Titah Perutusan KDYMM Sempena Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W 1448H/2026M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1448H/2026M

 

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat lagi meraikan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1448 Hijrah.

Beta mengambil maklum tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara pada tahun ini ialah “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah.”

Tema ini bertepatan dengan baginda diutus sebagai pembawa rahmat kepada alam seluruhnya. Bagindalah suluh dunia dan suluh aqidah. Sebelum baginda diutus, semuanya gelap gelita, berada dalam kegelapan kufur dan kesesatan serta kejahilan. Perkara ini telah dijelaskan sendiri oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ibrahim, ayat 1, tafsirnya :

“(Inilah) Kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) supaya engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”

Ayat ini menegaskan bahawa antara misi terbesar kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah membimbing manusia kepada aqidah yang sahih dan seterusnya membawa mereka menuju keselamatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Dalam kemajuan teknologi dan komunikasi digital, kita umat Islam kini tidak lepas dari berhadapan dengan pelbagai cabaran memelihara aqidah. Kemudahan mendapat sumber maklumat melalui media sosial dan platform digital telah membuka ruang kepada penyebaran pelbagai ajaran, tafsiran

dan fahaman ugama. Maka amat membimbangkan kita, kerana kadang-kadang terdapat kandungan yang boleh mengelirukan, bahkan menyesatkan, sehingga berpotensi untuk menggugat aqidah yang sahih, khasnya dikalangan para belia dan generasi muda, selaku pengguna utama platform digital.

Oleh itu, Beta ingin menasihatkan semua lapisan, terutama golongan belia, supaya sentiasa berhati-hati terhadap sebarang individu atau kumpulan yang membawa naratif ugama dalam pelbagai bentuk, sama ada ia dari dalam mahupun luar negara, yang memperalatkan ugama untuk menyebarkan fahaman menyimpang. Di samping itu, Beta juga menyeru ibu bapa, guru-guru serta seluruh institusi Pendidikan supaya memainkan peranan aktif dalam membimbing dan mengukuhkan aqidah generasi muda, kerana pemeliharaan aqidah bukan tanggungjawab satu pihak, tetapi tanggungjawab semua.

Oleh itu, jadikanlah diri kita sentiasa berhati-hati dan tidak mudah menerima segala pendapat dari sumber digital yang tidak diketahui kesahihannya, melainkan perlu dirujuk kepada institusi ugama berautoriti.

Di antara contoh penyelewengan aqidah ialah bermudah-mudah mengamalkan ugama, seperti mengharuskan sembahyang tanpa wudhu atau membenarkan sembahyang jamak dan qasar tanpa memenuhi syarat yang betul.

Terdapat juga golongan yang berfahaman menormalisasikan perkara-perkara yang ditegah atau yang bercanggah dengan ugama. Semua ini mesti ditolak, jangan sampai ia bertapak dalam masyarakat.

Dengan mengelak fahaman-fahaman yang mengelirukan seperti ini, insya Allah, aqidah kita Aliran Ahli Sunnah Waljama’ah akan terus terpelihara.

Beta berharap Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini akan benar-benar jadi pemangkin kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk terus memperteguh aqidah dengan mematuhi ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah serta menzahirkan kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘Alahi Wasallam melalui ibadat yang ikhlas.

Beta juga menyeru supaya seluruh rakyat sentiasa waspada dan bijaksana dalam menilai setiap kandungan yang diperolehi daripada platform digital. Jangan sekali-kali mudah terpengaruh atau menyebarkan ajaran yang tidak jelas sumbernya. Semoga dengan itu, aqidah umat akan selamat dan perpaduan akan terus kukuh dan mantap.

Sesungguhnya aqidah yang kukuh dan mantap adalah asas kepada keharmonian, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara, dan sekaligus menjadi benteng utama dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan negara buat selama-lamanya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wasallamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 *   *   *

Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-16 UNISSA

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-16
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

 

PADA HARI ISNIN
04HB. RABIULAWAL, 1448
17HB. OGOS, 2026

 

TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

 

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-16, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang diraikan. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi akan jadi bekal berharga untuk digunakan. Beta juga merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada para ibu bapa, penjaga serta para tenaga akademik yang menjadi pendorong utama di sebalik kejayaan para graduan.

UNISSA, bukan hanya sebagai mercu tanda sebuah gedung ilmu, tetapi juga menjadi nadi peradaban untuk melahirkan ummah yang ta’at berugama. Beta juga berharap UNISSA perlu terus istiqamah dalam usahanya menjadikan ilmu ugama dan ilmu sains moden dapat digabungkan dalam satu wadah keilmuan yang dinamik. Dalam hal ini, Beta menyambut baik perkembangan positif UNISSA, untuk tampil menawarkan program Diploma Amalan Pengubatan Islam.

Beta juga mengambil maklum mengenai jalinan kerjasama strategik UNISSA dengan universiti-universiti berprestij luar negara untuk meningkatkan visibility UNISSA di peringkat antarabangsa. Penawaran program Dwi Ijazah dan Dual Degree UNISSA bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah bukan sahaja memperkenalkan Negara Brunei Darussalam sebagai pilihan destinasi pelancongan Pendidikan, bahkan juga akan dapat memperluaskan jaringan peluang kerjaya.

Memandangkan pasaran kerja semakin kompetitif, UNISSA juga perlu komited dalam menawarkan program pengajian yang berkualiti. Sehubungan itu, Beta menyarankan kepada UNISSA supaya memantapkan lagi program-program yang ditawarkan, dan pada masa yang sama, pihak-pihak berkenaan juga hendaklah memperkemas kualiti sukatan pelajaran dan kurikulum bagi pelajar-pelajar di peringkat pra-universiti.

Dalam usaha mewujudkan program-program yang berkualiti, Beta berharap semua Institusi Pengajian Tinggi perlu membuat perancangan yang lebih terarah supaya tidak berlaku pertindihan program yang ditawarkan sesama institusi lain. Langkah ini akan memastikan institusi Pendidikan seperti UNISSA dapat memberikan tumpuan kepada misi unik menyatukan ilmu ugama dan sains moden, sekali gus memaksimumkan impak pelaburan awam, di samping menjamin penghasilan tenaga kerja mahir.

Mengenai pencapaian teras strategik UNISSA dalam pengiktirafan antarabangsa, Beta mengucapkan syabas dan tahniah kerana UNISSA mencapai kedudukan yang ke-147 dalam senarai Top 500 Global Innovative Universities dalam world University Rankings for Innovation (WURi) 2026, bahkan turut juga meraih Global Good Governance (3G) Awards sebagai pengiktirafan terhadap inovasi dan kecemerlangan UNISSA. Kejayaan ini mampu menjadi motivasi membawa graduan dan alumni ke arah lebih gemilang.

Para graduan dan alumni diharap akan terusa menitikberatkan usaha mempertingkatkan kemahiran. Kelangsungan hidup masyarakat kita dalam era globalisasi yang serba mencabar ini amatlah bergantung kepada kesediaan kita untuk terus meneroka ilmu serta menguasai kepakaran baharu. Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk terus menambah ilmu, sebagaimana dalam Surah Taha, ayat 114, Allah Subhanahu Wata’ala menyarankan kepada Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam supaya berdoa memohon pertambahan ilmu.

Di kesempatan ini, Beta menyeru kepada semua graduan dan alumni UNISSA agar senantiasa berusaha memajukan diri dengan meningkatkan kebolehpasaran masing-masing, terutama melalui penglibatan aktif dalam bidang keusahawanan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, bahkan juga menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi negara.

Akhir Kalam, Beta merakamkan ucapan setingg-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan UNISSA atas segala sumbangan, komitmen, pengorbanan tenaga dan buah fikiran yang telah dicurahkan dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-16 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalasnya dengan ganjaran kebaikan yang berlipat ganda. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

*   *   *

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali-38 UBD

​

TITAH

 KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI-38
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
(UBD)

 

PADA HARI SELASA
27 SAFAR 1448/
11 OGOS 2026

 

 BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-38 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan amat sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Kejayaan ini tentunya merupakan hasil usaha serta do’a para ibu bapa yang tidak berpenghujung.

Sejak penubuhannya, Universiti Brunei Darussalam sentiasa berazam: “Ke Arah Kesempurnaan Insan”. Azam ini merupakan tujuan sebenar pendidikan tinggi, bukan sekadar untuk melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk insan yang berakhlak mulia, pemikir dan berintegriti. Inilah matlamat yang tidak pernah berubah, walaupun dunia sentiasa mengalami perubahan.

Pada hari ini, pendidikan turut berhadapan dengan perkembangan pesat Kecerdasan Buatan (AI). AI telah turut mengubah cara belajar, cara bekerja dan cara membuat keputusan.

Pada hemat Beta, universiti tidak cukup sekadar melahirkan graduan yang mahir AI. Tetapi lebih penting graduan yang mempunyai kebolehan menggunakan teknologi secara berhemah dan bertanggungjawab, mengutamakan nilai, adab dan perhitungan matang.

Bagaimanapun, mengenai teknologi, Beta menyambut baik pelancaran UBD Digital Transformation Blueprint sebagai hala tuju universiti dalam mentransformasikan pengajaran, penyelidikan dan tadbir urus melalui teknologi digital. Tetapi Beta mahu UBD biarlah benar-benar menjadi peneraju dalam perubahan ini. Jadikanlah platform digital ini sebagai pemudahcara dalam menjelmakan matlamat sebenar iaitu melahirkan graduan yang cemerlang dan berkemahiran tinggi.

Dalam pada itu, perlu pula diingat, bahawa kecemerlangan akademik sahaja tidak akan ada ertinya jika akhlak rendah atau rosak. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah Hadits sahih riwayat Al-Bukhari, Baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang paling baik akhlaknya”.

Atas kesedaran inilah, Beta mengalu-alukan usaha UBD melaksanakan Kurikulum GenBESTARI mulai September tahun ini. GenBESTARI bukan sekadar pembaharuan kurikulum, tetapi adalah satu pendekatan untuk melahirkan graduan yang seimbang, berilmu, berakhlak, berdaya tahan, celik digital dan sentiasa bersedia untuk terus belajar sepanjang hayat. Beta mahu kejayaan GenBESTARI tidak hanya diukur melalui bilangan program yang dilaksanakan, tetapi perkembangan pola fikir dan peningkatan nilai insaniah setiap graduan mestilah juga diambil kira.

Selari pembaharuan ini, Beta menghargai usaha gigih UBD dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui bimbingan kerjaya dan latihan industri yang komprehensive sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan. Begitulah hendaknya, Institusi Pengajian Tinggi di negara ini hendaklah terus memperkasa kolaborasi strategik dengan pihak industri, serta sentiasa responsif dalam menyesuaikan program akademik dengan keperluan pasaran kerja.

Dengan persekitaran yang aman, stabil dan menjunjung tinggi nilai-nilai Islam, maka negara ini mempunyai keunikan tersendiri yang mampu untuk menarik pelajar dari seluruh dunia. Inilah jenama Brunei yang perlu kita pamerkan kepada dunia. UBD adalah nadi kepada jenama ini. Kehadiran pelajar antarabangsa adalah turut memperkukuh reputasi UBD.

Bertepatan dengan hasrat untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, maka Beta adalah menyambut baik Projek Hab inovasi UBD (UBD Innovation Hub) dibawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12. Beta berharap ianya akan dapat turut memperkukuh budaya dan ekosistem inovasi kebangsaan yang mampu memudahkan peralihan hasil penyelidikan kepada produk pasaran. Semoga inisiatif ini akan dapat melahirkan graduan yang mahir digital serta berdaya saing.

Akhirnya, Beta mengambil kesempatan untuk  merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga UBD, yang merangkumi pada Ahli-Ali Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli Akademik, Pegawai dan kakitangan universiti, serta semua pihak yang telah mencurahkan bakti mereka kepada institusi ini. Semoga segala usaha dan pengorbanan mereka mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*   *   *

 

Titah KDYMM Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 Tahun 1448H/2026M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KE-80
TAHUN 1448H / 2026M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya, mengizinkan kita berkumpul meraikan Hari Keputeraan Beta pada tahun ini dalam suasan aman dan sejahtera.

Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, dalam dan luar negara, yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan perayaan ini.

Sesungguhnya, usia 80 tahun adalah nikmat yang amat besar. Hanya Allah jua yang maha mengetahui akan hikmahnya.

Dalam hampir enam dekad memegang amanah, Beta bersama rakyat telah menempuh pelbagai liku kehidupan yang membentuk negara ini menjadi apa yang ada sekarang.

Kita juga bersama-sama menyaksikan peredaran zaman, dari pembangunan asas kepada pemodenan. Hanya satu sahaja yang tidak berubah iaitu, kepercayaan, kesetiaan dan perpaduan yang menjadi tulang belakang negara sejak dahulu lagi.

Demikian, jika kita mahu menjadi bangsa yang kuat, ia bukan diukur dari kemewahan yang dinikmati, tetapi dari keikhlasan bersatu padu menghadapi apa jua cabaran.

Kerana itu, Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat. Begitu juga di Brunei, tidak ada tempat bagi gejala rasuah dan ketidakjujuran berlaku dalam masyarakat yang mengancam kesejahteraan dan kemajuan negara.

Turut jadi harapan Beta ialah, ingin melihat generasi muda berperanan lebih bermakna. Bukan sekadar jadi penonton kepada perubahan dan penggunaan teknologi ciptaan orang lain, tetapi kita juga perlu bangkit sebagai pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan.

Dalam hubungan ini, Kerajaan Beta akan terus berperanan memberikan dokongan kepada para belia yang ingin berkecimpung dan memperluaskan bidang keusahawanan merentasi semua sektor. Antaranya, menerusi kemudahan pinjaman mikro yang disediakan oleh bank-bank tempatan khususnya BIBD, Perbadanan TAIB dan Bank Usahawan.

Insya-Allah, Beta akan terus memimpin negara ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035, yang menjanjikan sebuah negara yang maju, mampan dan berdaya tahan, dengan dokongan padu dari semua pihak.

Menyebut mengenai pembangunan negara, Beta ingin menyentuh tentang beberapa kemajuan semasa serta cabaran yang turut mendepani kita.

Mengenai bekalan tenaga, Alhamdulillah, negara masih sahaja dalam kedudukan yang baik walaupun tidak terkecuali dari menerima kesan ketidaktentuan global.

Oleh itu, keutamaan Kerajaan adalah untuk memastikan simpanan strategik, khususnya bahan api petroleum dan tong LPG, bagi memenuhi keperluan harian.

Setentunya juga, pendekatan ini memerlukan tanggungjawab semua pihak, khasnya menerusi penggunaan sumber tenaga secara berhemah.

Seiring itu, usaha mempelbagaikan ekonomi juga turut menunjukkan keberhasilan yang memberangsangkan. Sektor bukan minyak dan gas telah menyumbang kepada lebih separuh dari keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dari sudut social, Kerajaan dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menerusi Projek Teduh telah memanfaatkan dana Zakat Perniagaan BIBD untuk membina kediaman bagi golongan rentan.

Kerjasama Awam-Swasta seumpama ini adalah sangat digalakkan dalam sama-sama berusaha meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Dari aspek memelihara keselamatan masyarakat pula, Beta telah memperkenankan Kerangka Kerja Dasar Strategik Pengurusan Bencana atau Disaster Management Strategic Policy Framework.

Ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengurusan bencana menerusi pengurusan risiko dan pendekatan bersepadu antara pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan.

Sungguhpun pencapaian dapat diraih, namun cabaran fiskal negara masih sahaja memerlukan perhatian berterusan.

Kerajaan Beta akan terus melaksanakan langkah fiskal yang bertanggungjawab. Antaranya memperluas sumber pendapatan bukan minyak dan gas, mengurus perbelanjaan negara dengan berhemat, serta memperkukuh pemudahcara perniagaan, di samping memastikan proses Kerajaan adalah mesra pelaburan.

Dalam hubungan ini, Beta juga yakin akan peranan penting setiap Menteri Penyelaras untuk memastikan segala jurang dan halangan dapat ditangani dengan berkesan.

Insya-Allah, tahun 2027 akan menyaksikan dua acara kenegaraan yang saling melengkapi – iaitu sambutan Jubli Intan Pemerintahan Beta dan juga Tahun Melawat brunei.

Marilah kita terus berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya untuk kita dan negara berkekalan dalam aman dan makmur. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Akhirnya, Beta merakamkan stinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan Keselamatan, serta sector swasta di dalam dan luar negara atas sumbangan mereka kepada negara.

Beta juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah atas usaha dan khidmat menjayakan Perayaan ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

*   *   *

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA 
MAJLIS SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1448
PERINGKAT NEGARA

 PADA HARI SABTU
18 MUHARRAM 1448 /  4 JULAI 2026

 BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita menyambut Tahun Baharu Hijrah 1448 dalam suasana aman dan sejahtera.

Sesungguhnya peristiwa hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi malah adalah penyelamat kepada akidah. Sekiranya tanpa hijrah, akidah akan susah berkembang dihalangi oleh kaum musyrik Mekah.

Lalu kerana itu, Allah memerintahkan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk berhijrah.

Peristiwa ini dapat dijadikan pengajaran untuk mendepani cabaran semasa. Diantara cabaran era baru ialah perkembangan pesat teknologi digital, yang menjadikan umat Islam turut berhadapan dengan limpahan maklumat tanpa sempadan. Kita sedia mengakui bahawa kemajuan ini banyak membawa manfaat, tetapi dalam masa yang sama, ia juga membuka ruang yang sangat luas untuk lahirnya pendapat-pendapat atau pemikiran-pemikiran baru yang bercanggah dengan akidah. Jika kita membiarkan pendapat-pendapat dan pemikiran-pemikiran baru ini terus berkembang, maka sudah tentu ianya berpotensi untuk menggugat keharmonian berugama di negara ini.

Oleh itu, Beta berharap, supaya benar semangat Ilal Hijrah akan benar-benar dihayati bagi memperkukuh akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah melalui pembangunan modal insan seimbang.

Kita tidak mahu dalam negara ini ada golongan anti tahlil, anti talqin, anti ziarah kubur dan anti merayakan sambutan Maulidurrasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta lain-lain amalan yang baik.

Kita tidak mahu semua ini, kerana ia mencemari ajaran aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Perkara ini perlu difahami oleh semua agensi kerajaan, institusi pendidikan, institusi masjid, para ilmuan, belia dan malah seluruh lapisan masyarakat.

Maka untuk itu, program-program pengukuhan akidah mestilah terus diperkasa dan dilaratkan kepada semua peringkat masyarakat.

Pendekatan holistik amatlah diperlukan untuk melahirkan generasi, yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, malah sekaligus memiliki akidah yang mantap dan akhlak yang mulia, yang mampu menghadapi segala cabaran.

Cabaran dalam era baru ini adalah pelbagai. Ia berlaku dalam rumah, dalam sekolah, dalam pusat pengajian dan sebagainya.

Contoh cabaran dalam rumah ialah, anak-anak tidak mentaati ibu bapa, suka membantah dan menolak nasihat. Sementara contoh cabaran dalam sekolah dan pusat pengajian pula, berlakunya budaya buli dan dera sesama sendiri, selain kecenderungan melanggar disiplin dan peraturan.

Ini semua menghendaki adanya langkah tegas daripada pihak-pihak berkenaan, bukan menunggu sampai penyakit ini melarat atau merebak.

Pada kesempatan ini, Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Ilal Hijrah pada tahun ini. Diharapkan penganugerahan ini akan menjadi sumber inspirasi untuk lebih ramai lagi individu dan organisasi menjulang tinggi syi’ar Islam dan memperkasa dakwah demi meraih keredhaan Allah.

Akhirnya, Beta berdo’a semoga kita dan Negara Brunei Darussalam sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata ‘ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*   *   *

Titah Perutusan KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1448

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA TAHUN BARU HIJRAH 1448

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Dengan niat suci semata-mata kerana Allah, marilah kita sama-sama merafa’kan syukur kepadaNya, yang telah mentakdirkan kita dipanjangkan umur untuk dapat menyambut Tahun Baru Hijrah.

Kita berharap dan malah berdo’a semoga tahun baru ini akan dapat diisi dengan usaha-usaha berkebajikan bagi diri sendiri dan keluarga serta bagi negara tercinta.

Banyak perkara masih perlu dibuat sama ada dalam bidang mata benda mahupun dalam bidang rohani. Bidang mata benda meliputi ekonomi dan pembangunan fizikal, sementara bidang rohani pula meliputi ilmu, Pendidikan dan dakwah.

Semua ini menuntut kita untuk bekerja keras, tanpa mengenal titik noktah. Ada pun tahun baru, hanyalah wadah untuk memperbaharui azam, bukannya untuk kita baru hendak melangkah melakukan kerja.

Dalam era hari ini, banyak perkara jadi cabaran. Sama ada kita suka atau tidak, dunia kita kini adalah sedang berada dalam kancah peperangan. Dari peperangan, tidak ada sebarang kebajikan yang dapat ditunggu, melainkan semuanya adalah penderitaan dan kesusahan belaka. Semua pihak termasuk kita, tidak ada uang terkecuali dari turut menerima kesannya.

Bercakap mengenai cabaran, alhamdulillah, Brunei kita dapat sentiasa berkeadaan selamat, tanpa mengalami sebarang bencana alam yang mengganggu kehidupan. Ini semua adalah berkat Brunei ditanai dengan do’a, dengan zikir dan dengan Al-Qur’an.

Cuma satu perkara yang memerlukan perhatian bersama ialah, Brunei kadang-kadang terpalit dengan jenayah, seperti jenayah dadah, jenayah curi dan lain-lain yang mengaibkan negara serta amat dibenci oleh ugama.

Maka dalam perkara ini, semua agensi, khasnya yang berkenaan dengan keselamatan dan ugama hendaklah bergerak pantas mendepani gejala ini.

Khusus bagi pihak ugama, ialah memperkasa Pendidikan ugama dan bidang dakwah, bagi tujuan menanam kesedaran membenci dadah dan lain-lain jenayah dikalangan masyarakat.

Pada hemat Beta, dalam scenario seperti ini, kita orang islam adalah dituntut supaya jangan lupa membanyakkan do’a meminta selamat, meminta negara bersih daripada jenayah, insya Allah, perlindungan akan tetap berpihak kepada kita.

Di sinilah tanggungjawab kita sedang diperlukan, iaitu tanggungjawab menyelamat terhadap umat dan negara. Beta yakin, perkara ini mampu untuk kita capai dengan izin Allah.

Maka dalam scenario seperti ini, kita orang Islam diperlukan supaya sentiasa waspada, bukan banyak lalai atau lupa, tetapi banyak berdo’a dan berzikir meminta selamat.

Akhir kalam, untuk menutup perutusan ini, Beta dan Keluarga Beta, dengan sukacita dan besar hati mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1448 kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, semoga dengan berkat Tahun Baru, kita semua dilimpahi rahmat dan nikmat oleh Allah berupa petunjuk atau hidayah serta keselamatan dan rezeki yang mencurah-curah. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*   *   *