Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-29 Negara Brunei Darussalam

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-29
PADA HARI ISNIN
23 MUHARRAM 1441 / 23 SEPTEMBER 2019
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana berpeluang hadir di Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-29 pada pagi ini. Di kesempatan ini juga, Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di Negara Brunei Darussalam. 
“Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar” adalah tema sambutan Hari Guru pada tahun ini. Pada hemat Beta, tema ini sangatlah bertenaga, dalam usaha kita untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah negara yang membangun sepenuhnya dengan menjadikan pendidikan berkualiti sebagai landasannya. 
Kita tidak dapat lari daripada cabaran-cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi. Cabaran-cabaran ini boleh bertukar menjadi ancaman kepada budaya dan identiti bangsa. 
Semuanya itu adalah memerlukan, supaya kewaspadaan dan sistem pendidikan dikemaskan. Ini, termasuk juga, supaya peranan guru, sekali gus diperkasakan. 
Adapun kepentingan memperkasa peranan guru itu ialah, kerana manakala peranan itu layu atau lemah, maka hasilnya juga akan layu dan lemah. 
Oleh itu, guru perlulah sedar, bahawa peranannya adalah sangat diperlukan. Ibarat parang, perlu diasah untuk sebarang kegunaan. Jika tidak, maka ia akan berkarat dan tumpul. 
Kerana itu,  Beta turut gembira apabila Kementerian Pendidikan melalui Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022 sedang melaksanakan usaha transformasi sumber tenaga manusia, khususnya para guru supaya mempunyai kompetensi profesional, iaitu layak dan cekap menyempurnakan tugas dan tanggungjawab. 

Sehubungan ini, Beta telahpun memperkenankan penaikan taraf Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia di Kementerian Pendidikan menjadi Jabatan Pengurusan Pendidik.
 
Usaha transformasi ini sangat diperlukan, kerana ciri-ciri dalam bilik darjah di abad ke-21 ini menghendaki perubahan signifikan, baik dari pihak guru mahupun pihak penuntut atau pelajar. Sektor pendidikan perlu bertindak balas dengan cepat, sejajar dengan tanggungjawabnya untuk membangunkan generasi berwibawa dan berkemahiran. 
Beta menyeru kepada para guru, supaya tidak jemu-jemu menambahkan ilmu, kerana apabila ilmu bertambah di kalangan para guru, nescaya ia akan tumpah pula kepada anakdidik-anakdidik mereka. 
Di sinilah wajarnya konsep atau slogan “Belajar Sepanjang Hayat”, supaya dada-dada kita terus basah dengan ilmu, atau ilmu itu jangan ia kering di dalam lipatan-lipatan kertas sahaja.
 
Ilmu itu perlu terus hidup dan berkembang, tidak boleh diperam seperti kita memeram makanan. 
Di tangan siapakah terletaknya ilmu itu? Jawabnya ialah di tangan guru. Gurulah yang menentukan sama ada ilmu itu tersebar atau terperam. Kerana itu pangkat guru selaku orang berilmu adalah sangat tinggi di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. 
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini, semoga segala usaha mereka dalam mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala. 
Kepada para penerima Anugerah Hari Guru pula, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat dan motivasi bagi seluruh warga guru.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-7 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA 
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-7
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI (UTB)
PADA HARI KHAMIS
12 MUHARRAM 1441 / 
12 SEPTEMBER 2019
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dapat hadir ke Majlis konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini.
Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan. 
Baru-baru ini satu berita baik telah diterima, iaitu UTB telah memenangi tempat pertama bagi Pengurusan Alam Sekitar Dalam Dunia Islam, di bawah kategori: “Best NGO’s Leading Practices”. Kejayaan ini disandang kerana projek UTB bertajuk: “Mitigating Floods and Fire Hazards in Forestry Using IOT System in Brunei Darussalam” (Mengurangkan banjir dan bahaya kebakaran di perhutanan dengan menggunakan sistem IOT di Negara Brunei Darussalam). 
Anugerah bagi kejayaan ini akan disumbangkan oleh Kerajaan Arab Saudi, bernilai 30,000 Dollar Amerika. Penganugerahan akan disampaikan di Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Islam Menteri-Menteri Alam Sekitar Kali Ke-8, di Ibu Pejabat ISESCO di Rabat. 
Berita lain yang juga tidak kurang menggembirakan ialah, kejayaan UTB meraih kedudukan 400 teratas, dengan berdiri di tangga ke-379 di QS World University Rankings. Namun ini, bukanlah bermakna, mana-mana pusat pengajian tinggi yang belum atau tidak meraih ranking, kedudukannya terkebawah dari pusat pengajian yang ada ranking.
Di majlis Haflut Takharruj UNISSA tempoh hari, Beta telahpun menyebut mengenai ranking ini. Tanda aras kecemerlangan bagi satu-satu pusat pengajian tinggi itu, tentu saja tidak sama. Oleh itu, kriteria ranking juga pastinya berbeza, tertakluk kepada dasar dan falsafah masing-masing. 
Beta tidak berhalangan dan malah menggalakkan, supaya UTB mengekalkan usahanya untuk menjadi sebuah universiti global yang berkesan, sesuai sebagai sifatnya sebuah Universiti Teknologi. UTB mempunyai tanggungjawab besar untuk mempersiapkan para graduannya dengan kemahiran dan kompetensi yang relevan, seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Lebih-lebih lagi pada masa ini dunia kita sedang berada di gelanggang revolusi industri ke-empat. 
UTB mesti mengemaskinikan program-program yang ditawarkannya supaya relevan dengan keperluan semasa. Program-program tersebut bukan hanya untuk menghasilkan para graduan yang mempunyai kompetensi teknologi terkini, malahan juga mempunyai pemikiran yang fleksibel, kreatif dan berinovasi serta mampu untuk mengambil peluang dari keperluan pasaran. 
Beta menyambut baik perancangan  UTB untuk menyediakan platform ekosistem inovasi yang bertujuan untuk meningkatkan budaya inovasi melalui kurikulum, penyelidikan dan kolaborasi yang melibatkan agensi dan pertandingan-pertandingan yang relevan. Beta menyarankan supaya agensi Kerajaan, sektor swasta dan institusi-institusi pengajian tinggi akan bekerjasama menggerakkan platform ini. 
Mengenai hubungan kerjasama ini, UTB juga perlu mempertingkatkan komunikasi dengan pihak industri yang berkaitan. Ini, adalah sebagai langkah supaya pihak universiti mempersiapkan para graduannya dengan kemahiran menurut kehendak industri. Dalam masa yang sama langkah ini juga mampu untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi para graduan. 
Dalam pada itu, para mahasiswa UTB, disamping memburu ilmu dan kemahiran, mereka juga dikehendaki supaya jangan mengabaikan ugama dan kerohanian. Ugama adalah anutan, dan juga sekaligus, sebagai identiti kita. 
Malah identiti itu sifatnya lebih menyeluruh, termasuk bahasa dan budaya. Semuanya ini jangan diletakkan di tepi atau dibelakang, tetapi jadikanlah ia pakaian untuk dipakai. 
Ambilah pengajaran daripada bangsa-bangsa yang maju, mereka itu tidak mudah untuk membelakangi identiti masing-masing. 
Inilah juga yang sepatutnya ada pada kita. 
Akhirnya, Beta sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang diraikan pada pagi ini. 
Ucapan penghargaan dan terima kasih Beta juga dirakamkan kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan, di atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha serta mengurniakan ganjaran-Nya yang berlipat ganda. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Awal Tahun Hijrah 1441

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERSEMPENA
AWAL TAHUN BARU HIJRAH 1441
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Awal Tahun Hijrah menjelang lagi. Kita bersyukur menyambut kedatangannya. Tidak syak lagi, ini adalah rahmat daripada Allah untuk kita dapat memuhasabah diri menjelang Tahun Baru Hijrah ini. 
Muhasabah diri antara lain bererti, memeriksa balik apa-apa kekurangan yang telah kita lakukan selaku hamba Allah. 
Kita manusia memang mempunyai banyak kekurangan, diantaranya termasuk, kurang mengenal diri sendiri, sedangkan mengenali diri itu mempunyai kepentingan yang sangat besar, sehingga disifatkan, barangsiapa yang mengenali dirinya, nescaya dia mengenali Tuhannya. 
Kita selaku hamba Allah, dituntut untuk muhasabah, samada kita telah menyempurnakan kewajipan atau tanggungjawab, terutama kewajipan menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak kita sesama manusia. 
Adapun hak Allah itu ialah menyembah-Nya, melalui ibadat-ibadat fardhu ‘ain, seperti menyempurnakan Rukun Islam yang lima, termasuk melakukan segala amal saleh dan meninggalkan semua larangan-Nya. 
Semua ini adalah hak Allah Ta’ala, yang mustahak dikenalpasti, samaada kita sudah melaksanakannya atau bagaimana?
Inilah gunanya konsep muhasabah itu. Tanpa memperdulikannya, kita tidak akan tahu apa kekurangan atau kelebihan yang telah kita buat. 
Begitulah juga untuk mengetahui berkenaan dengan hak-hak kita sesama manusia. 
Kalau kita ibu bapa, apakah hak  anak-anak yang telah kita sempurnakan, seperti hak pendidikan terhadap mereka? Begitu juga, kalau kita suami atau isteri, apakah hak suami atau isteri yang telah masing-masing sempurnakan? Dan kalau kita anak pula, apakah hak ibu bapa yang telah kita tunaikan? 
Demikian itulah seumumnya, kalau kita majikan atau pekerja, apakah masing-masing itu telah menunaikan hak masing-masing secara timbal balik?
Beta melihat, kehadiran Awal Muharram, Tahun Baru ini, adalah amat sesuai untuk semua kita melakukan muhasabah diri, sebagai langkah memperbaiki keadaan masing-masing, khusus dalam hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. 
Jika setelah muhasabah itu, kita mendapati keadaan bagus, maka kita akan mempertahankan ia, dan malah berazam untuk mencapai yang lebih bagus lagi. Sementara jika sebaliknya, apa yang didapati hasil daripada muhasabah itu, terdapat sesuatu yang tidak bagus atau banyak buruknya, maka pada ketika itulah kita wajar memakai konsep hijrah, iaitu berpindah daripada keburukan kepada kebaikan. 
Kita mesti berhijrah. Jangan tahan-tahan memerap diri dalam keburukan, tetapi wajib berhijrah, meninggalkan jauh-jauh keburukan dengan menghampiri kebaikan. 
Ini jika dilakukan, insya Allah, kita akan diberi pahala hijrah, kerana tindakan kita itu adalah benar-benar tindakan berhijrah daripada ‘destinasi dosa’ kepada ‘destinasi pahala’, demi semata-mata kerana menagih redha Allah. 
Beta beranggapan, dengan memahami pendekatan seperti ini, kita akan sentiasa teringat bahkan terdurung untuk memperbaiki segala kelemahan atau membersihkan segala kesalahan dengan semangat hijrah. 
Marilah kita sama-sama mengambil manfa’at daripada pengajaran hijrah itu, yang tidak lapok dik hujan dan tidak lekang dik panas, malah tetap relevan serta berguna untuk sepanjang zaman. 
Akhir kalam, Beta dan sekalian ahli keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1441 kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-9 UNISSA

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-9
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA)
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1440 HIJRAH / 2019 MASIHI
PADA HARI KHAMIS,
28 ZULHIJJAH 1440H / 29 OGOS 2019M
TEMPAT: 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana atas limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita bersama-sama meraikan Majlis Haflut Takharruj kali Ke-9, Universiti Islam Sultan Sharif Ali  pada pagi ini. 
Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian masing-masing. Demikian juga kepada ibu bapa, penjaga serta para pensyarah yang sama-sama memberikan sumbangan signifikan kepada kejayaan yang dicapai oleh para graduan pada hari ini. 
Sebagai gedung penjana ilmu pengetahuan, UNISSA juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran dan tuntutan semasa. Ini termasuklah kesediaan UNISSA untuk terlibat dalam mengharungi gelombang Revolusi Industri Keempat, yang secara drastik telah merubah cara hidup manusia dan dunia dalam pekerjaan. 
Bagi menghadapi cabaran ini, UNISSA perlu peka dalam menyedia dan menawarkan program-program pengajiannya. Program-program tersebut mustahak dikenalpasti sebagai mampu untuk memenuhi keperluan-keperluan semasa, dan juga secocok dengan transformasi digital, tanpa mengabaikan peranan utamanya untuk melahirkan ulama dan cendekiawan yang berwibawa. 
Dalam situasi ini, UNISSA sebenarnya adalah tersendiri. Ia berbeza dengan pusat-pusat pengajian tinggi yang lain. Semangat dan sasarannya juga berbeza. Kerana itu pada hemat Beta, bukanlah perkara yang mendesak untuk mesti mengejar ranking dunia yang sedia ada, berdasarkan ianya hanya ciptaan orang lain dan kriteria kecemerlangan juga ditetapkan oleh mereka sendiri. 
Sedang aras kecemerlangan sebenar tidak semestinya ditentukan oleh sebuah komuniti atau negara sahaja, melainkan sepatutnya menjadi hak kepada banyak pihak untuk sama-sama menentukannya. 
Kecemerlangan memang wajar dicari. Kita tidak boleh berhenti dari mengusahakannya. Bagi UNISSA, buktikanlah ianya cemerlang. Wujudkan kriteria kecemerlangan melalui kerja-kerja akademik oleh para pensyarah dan penuntut, dengan melazimkan rajin menulis, seperti buku atau kajian atau artikel-artikel ilmiah, dan menghantar tulisan-tulisan tersebut ke Journal-Journal antarabangsa. 
Kita sedia mempunyai banyak bahan, malah di UNISSA sendiri bahan-bahan itu sudah ada, tinggal sahaja lagi kita mahu ataupun tidak untuk memanfaatkannya. 
Di antara program-program pengajian UNISSA: Ada program undang-undang dan perundangan syariah, program usuluddin, program tahfiz dan qira’at, program pengurusan perniagaan, program sains dalam kewangan Islam, program syariah (Fiqeh dan Kehakiman), program sejarah dan tamadun Islam, program Bahasa Arab dan penterjemahan, program sains halal dan lain-lain. 
Ini semua adalah bahan. Ianya bukan saja jurusan untuk dipelajari, malahan juga boleh ditulis di dalam bentuk buku atau tulisan atau kajian atau artikel. Jika ini mampu dibuat sehingga jadi budaya kepada UNISSA, maka Beta berpendapat, inilah antara ciri kriteria kecemerlangan yang lebih melayakkan UNISSA menempati ranking. 
Pada masa ini tidak terdapat tanggapan walau satupun, tentang institusi pendidikan tinggi Islam tidak relevan. Sedang pendapat yang sahih, telah meletakkan pendidikan tinggi Islam itu sebagai keperluan asasi yang tidak boleh diabaikan, kerana daripadanya muncul tamadun yang sempurna. 
Kerana itu Beta berpendirian, pengajian dan pendidikan Islam mesti terus diperkasa, kerana ia adalah teras segala kepentingan, yang mampu untuk menghadirkan segala kebaikan untuk bangsa dan negara. 
Beta sukacita mengambil maklum bahawa UNISSA telah menyediakan Pelan Strategik 2019-2023. Beta berharap pelan ini akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti pengajian yang ditawarkan, mampu menghasilkan penyelidikan bermutu serta memberikan perkhidmatan dan urus tadbir yang cemerlang. Ketiga-tiga elemen ini adalah merupakan ciri yang mesti wujud di UNISSA. 
Akhirnya Beta mengambil peluang untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi para Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai Utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen ke-31 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KE-31
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)
PADA:
Hari Khamis
21HB Zulhijjah 1440
22HB Ogos 2019
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-31 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini. 
Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah juga ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian di UBD. 
Beta percaya, para graduan mampu untuk mengikuti sebarang perubahan dalam paradigma ekonomi dan cabaran-cabaran baru. Salah satu contoh, ialah ledakan teknologi yang membawa kepada perubahan-perubahan terpantas dalam sejarah tamadun manusia. Aplikasi teknologi ini lebih menonjol di era revolusi industri ke empat kini. 
Dalam era ini, kepentingan teknologi amatlah ketara, dimana kita, tidak boleh ketinggalan. Untuk tidak berlaku ketinggalan itu, kita perlu mengemaskan diri, termasuk kalau perlu, mengemaskini sistem pendidikan, selaras dengan keperluan. 
Diantara keperluan utama ialah, untuk menjana kemahiran. Kemahiran sangat mustahak dalam persaingan. Tanpa kemahiran, kita hanya akan jadi penonton. 
Maka dalam hubungan ini, Beta gembira mengetahui, bahawa UBD telah memulakan langkah melaksanakan inisiatif-inisiatif digital, seperti memperkenalkan perspektif digital dalam semua program sarjana muda dan mengemaskinikan Sarjana Muda Sains Komputer. Beta difahamkan, program Sarjana Muda Sains Komputer akan merangkumi pelbagai jurusan sains digital seperti Data Analytics, Artificial Intelligence dan keselamatan siber atau Cybersecurity. 
Selain itu, Beta juga difahamkan bahawa UBD telah memperkenalkan dual degree yang berunsur perspektif digital dalam bidang kejuruteraan, khususnya Smart Manufacturing Technologies ditahap sarjana dan kedoktoran bersama Sungkyunkwan University, iaitu salah sebuah universiti utama di Republik Korea dan di arena antarabangsa. Beta berharap inisiatif-inisiatif seperti ini bukan sahaja akan menghasilkan graduan celik digital teknologi future ready, tetapi juga turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. 
Mengenai future ready ini, adalah untuk memastikan semangat para graduan tidak hanya untuk menceburi pekerjaan sedia ada, tetapi mereka sendiri juga mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan. 
Beta telah difaham, Entrepreneurship Village di UBD telah diperluaskan dengan penubuhan The UBD Start-Up Centre. Beta juga difahamkan, pusat ini adalah kolaborasi bersama Darussalam Enterprise yang akan melibatkan projek keusahawanan berdasarkan multi-disciplinary dan mempunyai perspektif revolusi industri keempat. 
Ini adalah satu penerokaan, jika ia diurus dengan baik, boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, terutama sebagai sokongan untuk membangunkan Micro and Small, Medium-Sized Enterprises (MSME). 
Melihat ke dalam UBD secara khusus, ada beberapa kepentingan patut diambil berat. Pertama mengenai perkembangan kapasiti manusia, adalah memerlukan ciri-ciri kepimpinan, baik bagi peringkat petugas mahupun pelajar. Kedua-duanya adalah sama penting untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti yang mempunyai visi serta idea-idea membina. 
Ini boleh dicapai melalui pengemasan kurikulum dan mengadakan program-program khusus, seperti program-program eksekutif. Namun dalam pada itu, jangan pula dilupakan kepimpinan Islam (Islamic Leadership) sebagai jurusan khusus dan utama di UBD. Beta mahu, Islam tidak terpinggir untuk memupuk kepimpinan dan cara hidup di kalangan semua warga UBD. 
Kepentingan lain, UBD perlu kekal dengan etikanya sendiri dan bersikap tidak akan meniru-niru pendekatan orang lain. Misalnya, dalam perkara penganugerahan ijazah, baik kepada pelajar mahupun kepada siapa saja, hendaklah ia seratus peratus bersifat ‘pengiktirafan ilmu’, bukan dicampur-aduk dengan kepentingan politik. Kerana jika dicampur, maka ijazah mungkin saja akan jadi seperti barang dagangan atau alat untuk menjejaskan penerimanya. Ini berlaku, apabila ijazah yang dianugerahkan itu ditarik balik kerana sebab-sebab politik. 
Di sini, UBD dan semua pusat pengajian tinggi kita, janganlah meniru pendekatan seperti itu, iaitu suatu pendekatan yang tidak Islamik. 
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Beta berharap agar setiap graduan sentiasa menimba ilmu bagi sama-sama membangun Negara yang kita cintai ini. Selain dari itu, Beta juga mengingatkan agar para graduan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam agar apa jua usaha akan sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis, Ahli-ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas mereka dengan ganjaran-Nya yang berlipat ganda. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.