprestij ini menjadi sumber inspirasi serta pencetus semangat seluruh warga guru dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
