Sabda DPMM Di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Pengakap Tunas & Perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) 

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SELAKU KETUA PENGAKAP,
PERSEKUTUAN PENGANGKAP NEGARA BRUNEI DARUSSALAM (PPNBD)
 
DI MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-75 PENGAKAP TUNAS & PERASMIAN PUSAT LATIHAN DAN PERKHEMAHAN PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGERA BRUNEI DARUSSALAM (PPNBD)
 
BERTEMPAT
PUSAT LATIHAN DAN PERKHEMAHAN PPNBD
KG.MATA-MATA, MUKIM GADONG
 
PADA
HARI SELASA
20 ZULHIJJAH 1446 BERSAMAAN 17 JUN 2025
 
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun pada hari yang penuh bersejarah ini, iaitu Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Pengakap Tunas yang diselajurkan dengan perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap Negara
Brunei Darussalam yang baharu.

Sesungguhnya, pencapaian Sambutan Ulang Tahun ini amatlah bermakna dalam menyemarakkan lagi semangat berpengakap dalam kalangan generasi muda, bahkan juga melambangkan komitmen berterusan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dalam mendukung usaha pembangunan modal insan yang berdisiplin, berintegriti dan berjiwa kebangsaan selaras dengan aspirasi dan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Keberhasilan pencapaian Ulang Tahun Ke-75 ini, pada hemat Saya adalah berkat hasil kerjasama dan dedikasi semua pihak dalam sama-sama memperkasa pembangunan sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda melalui nilai-nilai pengakap sebagai tunjang kepada pembangunan jati diri dan semangat kesukarelawanan dalam masyarakat.

Selaku Ketua Pengakap Negara, Saya turut berasa bangga mengikuti perkembangan dan pencapaian Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam di sepanjang 75 tahun tertubuhnya pasukan Pengakap Tunas. Ianya jelas mencerminkan usaha gigih semua pihak dalam memperkasakan pergerakan pengakap sebagai wahana pembangunan sahsiah dan kepimpinan bagi barisan generasi pelapis sebagai pewaris bangsa dan negara.

Dalam hal ini, Pengakap Tunas, sebagai asas kepada perjalanan kepengakapan, memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi unggul sejak dari usia dini. Melalui aktiviti-aktiviti yang bersifat mendidik, mencabar dan membina keyakinan diri, ianya telah berjaya melahirkan ahli-ahli muda yang celik nilai, bertanggungjawab serta memiliki semangat sedia berbakti kepada masyarakat dan negara.

Dalam hubungan ini, setinggi tahniah dan syabas Saya ucapkan kepada semua pihak yang telah bekerja keras dengan berbekalkan semangat tinggi dalam usaha menubuhkan Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap (PLPP) yang akan menjadi landasan penting bagi pengembangan ilmu, kemahiran, serta jati diri Ahli-Ahli Pengakap pelbagai peringkat. Dengan beroperasi sepenuhnya PLPP, Saya menaruh keyakinan hasrat Persekutuan Pengakap untuk membangunkan pusat kecemerlangan latihan, kepimpinan dan penyatuan seluruh warga pengakap di negara ini akan dapat dicapai termasuk sumbangan langsungnya ke arah melahirkan masyarakat yang resilien.

Dalam masa yang sama, Saya turut menghargai peranan pucuk pimpinan Persekutuan Pengakap termasuk para sukarelawan serta ibu bapa yang tidak mengenal lelah dalam menyumbang bakti, tenaga, dan masa demi memastikan kejayaan dan juga kesinambungan gerakan berpengakap di negara ini.

Seiring dengan semangat “Selalu Bersedia”, Saya berkeyakinan nilai-nilai jati diri Pengakap akan dapat memacu dan menjana kejayaan dalam kehidupan seharian termasuk di luar konteks pergerakan pengakap dengan kesiagaan untuk menanai dan memikul tanggungjawab sebagai warga negara yang berjiwa patriotik, berakhlak mulia
dan berpandangan jauh.

Pada kesempatan ini, Saya juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian-Kementerian serta agensi-agensi Kerajaan, khususnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Kementerian Pendidikan di atas komitmen dan sokongan padu yang berterusan dalam bersama-sama menyumbang kepada usaha-usaha memajukan pergerakan pengakap khususnya dan juga pergerakan pasukan-pasukan kadet beruniform lainnya di negara ini.

Dalam hubungan ini, Saya juga gembira mengambil maklum bahawa sebahagian besar Pemimpin Pengakap adalah terdiri daripada kalangan guru-guru. Maka, sokongan bersepadu daripada pihak sekolah dan keseluruhan Kementerian Pendidikan adalah amat signifikan ke arah memperkukuh peranan kepimpinan pasukan Pengakap Tunas sebagai teras kepada kelangsungan keseluruhan gerakan berpengakap di peringkat kebangsaan dan global.

Seterusnya, Saya menaruh keyakinan Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap yang baharu ini, selain akan menjadi mercu tanda bagi kemajuan dan kecemerlangan kegiatan berpengakap, ianya juga akan menjadi Pusat Kecemerlangan yang lengkap dan berupaya melahirkan anggota Pengakap yang memiliki jati diri dan mengamalkan nilai-nilai teras persatuan.

Akhir kata dengan mendahulukan kalimah Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, Saya sukacita merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Pengakap Tunas, dan Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.