Titah KDYMM Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 bagi Tahun 2020

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-36 BAGI TAHUN 2020

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Sudah sewajarnya kita merafa’akan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah pula kita meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Semoga dengan perayaan ini akan mengingatkan kita kepada rahmat Allah berupa kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran.

Rahmat Allah turun, kerana negara ini berstatus ‘Negara Zikir’, dengan umat di dalamnya menjalani kehidupan bertakwa. Apabila sesebuah negara dihuni oleh manusia-manusia ahli takwa, maka janji Allah pasti berlaku menurunkan berkat daripada langit dan mengeluarkannya daripada bumi.

Pada tahun ini kita menjulang tema sambutan, berbunyi: “Menjayakan Wawasan Negara”. Menyebut wawasan sahaja tidak memadai. Tetapi yang penting, kita mesti menentukan ‘dasar’, selaku penunjuk arah kepada satu-satu matlamat atau tujuan yang hendak dicapai.

Pada Beta, dasar terbaik ialah ‘takwa’. Takwalah landasan satu-satunya yang mampu untuk menyampaikan kita kepada kejayaan. Hanya dengan takwa jua segala perjalanan hidup terjamin lurus dan adil, termasuk langkah kita menjana Wawasan Negara.

Di bawah dasar ini, kebajikan rakyat dan penduduk adalah diutamakan.

Siasah takwa dapat memperkukuh perpaduan umat dan menjamin keharmonian antara kaum. Sementara terhadap mereka yang di luar lingkungan pula, akan kekal menikmati hubungan berbaik-baik, atas dasar hormat-menghormati dan tidak mencampuri urusan masing-masing.

Dalam ekonomi, dasar takwa juga menjamin kesucian, iaitu menjana rezki dari sumber yang halal, bukan dari sumber yang haram. Dasar ini melarang keras menipu atau memberi dan menerima rasuah dan lain-lain. Pendeknya, dasar ekonomi takwa, sama sekali tidak menganiaya mana-mana pihak.

Kita sekarang dalam rangka memperkasa masyarakat dan institusi kekeluargaan. Di sini, dasar takwa adalah mampu untuk menjamin golongan tertentu supaya mendapat pembelaan dan perlindungan. Maka melalui Program Pelan Membasmi Kemiskinan Di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), kita telahpun merangka inisiatif-inisiatif pemerkasaan sara diri bagi golongan sasaran.

Langkah ini akan membuka peluang yang lebih luas untuk golongan tertentu untuk mendapatkan pekerjaan ataupun bergiat di dalam bidang keusahawanan, yang sekaligus akan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Ini juga mendukung konsep takwa, yang menggalakkan umat Islam supaya berdikari dengan titik peluh sendiri.

Walau bagaimanapun, negara tetap mengambil tanggungjawab untuk mengusahakan pelbagai kemudahan bagi kebajikan rakyat, seperti misalnya, sedikit masa lagi insya Allah, kerajaan akan melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan membolehkan pemohon bantuan untuk membuat permohonan secara di atas talian (online).

Apapun rancangan dan perubahan, banyak bergantung kepada sumber tenaga manusia. Sumber ini tidak syak lagi adalah aset terpenting negara, kerana merekalah yang akan berusaha untuk mencorakkan kehidupan, selaras dengan keperluan.

Sumber tenaga yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi amatlah dihajati bagi tujuan membawa perubahan.

Sekarang, satu projek raksaksa, Jambatan Penghubung di antara Daerah Brunei  dan Muara dan Daerah Temburong sedang menunggu masa untuk dibuka. Dari sini, kita boleh belajar, bahawa tanpa sumber tenaga berkemahiran, projek ini tidak mungkin menjadi kenyataan.

Demikian itulah pentingnya untuk kita melakar pendidikan tinggi untuk melahirkan sumber tenaga yang berkemahiran.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara,           Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 2020

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 2020
PADA 
HARI KHAMIS (MALAM JUMAAT)
06HB. JAMADILAKHIR 1441
30HB JANUARI 2020
TEMPAT:
DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang berkat ini, untuk mendengarkan ayat-ayat Allah berkumandang di dalamnya. 
Musabaqah membaca Al-Qur’an di negara ini sudah memasuki kali ke-62 ia diadakan. Ertinya sudah lebih 60 tahun musabaqah ini berlangsung. Jangka masa yang sepanjang itu sudah tentu menjadi ingatan manis kepada siapa jua yang pernah menyaksikannya. Begitu juga bagi peserta musabaqah sendiri dan ahli-ahli jawatankuasa yang mengendalikannya. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan ganjaran pahala kepada semua mereka yang terlibat itu. 
Beta sangat tertarik dengan tema majlis pada kali ini, iaitu “Menjana Keberkatan Rezki Dengan Al-Qur’an”
Berkat secara umum, boleh diertikan sebagai kurnia berupa rahmat daripada Allah. Sementara istilah rezki pula mempunyai maksud pelbagai. Ia boleh berupa harta, kesihatan, ilmu pengetahuan, ketenteraman dalam keluarga dan seumpamanya. 
Dengan banyak-banyak membaca Al-Qur’an boleh mengundang berkat, sedang berkat pula bererti ‘lebih’ atau melempah-lempah dan diantara yang lebih atau melempah itu boleh saja berupa rezki. 
Antaranya rezki, berpunca dari keberkatan sedekah, keberkatan istighfar, keberkatan usaha dan seumpamanya. 
Ini semua, dirumus sebagai amal takwa, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah At-Talaq ayat 2 hingga 3, tafsirnya:
“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan menyediakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari sumber yang tidak disangka-sangkanya”.
Sehubungan itu, telah mendorong Beta untuk tidak jemu-jemu menasihat, supaya semua lapisan masyarakat di negara ini melazimkan diri membaca Al-Qur’an, dalam makna, kita dituntut supaya sama-sama menghiasi rumah-rumah kita dengan cahaya Al-Qur’an. Biarlah Al-Qur’an itu terus menyinar dan memberkati segala aktiviti kita. 
Di samping membaca, memahami ayat-ayat Al-Qur’an juga adalah menjadi keutamaan. Lalu kerana itu, kita pun mengambil langkah mengusahakan penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya. Dan kini penyusunan itu sedang diusahakan. 
Mengenai bidang pelajaran Al-Qur’an, Beta mahu semua Institusi Pendidikan di negara ini hendaklah mengambil perhatian berat, khasnya Institusi Pendidikan Ugama adalah tidak wajar untuk bersikap lebih kurang atau menganggapnya sebagai kurang penting, sehingga periode untuk mata pelajaran Al-Qur’an itu dibiarkan kurang, berbanding mata-mata pelajaran lain. 
Terutama bagi Institusi Perguruan Ugama, adalah tidak munasabah untuk mengurangkan periode Al-Qur’an, kerana selaku pegawai atau guru ugama nanti, mereka itu dikehendaki mesti mahir dan mengusai semua aspek, mengenai Al-Qur’an. Jadi cuba bayangkan, jika mata pelajaran Al-Qur’an diabaikan ketika  di dalam pengajian?
Beta berharap perkara ini diambil perhatian sewajarnya. 
Akhirnya, Beta sukacita mengucapkan penghargaan kepada semua peserta musabaqah pada kali ini. Kalah atau menang bukanlah matlamat utama, tetapi keikhlasan mengharapkan pahala daripada Allah, itulah yang menjadi keutamaan. Kepada para qari dan qariah yang berjaya menjadi juara, kita berdoa, semoga Allah memberkati kejayaan mereka.Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.