Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-34 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-34
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
 (UBD)
 
PADA HARI ISNIN
24HB. MUHARRAM, 1444/
22HB. OGOS, 2022
 
BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadhir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-34 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta lebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.

Kita sedia maklum bahawa dunia kini sedang melalui pelbagai perubahan, sejajar dengan kemajuan digital yang pesat. Ini tentu saja menjadikan landskap pengajian tinggi juga turut mengalami evolusi, yang memerlukan UBD dan institusi-institusi pengajian tinggi lain menyiapkan diri ketika menjalani norma baharu dalam pengajaran, pembelajaran dan penggunaan sumber berkesan.

Dalam keghairahan membentuk pembelajaran digital, kita juga dikehendaki untuk menerapkan kecerdasan sosial dan emosi. Kerana selaku pelajar, bukan sahaja perlu cemerlang dalam kelulusan akademik, tetapi juga perlu lengkap dengan nilai-nilai luhur, seperti tabah, gigih, beriman, setia dan berani. Kecerdasan sosial dan emosi ini perlu ditanam dan dibudayakan dari awal pendidikan lagi sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Pengajian tinggi juga perlu terus relevan untuk melahirkan graduan yang employable dan future-proof. Maka untuk itu, kurikulum GenNext UBD dilihat telahpun berhasil melahirkan graduan yang diharapkan itu. Namun, selaras dengan visi UBD iaitu National Relevance Global Impact, maka sangatlah sesuai jika kurikulum GenNext itu direview.

Beta sangat mengalu-alukan inovasi dalam penyediaan program mempraktikkan kaedah blended learning, dimana para graduan bukan sahaja akan mendapat segulung ijazah, malahan juga akan mendapat pensijilan profesional.

Sehubungan itu, Beta gembira, bahawa UBD telahpun memperkenalkan satu program baru, iaitu Bachelor of Applied Artificial Intelligence, yang akan mengambil masa tiga (3) tahun pengajian yang bermula pada sesi akademik 2022/2023. Beta difahamkan, program ini adalah kolaborasi dengan Coursera, iaitu salah satu penyedia terbesar di dunia bagi kursus-kursus profesional melalui platform dalam talian yang akan membawa pensijilan profesional daripada syarikat ternama seperti Google dan IBM.

Beta berharap, semua ini mampu untuk menjadikan para graduan lebih industry-ready, berpeluang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan di dalam dan di luar negara mahupun mampu untuk berdikari sendiri mewujudkan peluang pekerjaan.

Menyebut mengenai pekerjaan, Beta mengambil maklum bahawa Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat UBD telah merangka garispanduan dan peraturan bagi pembelajaran sepanjang hayat dimana kelayakan mikro ataupun micro credentials yang dinamakan micro-bachelor dan micro-master akan diperkenalkan, untuk memberi peluang kepada rakyat negara ini meningkatkan kapasiti dan meluaskan peluang kemajuan kerjaya (career progression) masing-masing.

Mengenai ranking, Beta juga mengambil maklum bahawa subjek Modern Languages di UBD telah untuk julung kalinya menduduki kedudukan 300-330 di dalam QS World University Rankings by Subject pada tahun 2022. Dalam penyelidikan pula Beta ucapkan tahniah kepada UBD atas peningkatan ketara dalam impak citation penyelidikan bagi Times Higher Education World University Ranking. Dalam hubungan ini, Beta amat mengalu-alukan penglibatan pihak industri dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam penyelidikan yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam kesibukan para pelajar dengan agenda pengajian akademik dan kehidupan seharian, Beta gembira mengetahui bahawa UBD juga sedang mengukuhkan lagi program bimbingan Al-Quran yang sedia ada dengan melaksanakan program baru yang dinamakan Quranic Journey yang menjurus kepada membantu dan memastikan para pelajar Islam di UBD pandai dan faham serta cinta kepada Al-Quran,  selaras dengan moto UBD: ‘Ke Arah Kesempurnaan Insan’.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga segala usaha mereka itu akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-17, Tahun 2022

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN
KALI KE-17
PADA HARI SELASA,
11 MUHARRAM 1444 / 9 OGOS 2022
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN
ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du. 
Beta bersyukur kerana dapat berkumpul bersama-sama bagi menghadhiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-17 pada pagi ini.
Tidak syak lagi para Belia adalah komponen kritikal dalam usaha pembangunan negara, selaku ‘stakeholder’ yang dinamik.
‘Acuan’ yang tepat adalah diperlukan untuk menjadikan golongan belia lebih bersedia dalam memacu pembangunan negara.
Hari ini kita melihat transformasi belia sedang berlaku, dengan mereka itu didapati lebih berwawasan dan berani untuk meneroka bidang-bidang baru, di antaranya bidang perekonomian, digital, inovasi sosial, agri-bisnes dan industri-kreatif.
Beta amat gembira apabila golongan belia kita menunjukkan pencapaian prestasi yang membanggakan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat serantau dan antarabangsa.
Misalnya dari sudut pertumbuhan ekonomi, hasil produk usahawan belia telah melangkaui jauh sehingga ke peringkat luar negara, khususnya dalam bidang teknologi komunikasi, pembangunan aplikasi pintar dan perisian (software), agri-bisnes, tekstil dan kreatif.
Sehubungan ini Beta mengalu-alukan kiranya lebih ramai lagi para usahawan belia menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, sebagai usaha memperkasa ekonomi negara.
Dari aspek kepimpinan pula, para belia kita turut menyandang pengiktirafan dari luar negara atas usaha dan komitmen yang mereka laksanakan, sama ada di peringkat ASEAN mahupun antarabangsa, seperti dalam bidang kesukarelawan, kemanusiaan dan kesukanan.
Baru-baru ini, atlet-atlet belia mengharumkan nama negara dengan meraih pingat dan kejayaan dalam kejohanan sukan prestasi tinggi pada Kejohanan Asia Tenggara (SEA Games) ke-31 di Vietnam dan The World Games 2022, Birmingham, Amerika Syarikat.
Namun Beta suka mengingatkan, bahawa ‘keharuman’ nama Negara Brunei Darussalam memang sudah sedia ada, walaupun tanpa meraih sebarang pingat. Tetapi yang lebih penting bagi kita bukanlah mengejar pingat, bahkan sangat utama ialah ‘Menjaga Nama Baik Negara’ dalam apapun bentuk tindak tanduk atau aktiviti kita.
Kalaupun hendak menempah kejayaan, maka para belia juga adalah tetap dituntut untuk tidak mengabaikan akhlak yang mulia dan tidak meminggirkan ke tepi calak kebruneian kita: “Melayu Islam Beraja.”
Beta yakin, inilah wadah atau landasan strategi yang sangat sesuai lagi afdhal untuk dilalui oleh para belia kita. Jangan fikir, dengan wadah ini kita berundur ke belakang, tidak! Tetapi para belia kita masih sahaja tetap berpeluang untuk melakukan pelaburan berskala besar ke persada yang lebih tinggi dan malah mampu untuk mencetuskan perubahan-perubahan dalam usaha-usaha pemulihan dan perkembangan ekonomi.
Pada kesempatan ini, Beta menyeru semua agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara amnya, untuk terus mendukung perlaksanaan Dasar Belia Negara dan Strategi, demi memastikan perlaksanaan dan kejayaan program yang dirancang menepati sasaran.
Untuk akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka, sama-sama membangun dan memajukan negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1444

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
TAHUN BARU HIJRAH 1444
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1444.

Beta mengambil maklum bahawa tema sambutan kali ini menggalakkan supaya Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa dalam menghadapi ujian.

Tema ini dilihat sangat sesuai dengan situasi masa ini, dimana kita masih berhadapan dengan wabak koronavirus.

Bersabar dan berikhtiar, serta bertawakal dan berdo’a adalah memang ajaran ugama. Terutama sifat sabar menjadi penentu kepada kesempurnaan iman seseorang, sebagaimana maksud sebuah Hadits, riwayat Muslim yang mahfumnya: “(Tanda) iman seorang mukmin sempurna adalah, apabila dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur. Maka itulah kebaikan baginya. (Dan) apabila (sebaliknya) dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Maka itulah kebaikan baginya.”

Syukur dan sabar adalah pakaian nabi-nabi dan orang-orang salih. Kita perlu bersikap seperti mereka itu, kerana ‘syukur’ menambahkan nikmat, sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Ibrahim, Ayat 7, tafsirnya: “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah lagi nikmatKu kepada kamu.”

Sementara ‘sabar’ pula mengukuhkan kedudukan, berdasarkan orang sabar itu sentiasa ‘bersama-sama’ dengan Allah, sebagaimana dapat dirujuk maksud Ayat 153, Surah Al-Baqarah.

Sesungguhnya tidak ada apa lagi yang patut dirisaukan atau ditakutkan, jika Allah sudah bersama-sama dengan kita.

Di sinilah terdapat pengajaran HIJRAH, dimana Sayyidina Abu Bakar radhiallahu ‘anhu yang ketika itu bersama-sama dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam gua, bahawa beliau (Sayyidina Abu Bakar) merasa amat cemas dan takut, kerana menganggap musuh dari luar gua sudah nampak kepada mereka, sehingga mendorong Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda memberikan perangsang, maksudnya: “(Wahai Abu Bakar), janganlah takut dan berdukacita, sesungguhnya Allah adalah bersama-sama dengan kita.”

Dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini, maka turunlah ketenangan kepada Sayyidina Abu Bakar, yang sekali gus telah menjayakan misi Hijrah yang penuh dengan cabaran itu.

Perkara ini seyugia menjadi iktibar, khasnya dalam keadaan kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian. Disamping melakukan usaha-usaha biasa, maka pergantungan kepada Allah juga adalah rukun utama kehidupan.

Hijrah adalah satu usaha untuk menghindari musibah yang ditimpakan oleh musuh akidah. Tetapi ia bukan setakat usaha biasa, malah usaha yang dihiasi dengan niat kerana Allah, iaitu untuk menyelamatkan ugama dan mencari keredhaan-Nya. Maka dengan niat demikian itulah, HIJRAH telah berjaya menepati sasarannya.

Mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, maka elok sangat, jika dalam menangani Covid-19, kita menghiasi semua usaha kita dengan ‘niat suci’ kerana Allah agar dihindari daripada wabak, supaya dengan itu kita dapat melakukan ibadat dengan selesa dan dapat menunaikan lain-lain kewajipan dengan lebih baik dan sempurna.

Inilah cara yang sebaik-baiknya mendekati Allah, iaitu melalui ‘niat kerana Allah’, bagi memperolehi sesuatu yang dihajati. Sesungguhnya Allah adalah menilai semua perbuatan kita berdasarkan niat, sebagaimana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu perkara ini, maksudnya: “Semua perbuatan itu adalah dengan niat.”

Maka bersempena dengan menyambut Awal Tahun Hijrah 1444 ini, marilah kita mengotakan azam akan menjadikan “niat baik kerana Allah” sebagai pasak dalam semua tindak-tanduk dan amal salih kita.

Misalnya kalau kita membangun, membangun itu kita niatkan kerana Allah untuk kesejahteraan rakyat. Kalau kita menjana ekonomi, menjana ekonomi itu kita niatkan kerana Allah untuk kemakmuran negara. Kalau kita menjalankan undang-undang, menjalankan undang-undang itu kita niatkan kerana Allah untuk menegakkan keadilan. Kalau kita memperkasa pertahanan, memperkasa pertahanan itu niatkan kerana Allah untuk keselamatan. Kalau kita menangani Covid-19, juga kita niatkan kerana Allah untuk kebaikan semua, dan lain-lain lagi.

Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kita yang demikian itu, semua pekerjaan atau usaha kita yang berkebajikan akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1444, semoga kita dan negara sama-sama dipayungi oleh rahmat di sepanjang tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Perutusan KDYMM sempena Hari Raya ‘Idil Adha 1443 H / 2022 M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA HARI RAYA ‘IDIL ADHA TAHUN 1443H/2022M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Dengan rahmat serta izin Allah jua, dapatlah kita menyambut lagi ‘Idil Adha Al-Mubarak dengan membanyakkan takbir dan tahmid memuji Allah. Pada hari pertama, kita akan bergerak ke masjid atau ke surau atau ke balai ibadat untuk menunaikan sembahyang sunat ‘Idil Adha, yang diikuti selepas itu sehingga akhir Hari Tasyriq kita menyembelih korban.

Inilah unik dan indahnya suasana ‘Idil Adha itu. Suasana ini bukan kita yang mencipta atau dengan sesuka hati kita mencorakkannya. Tetapi ia adalah perkara yang telah disyari’atkan.

Setelah berlalu beberapa tahun sehingga sekarang, kita masih saja menyambut ‘Idil Adha dalam keadaan tertekan disebabkan wabak koronavirus. Dan belum pun berakhir wabak ini, tiba-tiba muncul pula kes jangkitan baru, Cacar Monyet (Monkeypox).

Setakat pertengahan Jun 2022 yang lalu, sejumlah lebih dari dua ribu kes jangkitan telah disahkan dikalangan 36 buah negara di dunia. Ini, sudah tentu merupakan ancaman baru yang tidak boleh dipandang ringan. Semoga negara kita, dipayungi oleh Allah dengan rahmat perlindungan-Nya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Apapun yang berlaku, Brunei Darussalam tidak akan berpaling dari Allah. Apa jua situasi mendatang, semuanya itu akan kita hadapi dengan sabar dan dengan ikhtiar-ikhtiar biasa, lebih-lebih lagi dengan ikhtiar keugamaan.

Oleh kerana ancaman wabak dan musibah silih berganti, maka kedengaranlah beberapa badan tertentu dan juga pakar-pakar memberi amaran, tentang wujudnya kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal.

Diantara amaran itu, turut datang dari pihak Badan Dunia (PBB) yang menyebut bahawa: ”Hampir satu billion penduduk dunia, termasuk berjuta kanak-kanak dan golongan muda mengalami gangguan kesihatan mental.”

Gangguan mental boleh berlaku kerana hati tidak tenang atau takut melampau, sehingga memungkinkan pengidapnya memerlukan beberapa jenis rawatan seperti kaunseling psikoterapi dan pengambilan ubat psikotropik daripada doktor-doktor pakar mental.

Ini, baru satu ikhtiar biasa. Tetapi kita orang Islam ada ikhtiar khusus yang namanya ikhtiar keugamaan, yang sayugia jangan dilupa atau diabaikan, walaupun kiranya ikhtiar biasa telah atau sedang dilalui, tetapi ikhtiar khusus atau ikhtiar keugamaan ini diyakini lebih efektif untuk merawat gejala mental.

Mengapa kita meyakininya demikian itu? Kerana ikhtiar keugamaan itu adalah datangnya daripada Allah sendiri sebagai ‘petunjuk’. Sesungguhnya petunjuk Allah itu, semuanya adalah lurus dan benar belaka.

 Adapun petunjuk untuk merawat gejala mental itu, kita boleh temui di dalam surah Ar-Ra’d ayat 28, Allah berfirman, tafsirnya: ”Orang-orang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenang tenteram (sihat) ialah dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (sahaja) hati-hati manusia menjadi tenteram.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah disini, ialah berzikir dengan hati dan berlafaz dengan lidah. Dalam makna membanyakkan zikir dengan menyebut, seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, berdoa, berselawat dan membaca al-Qur’an. Ini semua, menurut petunjuk ayat di atas, adalah paling berkesan untuk merawat gejala mental.

Berbetulan dengan saat-saat penuh berkat ‘Idil Adha ini, maka marilah kita sama-sama memeriahkan negara, terutama dengan takbir, tasbih dan tahmid serta lain-lain lagi unsur zikir. Semoga dengan itu, semua musibah akan terdinding, dan gejala mental juga, jika ada, akan terubat.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Beta yakin, para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci pada masa ini, tidak terkecuali sibuk berzikir dan melakukan pergerakan-pergerakan menyempurnakan ibadat haji. Beta berdoa, semoga sekalian mereka hendaknya berada dalam sihat ‘afiat dan beroleh haji yang mabrur.

Akhir kalam, Beta dan keluarga Beta mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Korban kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana juga mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-76 Tahun 1443H/2022M

TITAH

 

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA HARI KEPUTERAAN

BAGINDA YANG KE-76

TAHUN 1443H/2022M

 

 

PADA

HARI JUMA’AT,

15 ZULHIJJAH 1443 BERSAMAAN 15 JULAI 2022

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

 

Alhamdullilah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala  di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk sama-sama menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-76 dalam suasana aman dan selamat.

 

Terlebih dahulu Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.

 

Walaupun kita masih diselubungi oleh kebimbangan akibat ancaman Covid-19, namun negara perlu melakar beberapa strategi pemulihan ekonomi yang mewajarkan kita dapat kembali kepada keadaan sedia kala.

 

Perkara ini dianggap perlu kerana mengambil kira Wawasan Brunei 2035 adalah semakin hampir, dimana negara mesti menggerakkan matlamatnya tanpa berlengah-lengah lagi, termasuk menitikberatkan pembangunan ekonomi.

 

Langkah Kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi negara alhamdullilah, telahpun mula menampakkan hasilnya. Sejak lima tahun kebelakangan ini, Sektor Bukan Minyak dan Gas telah berkembang secara purata, pada kadar 4 peratus setahun.

 

Sebagai contoh, Sektor Hiliran iaitu salah satu sektor utama ekonomi, telahpun menunjukkan peningkatan signifikan dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar meningkat dari BND200 juta pada tahun 2019 kepada BND 1.6 bilion pada tahun 2021. Sementara nilai eksport bagi Sektor Bukan Minyak pula, secara keseluruhan pada tahun 2021 adalah berjumlah BND 7.8 bilion, meningkat melebihi nilai eksport sektor Minyak dan Gas yang hanya berjumlah BND 6.4 bilion sahaja.

 

Bagi tahun 2022, beberapa agensi antarabangsa seperti International Monetary Fund (IMF), ASEAN+3 Marcoeconomic Research Office (AMRO) dan Asian Development Bank (ADB) masing-masing itu telah menjangkakan ekonomi Negara Brunei Darussalam berkembang pada kadar 1.8%, 4.1% dan 4.2%. Jangkaan positif ini mengambilkira potensi pertumbuhan bagi beberapa sektor perekonomian di negara ini, termasuk sektor makanan, baja dan kimia.

 

Beberapa syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDIs) yang telahpun memulakan operasinya pada tahun ini dan telah juga memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan seperti Syarikat Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad telah pun menghasilkan eksport urea sejak bulan Februari 2022. Di samping itu, FDIs juga tentu saja akan memberi peluang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

 

Beta sangat berharap, PMKS yang dipunyai dan diusahakan sendiri oleh anak-anak tempatan akan meraih peluang ini. Sebagaimana telah Beta titahkan semasa Majlis Bersempena Hari Keputeraan Beta yang ke-75 pada tahun lepas mengenai dengan kajian Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Lembaga Tabung Amanah Pekerja terhadap skim persaraan bagi menggantikan skim TAP yang ada pada masa ini. Alhamdulillah, Beta mengambil maklum bahawa pihak Tabung Amanah Pekerja telahpun mengongsikan struktur Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).

 

Menyentuh mengenai jaminan keselamatan makanan, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketegangan geopolitik serta gangguan rangkaian perbekalan telah menjejaskan perbekalan makanan dunia. Ini sepatutnya memberi petunjuk kepada kita, bahawa negara tidak boleh untuk selama-lamanya hanya bergantung kepada perbekalan daripada luar. Namun alhamdulillah, data telah menunjukkan bahawa dari tahun 2019, sektor permakanan di negara ini telah berkembang secara purata sebanyak 11.4%. Dan dari sudut eksport pula, pada tahun 2021, nilai yang direkodkan adalah sebanyak kira-kira BND 52 juta berbanding hanya BND 8 juta pada lima tahun yang lalu.

 

Bagi hubungan antarabangsa, kerjasama dan hubungan pelbagai hala yang telah dijalin dengan rakan-rakan serantau bahkan juga rakan-rakan Dialog akan terus dipelihara dan dikembang majukan. Ini penting, untuk mencapai sasaran menikmati keamanan dan keselamatan bersama.

 

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, Warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

 

Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan perayaan ini.

 

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan dan keselamatan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.