SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH

IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, TIMBALAN SULTAN

 

DI UPACARA PERBARISAN RAKSASA
SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN KE-64 ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI 

 

TEMPAT 

PADANG KAWAD PANGKALAN TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI MUARA

 

PADA HARI SABTU,

3HB ZULHIJJAH 1446 BERSAMAAN 31HB MEI 2025

 ​

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas limpah rahmat- Nya jua, mengizinkan kita sama-sama menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang Ke-Enam Puluh Empat dalam suasana aman, damai dan sejahtera.

Tahniah dan Syabas, Saya ucapkan di atas pencapaian usia ini dan juga di atas mutu perbarisan dan keterampilan yang sangat kemas sebentar tadi yang sekaligus mempamerkan kepahlawanan bangsa yang sejati.

Alhamdulillah, dalam usianya yang sudah semakin matang, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah banyak menunjukkan perkembangan yang amat ketara. Sebagai sebuah institusi pertahanan, keupayaan ketenteraan yang moden adalah penting, namun apa yang lebih kritikal adalah mempunyai kapasiti sumber tenaga manusia yang berkelayakan dan kompeten melalui peningkatan pembelajaran akademik dan latihan bagi membolehkan pengemaskinian dasar dan doktrin selaras dengan keperluan pertahanan negara dan keadaan semasa.

Dalam hubungan ini, sukacita Saya mengambil maklum sejak tahun 2022 kekuatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah meningkat sebanyak sebelas peratus (11%), iaitu penambahan seramai 1,130 anggota. Ini antara lain adalah hasil daripada pengemaskinian dasar pengambilan dan pengekalan anggota melalui pertambahan kapasiti latihan asas ketenteraan rekrut daripada 540 ke 960 anggota, dan kapasiti maksima 100 Pegawai Kadet setiap tahun.

Di samping itu, pengemaskinian Dasar Struktur Perkembangan Kerjaya (SPK) yang antara lain mengekalkan perkhidmatan melalui ikat janji bagi anggota-anggota yang dinaikkan pangkat dan menghadiri kursus-kursus tertentu sebagai langkah rancangan pelapis (succession planning) anggota yang mampan. Ini dapat dilihat melalui statistik tiga (3) tahun kebelakangan, dalam mana seramai 119 anggota telah melanjutkan perkhidmatan selepas 26 tahun, iaitu peningkatan sebanyak tiga belas peratus (13%) berbanding pada tahun 2022.

Saya juga gembira dengan usaha ABDB untuk meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusianya, antaranya memaksimakan pengendalian kursus dan latihan di dalam negara melalui kolaborasi dengan Universiti Brunei Darussalam bagi Pendidikan Profesional Ketenteraan, dan Institusi Pendidikan Teknikal Brunei bagi kepakaran teknikal, termasuk inisiatif mendatangkan jurulatih-jurulatih tertentu daripada negara sahabat ke arah mengoptimakan jumlah anggota yang mengikuti latihan serta penjimatan perbelanjaan negara.

Saya sukacita mengambil maklum terkini hanya segelintir kursus sahaja yang masih dihantar ke luar negara mengambil-kira keperluan prasarana khusus, ketiadaan pakar bagi kursus-kursus spesialis, serta jumlah pelatih yang kecil dalam satu masa untuk dikendalikan secara berkesan di dalam negara. Sehubungan dengannya, Saya berharap tahap profesionalisme tentera hendaklah terus dipertingkat agar dapat diiktiraf sebanding dengan kepakaran tertentu di Sektor Awam.

Dalam hal ini, Saya berpendapat Rejimen Jurutera Tentera Darat Diraja Brunei perlu mempunyai kelayakan dan kepakaran kejuruteraan yang diiktiraf untuk membolehkan ABDB melaksanakan reka bentuk, projek-projek pembinaan dan pengubahsuaian serta keperluan pelupusan selaras dengan peraturan negara, tanpa bergantung kepada kepakaran di Sektor Awam.

Ke arah itu, Saya berharap Kementerian Pertahanan, khususnya ABDB, melalui pendekatan Whole of Government akan dapat menjalinkan kerjasama dengan kementerian atau institusi berkepentingan untuk mencapai hasrat ini. Dengan meningkatnya ancaman digital daripada serangan siber dan teknologi maklumat, Saya mengambil maklum ABDB juga sedang giat mengungkayahkan pelbagai inisiatif yang menjurus kepada meningkatkan kompetensi anggota melalui kursus dan pendedahan tertentu dengan pihak-pihak yang lebih berpengalaman dari dalam dan luar negara.

Sayugia, Saya berharap kerjasama ABDB dengan agensi-agensi keselamatan siber kebangsaan, khususnya Cyber Security Brunei yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, serta kerjasama dengan Angkatan Tentera negara-negara sahabat untuk diteruskan agar keutuhan pertahanan siber negara dapat dicapai secara holistik.

Saya juga difahami Rejimen Pasukan Khas telah berjaya melahirkan seramai 28 anggota Pasukan Khas Tier 2 yang akan seterusnya menjadi perintis kepada penubuhan​​ Unit-Unit Pasukan Khas Tier 2 bagi Tentera-Tentera Darat, Laut, dan Udara Diraja Brunei mengikut kepakaran Tempur Khas Darat, Laut dan Udara masing-masing sebagai langkah kepada pembentukan Markas Operasi Khas atau Special Operations Command (SOCOM) yang bakal ditubuhkan.

Natijahnya, dengan adanya serta keberhasilan pelbagai usaha pelaburan dalam pembangunan kapasiti tenaga manusia ini, ABDB akan mampu menjamin tahap kesediaan dan kesiapsiagaan tempurnya yang tinggi pada setiap masa.

Di kesempatan ini, seperti tahun-tahun sebelumnya, Saya turut merakamkan rasa gembira dengan kehadiran Ahli-Ahli PERWIRA, iaitu Persatuan Bekas Perajurit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Saya sukacita mengiktiraf komitmen dan sumbangan PERWIRA dalam melaksanakan serta penglibatan aktifnya dalam pelbagai aktiviti kenegaraan, keagamaan dan kebajikan.

Di atas semangat, sumbangan dan pengorbanan yang berterusan ini, Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih serta berdoa semoga mereka diberikan kesihatan dan kekuatan untuk terus produktif dalam bersama-sama menabur jasa dan bakti yang bermakna kepada negara.

Buat akhirnya, Saya mengucapkan selamat menyambut dan meraikan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-64 kepada seluruh warga ABDB yang sedang berkhidmat di dalam dan luar negeri serta mereka yang telah pun bersara. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam Upacara Perbarisan pagi ini serta semua Ahli Jawatankuasa Sambutan pada tahun ini. Saya doakan agar Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua dan terus maju jaya. Aamiin Ya Rabbal ‘Aalaamiin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

***​