SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1447 HIJRAH
DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
HARI JUMAAT MALAM SABTU,
17HB RAMADAN 1447 BERSAMAAN 6HB MAC 2026
Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapatlah kita berkumpul memperingati peristiwa Nuzul Al-Qur’an pada malam 17 Ramadhan yang penuh berkat ini. Tema sambutan pada tahun ini, ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur’an dan Menghayati Ajarannya’, bertepatan dengan hasrat Negara untuk terus memperkasa jati diri umat Islam melalui kitab suci Al-Qur’an.
Tema ini merupakan kesinambungan daripada hasrat Paduka Ayahnda yang menekankan Al-Qur’an sebagai teras kehidupan. Sebagaimana Titah Paduka Ayahnda sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Peringkat Akhir Kebangsaan lepas:
“Al-Qur’an bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran.”
Bagi memastikan ‘manual kehidupan’ ini benar-benar dihayati, Kerajaan sentiasa memperkasa inisiatif melalui pelbagai peringkat pendidikan agama kebangsaan termasuk pencapaian serantau khususnya dalam menerbitkan Tafsir ‘Ilmi Ayat-Ayat Kauniyyat menerusi kerjasama MABIMS. Usaha seumpamanya adalah bertujuan melahirkan generasi penerus yang mahir membaca dan membesar dalam lingkungan adab serta kecintaan kepada Kalamullah.
Oleh itu, sebagai usaha bersinambung memahami isi kandungan Al-Qur’an, kita dituntut untuk mendekatinya melalui tadabbur. Pendekatan ini selaras dengan tujuan penurunan Al-Qur’an, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah Shad ( ص ), ayat 29 yang bermaksud:
“(Al-Qur’an ini ialah) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) yang mengandungi berkat, supaya mereka memikirkan dengan teliti ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal dapat mengambil pengajaran.”
Amalan Tadabbur Al-Qur’an membawa kepada penghayatan tiga konsep utama: Tilawah (iaitu, pembacaan yang betul dan bertajwid), Ta’lim (mempelajari dan memahami isi kandungannya), dan Tazkiyah (pengamalan ajaran Al-Qur’an bagi membentuk akhlak mulia serta adab dalam hubungan sesama insan).
Namun, dalam meniti arus kemodenan termasuk kemajuan teknologi digital dan pengaruh Kecerdasan Buatan (AI) kini merupakan suatu kenyataan merentasi kehidupan seharian.
Dalam hal ini, kita menjunjung tinggi Titah peringatan Paduka Ayahnda mengenainya pada Sambutan Ilal Hijrah baru-baru ini, khususnya cabaran teknologi AI yang semakin canggih sehingga boleh menyebabkan: “kesukaran kita untuk menilai dan membezakan yang mana realiti atau yang diada-adakan.”
Pada hemat saya, cabaran kepantasan maklumat dan pertembungannya menuntut kita untuk memiliki sikap yang lebih bijaksana dalam berusaha merungkai berbagai khazanah ilmu yang tersirat. Hal ini selaras dengan sabda peringatan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, mafhumnya:
“Sesiapa yang berkata tentang Al-Qur’an tanpa ilmu, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam api neraka.”
Sehubungan dengannya, perlu diingat bahawa peranan mufassir atau pentafsir Al-Qur’an merupakan satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Ianya menuntut penguasaan ilmu dan pematuhan kepada disiplin ilmu yang ketat sebagaimana digariskan dalam kitab-kitab ‘Ulum Al-Qur’an.
Dengan demikian, kita perlu menyedari bahawa teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) hanyalah sebuah wasilah atau perantara dalam mana ianya tidak memiliki ‘Basirah’ atau ‘mata hati’ di samping tidak berpaksikan kepada disiplin ilmu yang bersanad. Kemajuan teknologi ini bagaimanapun harus dimanfaatkan dengan aplikasinya berpandukan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah demi memelihara keselamatan akidah serta kesejahteraan ummah dan negara.
Justeru, kebijaksanaan kita menggunakan teknologi mestilah sentiasa diimbangi dengan kekuatan rohani dan integriti ilmu yang bersanad. Inilah benteng utama kita bagi melahirkan ugamawan serta generasi yang bukan sahaja celik digital, malah teguh imannya dalam mendepani apa jua cabaran masa kini dan mendatang.
Akhir kalam, adalah penting dan menjadi keutamaan bagi semua pihak untuk terus bekerjasama dalam menanai peranan masing-masing ke arah memperkukuh pengalaman pembelajaran, pengajian dan penghayatan Al-Qur’an melalui pendekatan tadabbur yang sahih dan mudah. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan taufiq dan kekuatan untuk kita membaca, memahami, dan mengamalkan isi kandungan Al-Qur’an dengan istiqamah serta meraih syafa’atnya dan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam rahmat serta perlindungan-Nya.
Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
***
