Titah KDYMM Semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali Pertama bagi tahun 2023

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMASA MESYUARAT MAJLIS TERTINGGI WAWASAN BRUNEI 2035 
KALI PERTAMA 
BAGI TAHUN 2023
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat duduk bersama di Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali Pertama bagi tahun 2023 pada hari ini. 
Beta terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada Paduka Anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di atas pimpinan khidmat bakti tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkan selama menjadi Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035. 
Di kesempatan ini juga, Beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua ahli di atas pelantikan semula dan pelantikan baru dalam Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035. Begitu juga Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 di atas sumbangan-sumbangan yang telah diberikan. 
Pengemaskinian keahlian Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan wadah strategik yang Beta harapkan akan menjadikan majlis sebagai landasan utama Whole of Government. Dengan adanya keahlian semua Menteri-Menteri Kabinet diharapkan akan dapat mencetuskan pemikiran-pemikiran besar serta transformatif ke atas menjana kesejahteraan rakyat dan penduduk serta memastikan kemakmuran negara dipertahankan. 
Beta menaruh harapan yang tinggi kepada ahli-ahli yang baru dilantik untuk memberikan sokongan padu bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035. Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan aspirasi Beta sendiri bagi melihat pembangunan negara berjalan lancar. Pada awalnya Wawasan diterbitkan melalui Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang bagi merancang pembangunan negara dalam tempoh 30 tahun ke hadapan. Beta difahamkan pelbagai usaha sudahpun dijalankan bagi merealisasikan Wawasan 2035 ini. Namun persoalannya, sejauh manakah usaha telah berhasil sedang tempoh cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi? 
Dalam keadaan dunia sangat sukar diramal, maka Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali dari menghadapi kesan-kesan global seperti konflik geopolitik, penularan wabak Coronavirus dan situasi ekonomi tidak menentu. 
Ini semua sudah setentunya memaksa kita untuk berfikir lebih fokus kepada pemeriksaan dasar dan kemampuan. Perlu diingat, pembentukkan asal Wawasan Brunei berlaku dalam satu masa yang berbeza dari masa sekarang. Oleh itu untuk melihatnya sentiasa relevan dan unggul maka kita perlu memastikan apa yang dirancang akan tetap kekal sebagai sasaran. 
Maka disinilah pentingnya Wawasan Brunei 2035 diberikan perhatian sewajarnya dalam kita mengharungi cabaran-cabaran sukar yang dibawa oleh arus perubahan masa yang sangat pesat dengan lebih fokus kepada pencapaian matlamat-matlamat yang dirancang. 
Kita tidak mahu Wawasan Brunei 2035 hanya tinggal retorik sahaja sebagai satu angan-angan kosong, tetapi kita mahu ia mesti direalisasikan sepenuhnya sebagai agenda utama pembangunan negara. 
Beta mengambil maklum terhadap usaha-usaha mengukuhkan perlaksanaan strategik dan pelan-pelan tindakan yang menjurus kepada mencapai Matlamat- Matlamat Utama Wawasan iaitu melalui Manpower Blueprint bagi Matlamat Pertama yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Manpower Planning and Employment Council (MPEC); Sosial Blueprint bagi Matlamat Kedua yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) dan Economic Blueprint bagi Matlamat Ketiga yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi. 
Beta berharap dengan adanya Blueprint-Blueprint ini negara akan dapat mentransformasikan tindakan termasuk pensejajaran dengan keperluan projek- projek Rancangan Kemajuan Negara. 
Beta juga berharap permesyuaratan di peringkat Jawatankuasa Kerja Wawasan 2035 akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai landasan Whole of Government yang menyatukan isu-isu termasuk juga penyelesaian sebarang permasalahan. 
Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan harapan tinggi rakyat dan penduduk negara ini untuk melihat tindakan-tindakan yang diambil melalui Majlis Tertinggi ini akan lebih fokus kepada kepentingan rakyat, “people-centered”. 
Untuk ini kita nampak masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan setakat perlaksanaan inisiatif-inisiatif sahaja belumlah mencukupi. Jika tidak diikut oleh penelitian-penelitian terhadap inisiatif-inisiatif tersebut, bagaimana hasil atau keberkesanan ia juga diharapkan untuk melihat lebih jauh lagi ke hadapan semua perancangan yang mampu membawa negara kepada perubahan-perubahan besar yang di tunggu-tunggu. 
Oleh itu semua pihak tidaklah boleh goyang kaki melainkan sama-sama mesti serentak menggandakan usaha ke arah mencapai semua sasaran yang telah ditetapkan. Pihak pelaksana tidak boleh lemah atau semangat sejuk untuk menghadapi sebarang cabaran. Sangat mustahak untuk diingat bahawa sebarang usaha atau kerja untuk mengurus negara dan kerajaan memang tidak sunyi dari cabaran. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah Perutusan KDYMM sempena Hari Kebangsaan NBD Kali Ke-39 Bagi Tahun 1444H/2023M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH  DULI  YANG  MAHA MULIA

PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN

SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN 

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

​SEMPENA

HARI KEBANGSAAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-39

BAGI TAHUN 1444H/2023M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

​Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat pula meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-39 pada tahun ini.

Hari Kebangsaan adalah detik penting untuk diingati, kerana dengan mengingati itu, kita sekaligus akan teringat pula kepada pengorbanan dan usaha-usaha para pemimpin dan orang-orang terdahulu mencari jalan ke arah kemerdekaan.

Harga kemerdekaan sangat sukar untuk dinilai, kerana ia bukan benda jumud untuk dihitung dengan angka, tetapi ia adalah landasan untuk kita memperolehi sesuatu yang lebih baik. Misalnya melalui kemerdekaan, kita dapat menikmati apa yang belum pernah kita nikmati. Tidakkah ini satu pencapaian yang sangat hebat?

​Kerana itulah, kemerdekaan wajar dipelihara untuk mewarnai kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Cara memelihara itu ialah dengan menunaikan kewajipan masing-masing secara telus dan sempurna, bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk semua.

Sekarang menjadi kewajipan utama kita ialah untuk melihat matlamat Wawasan Negara terlaksana. Kita tidak dapat berlengah-lengah lagi atau goyang kaki, kerana masa cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi untuk kita merealisasikannya. Kerana itu Kerajaan perlu memuktamadkan manpower dan social blueprint dalam masa terdekat sebagai arah tuju bagi setiap perancangan dan tindakan pihak-pihak yang berkepentingan dalam kerajaan.

Beta berharap blueprint-blueprint ini termasuk Economic Blueprint akan menjadi bahan rujukan kepada orang ramai terutamanya sektor swasta, badan bukan Kerajaan (NGOs) untuk merangka strategi dan pelan tindakan masing-masing.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai peneraju Brunei Darussalam Economic Blueprint sudahpun siap merangka peta-peta jalan industri bagi sektor industri permakanan; industri hiliran minyak dan gas; dan industri perkhidmatan maritim. Sementara peta-peta jalan berkaitan dengan industri teknologi maklumat dan infokomunikasi pula sedang giat dalam penelitian-penelitian dan penggubalan. Peta-peta jalan dalam sektor industri-industri utama ini adalah bertujuan untuk menambahbaik ekosistem dan juga industri-industri tempatan dapat membangun meningkatkan usaha masing-masing ke arah memperkukuhkan lagi kedayatahanan ekonomi negara.

Manakala bagi mendokong Perniagaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (M.S.M.E), Kerajaan Beta juga sedang merangka dasar M.S.M.E bagi membantu mereka meningkatkan produktiviti masing-masing.

Beta ingin mengingatkan bahawa kemajuan yang mahu dicapai bukan tertumpu kepada membangun bangunan-bangunan untuk bermegah-megah, tetapi kemajuan yang lebih bermakna ialah seperti membina prasarana dan sistem yang membawa impak positif kepada rakyat dan penduduk, seperti juga kemajuan kepada sumber tenaga manusia, kita adalah mahu untuk melahirkan rakyat yang progresif, berdikari dan tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan.

Sehubungan itu, bidang pendidikan tidaklah dapat diabaikan. Kita perlu kepada rakyat yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran. Maka untuk itu Beta melihat, bahawa Kemahiran STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) adalah perlu diperluaskan, dengan mengambilkira, betapa pentingnya kemahiran itu sebagai pemangkin pembangunan.

Mengenai bidang pendidikan juga, Beta melihat supaya Skim Pendidikan biasa dan ugama dapat bersatu di bawah pengurusan yang sama supaya tenaga para pendidik dapat diintegrasikan dalam waktu persekolahan, iaitu bagi memenuhi maslahat dan kemudahan para ibu bapa dan penjaga ketika menghantar dan mengambil anak-anak sekolah.

Turut sangat penting ialah penerapan ilmu ugama dan nilai-nilai murni sebagai pasak bagi mengukuhkan jati diri bangsa. Maka oleh itu, generasi muda yang merangkumi para penuntut dan belia mestilah sama-sama dibawa untuk mengenali dan menghayati ajaran-ajaran ugama.

Akhirnya, Beta sukacita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk peserta, petugas dan Ahli-Ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 pada tahun ini. Tidak lupa juga diucapkan penghargaan kepada semua lapisan, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam dan luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, Para Sukarelawan termasuk Belia serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan do’a semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-21

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH SATU
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS
04 REJAB 1444 / 26 JANUARI 2023

BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Pujian dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat hadhir di Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Satu (21), Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada pagi ini. Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas pertunjukan perbarisan yang penuh semangat sebentar tadi.

Seramai 64 orang Pegawai Kadet yang terdiri daripada 45 Lelaki dan 19 Wanita telah berjaya menjalani latihan Pegawai Kadet selama 48 minggu. Ini bererti, seramai 752 orang pemimpin tentera telahpun berjaya dilahirkan sejak penubuhan Sekolah Pegawai Kadet 14 tahun yang lalu. Beta turut berbangga di atas pencapaian ini, sambil tidak lupa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para ibu-bapa dan penjaga diatas dorongan dan sokongan mereka untuk kejayaan latihan ini.

Pada pengambilan kali ini, Beta gembira dengan langkah meningkatkan kredibiliti dan kapasiti pembelajaran Sekolah Pegawai Kadet iaitu seperti yang dapat dilihat melalui penglibatan latihan luar negeri ke Republik Singapura seperti Joint Urban Operations bersama Singapore Armed Forces Training Institute-Military Institute (SAFTI-MI), yang buat pertama kalinya melibatkan semua perkhidmatan Pegawai Kadet Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Skop Sekolah Pegawai Kadet juga turut dikembangkan lagi penglibatannya dengan mengikuti International Army Cadet Week bersama Republik Rakyat China dan SAFTI-MI International Cadet Conference di Republik Singapura.

Dalam usaha untuk mengembangkan pembelajaran dan menghasilkan Pegawai Tentera yang berpengetahuan tinggi, maka Akademi Pertahanan memang perlu untuk membuat kolaborasi dengan universiti dan institusi pendidikan tentera, samada dari luar negara mahupun tempatan sebagai academic provider kepada Akademi Pertahanan. Selain bagi tujuan melahirkan pemimpin tentera yang kredibel, komitmen seumpama ini juga adalah mampu untuk menaikkan lagi taraf akreditasi pendidikan Akademi Pertahanan sehingga sebanding dengan institusi pendidikan tentera luar negara.

Untuk melahirkan pemimpin tentera yang kredibel, RBAF Leadershif Model adalah memainkan peranan utama sebagai pembentuk watak atau karakter yang kita kehendaki. Kita hanya mahukan pemimpin-pemimpin yang berwatak atau berkarakter kebruneian semata-​­mata, dengan ditambah lagi memiliki sifat-sifat jujur, amanah, takwa, berani, setia dan profesional. Inilah Model Kepimpinan yang sangat­-​sangat didambakan oleh Brunei.

Berpandukan kepada Model Kepimpinan seperti inilah, insya Allah, tapisan pemilihan bagi bakal Pegawai ABDB di Sekolah Pegawai Kadet akan lebih terperinci lagi dilaksanakan, dengan mengambil kira juga standard pembelajaran dan mutu latihan hendaklah sentiasa ditahap yang tinggi dan tidak berkompromi dengan apa-apa jua perkara yang boleh menjejaskan mutu latihan.

Beta mengambil maklum, bahawa mulai Pengambilan Ke Dua Puluh Dua (22) pada tahun 2023 ini, Sekolah Pegawai Kadet buat julung kalinya akan menerima kemasukan Pegawai Kadet dari luar negara. Ini selain dapat meningkatkan hubungan diplomasi pertahanan, kehadhiran Pegawai Kadet luar negara juga akan memberikan nilai tambah dan pengiktirafan terhadap Sekolah Pegawai Kadet kita sebagai setanding dengan Sekolah Pegawai Kadet luar negara.

Untuk akhirnya, Beta sekali lagi mengulangi ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan mereka. Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai Colour Sergeant dan Jurulatih Sekolah Pegawai Kadet diatas usaha mereka melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet. Semoga Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang maju dan sentiasa didalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan ini mengurniakan Tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada Enam Puluh Empat (64) Pegawai Kadet Pengambilan Kedua Puluh Satu (21).

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM sempena menyambut Tahun Baru Masihi 2023

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU MASIHI 2023
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta mengajak seluruh rakyat dan penduduk untuk sama-sama merafa’kan syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat memasuki tahun baru Masihi 2023.

Mengimbas balik masa tiga tahun dalam menghadapi COVID-19, kita telah melihat, musibah ini, walaupun membawa kesan sampingan kepada kehidupan, namun hikmahnya telah menciptakan peluang untuk kita berdikari memperkasa bidang-bidang utama seperti sekuriti makanan, perbekalan, pendidikan, kewangan dan kesihatan.

Inilah hikmah yang tidak pernah terlintas difikiran kita, dan malah banyak lagi untuk kelangsungan hidup, termasuk membanyakkan amal salih, beribadat, berdo’a, bersabar dan bertawakal kepada Allah.

Demikian juga hikmah fizikal pandemik telah meningkatkan kapasiti kaedah digital, yang membolehkan semua pihak dapat menikmati perkhidmatan yang cekap dan cepat dalam bidang pekerjaan mahupun pembelajaran secara maya.

Akan lebih bermakna lagi jika pengalaman ini dapat menyuntik semangat rajin berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara serta berganding bahu mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Dengan adanya semangat sedemikian, akan mencetuskan minat besar para belia, khasnya untuk menceburi bidang-bidang baharu seperti big data, cloud computing, tenaga hijau (green energy) dan teknologi mesra alam (environmentally-friendly technology).

Kearah mencapai tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035, Kerajaan Beta sedang melaksanakan Economic Blueprint dan juga sedang merangka strategi melalui Social Blueprint dan Manpower Blueprint. Beta berharap, setiap strategi yang sedang dan akan dilaksanakan melalui blueprint-blueprint berkenaan akan mendapat dokongan padu daripada pelbagai stakeholders.

Sedia disedari, bahawa ekonomi negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kadar inflasi, yang turut didorong oleh ketegangan geopolitik di peringkat global. Ini, telah mendedahkan Brunei kepada cabaran pahit imported inflation yang membawa berlakunya kenaikan harga barangan di negara ini. Kadar inflasi telah meningkat dari 3.8 peratus kepada 4.7 peratus, iaitu kadar tertinggi pernah direkodkan.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Beta akan terus berusaha untuk meminimakan kesan kenaikan harga barangan dengan memastikan bekalan dan sekuriti makanan adalah stabil dan mencukupi.

Dalam memulakan tahun 2023, semua lapisan rakyat dan penduduk perlu bertekad untuk menjalani kehidupan bersih tanpa diganggu oleh gejala-gejala buruk seperti rasuah, pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan menagih dadah. Jika ini dapat dihindari, bererti satu kelebihan bagi Brunei.

Alhamdullillah, pada tahun 2022, Beta telah mengadakan beberapa siri keberangkatan keluar negara dan telah berhasil menandatangani beberapa perjanjian dan Memorandum Persefahaman dengan beberapa pertubuhan dan institusi antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (P.B.B.); International Monetary Fund (I.M.F.); World Health Organization (W.H.O.) dan lain-lain. Semua ini dianggarkan dapat membantu perkembangan dan pengiktirafan profesionalisme sumber tenaga manusia.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, para barisan hadapan (frontliners) dan sukarelawan, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2022.

Beta juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang sama kepada semua lapisan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Beta, sama ada dalam menangani wabak penyakit mahupun dalam mendokong agenda pembangunan negara.

Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan. Kita akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat, khususnya dalam menangani isu dan cabaran serantau dan antarabangsa pasca COVID-19 dalam pemulihan ekonomi seperti perdagangan digital, kedayatahanan, perubahan iklim dan kesihatan am.

Selamat Tahun Baru Masihi 2023 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.