SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA 

PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH

IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN 

HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, 

MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS SAMBUTAN HARI PENGAKAP KE-40

 

BERTEMPAT

DEWAN SERBAGUNA, TINGKAT 5, BANGUNAN IBU PEJABAT PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGARA BRUNEI DARUSSALAM, KOMPLEKS PENGAKAP, JALAN GADONG

 

PADA HARI SABTU,

22 ZULKAEDAH 1442 BERSAMAAN 3 JULAI 2021

 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem​​​​

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Alaa Asyarafil ​​​Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya jua, dapat kita semua berhimpun dalam majlis Sambutan Hari Pengakap Negara Brunei Darussalam yang Ke-40 pada hari ini.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), kerana dalam usia Ke-88 tahun masih kekal berdiri megah, yang mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dan umur untuk menyumbangkan tenaga dibawah naungannya.

Saya juga penuh yakin, pergerakan pengakap di negara ini akan terus berperanan penting dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan ‘modal insan’ yang syumul, khasnya golongan belia, dengan menerapkan sifat kepimpinan berkualiti dengan nilai-nilai murni yang kukuh.

Ini adalah mustahak dalam mengharungi arus globalisasi yang pantas berubah serta mendorong kepada pelaksanaan perubahan dalam setiap aspek kehidupan.

Di sinilah juga betapa pentingnya pendidikan formal bagi generasi muda, untuk digandingi dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membantu dalam pembentukan peribadi dan pembangunan karakter masing-masing.

Justeru, penglibatan dalam pergerakan pengakap yang disifatkan sebagai pergerakan pendidikan informal, merupakan antara platform terbaik ke arah pembangunan keupayaan holistik yang dimaksudkan.

Sikap ‘Selalu Bersedia’ dalam konteks being prepared and staying relevant, yang diterapkan dalam diri seorang pengakap jugalah yang mendorong untuk berbakti secara berterusan. Ini telah dibuktikan melalui penglibatan mereka sebagai ‘barisan hadapan’ menangani pandemik Coronavirus di negara ini.

Pada hemat saya, kecenderungan dalam kegiatan kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh warga pengakap boleh diterjemahkan kepada tiga ciri-ciri unggul dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Pertama – Adanya tumpuan dan komitmen yang tinggi, dalam mana mereka bersedia untuk memberikan masa dan tenaga yang lebih secara konsisten, ke arah sama-sama memastikan kelangsungan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kedua – Adanya kefahaman tentang keperluan setiap yang dibantu. Ini adalah antara kunci utama kepada keberkesanan pelaksanaan tindakan-tindakan bagi meraih sepenuhnya keberhasilan yang diharapkan. Sikap ‘tidak camah mata’ dan ‘ringan tangan’ yang dizahirkan oleh para pengakap yang terlibat adalah sangat dipuji.

Akhir sekali – Sikap tangkas dan mudah mengadaptasi dengan keadaan dan persekitaran. Ini penting apatah lagi dalam situasi pandemik yang menuntut perbatasan sosial, di samping keperluan memenuhi kehendak setiap yang memerlukan, termasuklah dari sudut memelihara kesejahteraan emosi dan psikologi masing-masing.

Sebagai organisasi yang sudah matang serta dipandang tinggi oleh masyarakat, maka adalah wajar bagi PPNBD untuk terus melipatgandakan usaha, yang menjurus kepada mendukung agenda pembangunan negara khasnya Wawasan Brunei 2035.

Justeru, PPNBD perlu bijak menembusi bidang-bidang yang berkeutamaan serta berimpak tinggi, dengan sentiasa menitikberatkan inisiatif-inisiatif berkaitan pembangunan kemahiran yang berasaskan teknologi dan juga pengupayaan keusahawanan.

Dalam hubungan ini, saya menaruh harapan tinggi agar para pesuruhjaya dan pemimpin pasukan pengakap akan sentiasa menerapkan aspek life-long learning pada diri masing-masing.

Pemimpin sesebuah pergerakan semestinya sentiasa peka dengan peredaran semasa, bagi memastikan ianya sentiasa relevan dan diterima oleh seluruh masyarakat.

Apa yang utama juga ialah Titah nasihat Paduka Ayahanda pada Majlis Pembukaan Rasmi Jambori Nasional Ke-4 pada bulan Disember 2013, menekankan agar “para pengakap perlulah memelihara identiti-identiti pengakap yang baik supaya dapat menjadi contoh kepada generasi muda”.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima-penerima yang akan dianugerahkan Pingat-Pingat Pengakap, Waran-Waran Pelantikan, Sijil-sijil Penghargaan dan Anugerah Baden Powell pada kali ini.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***