SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ INSTITUT TAHFIZ AL-QUR’AN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH KALI KE-11 TAHUN 1445H / 2023M
 
BERTEMPAT
DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS (ICC)
 
PADA
SABTU, 25 MUHARAM 1445H BERSAMAAN 12 OGOS 2023M

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua mengizinkan kita berhimpun di Majlis Haflut Takharruj, Diploma A’aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-Sebelas bagi meraikan dua puluh lapan (28) graduan bagi tahun pengajian 2020 – 2023 yang akan menerima syahadah diploma masing-masing.

Setinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan kepada seluruh barisan pensyarah serta warga kerja Institut Tahfiz di atas kesungguhan, kecekalan, serta komitmen membimbing mereka ke puncak kejayaan.

Doa restu dan peranan signifikan ibu bapa dan penjaga dalam memberikan dorongan dan sokongan moral yang berterusan juga menyumbang kepada pencapaian kejayaan bernilai ini.

Nikmat kejayaan yang dikongsi bersama ini adalah sumber inspirasi untuk seterusnya meraih kejayaan yang lebih besar.

Peluang adalah terbuka luas untuk para graduan melengkapkan diri dengan menambah pengetahuan dan kemahiran baharu menjurus kepada meningkatkan peluang kerjaya dengan memenuhi set kemahiran relevan seiring dengan permintaan pasaran kerja.

Sesungguhnya saya juga menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang usianya kini genap tiga dekad pada menepati matlamat dan hasrat murni Paduka Ayahanda bagi seterusnya melahirkan barisan profesional yang hafaz Al-Qur’an seiring dengan perkembangan dan tuntutan pembangunan negara yang holistik.

Namun demikian, perkembangan dan pencapaian akademik para pelajarnya tidak semata-mata tertumpu kepada bidang hafazan Al-Qur’an, malahan juga keberhasilan Institut Tahfiz membangunkan asas yang kukuh kepada lepasannya untuk menentukan hala tuju masing-masing di kedua-dua bidang akademik dan pekerjaan.

Perkara ini terbukti dengan kejayaan lepasan Institut Tahfiz dalam pengajian masing-masing di samping berkeupayaan dan memiliki daya-saing menceburi berbagai bidang kerjaya tertentu seperti kewangan, kedoktoran, kejuruterbangan, kejuruteraan, ketenteraan dan keusahawanan dalam bersama-sama menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

Saya juga gembira difahamkan Program Diploma A’aliyah Qiraat yang kini mencapai tahun ketiga belas (13) telah berjaya mengeluarkan seramai 221 graduan dalam mana seramai 11 orang kini berkhidmat di Institut Tahfiz sebagai guru hafazan Al-Qur’an, Pegawai Ugama dan Pegawai Pelajaran manakala 90 lepasan sedang mengikuti pengajian yang lebih tinggi di dalam dan luar negara.

Di dalam mendepani berbagai cabaran zaman, Institut Tahfiz, dan khususnya pengisian Program Diploma A’aliyah Qiraat perlu memperluaskan lagi peranan dan siap-siaga untuk sentiasa proaktif melihat ruang dan peluang dalam bersama-sama menyebarluaskan pengajian Al-Qur’an Al-Karim sebagai sebahagian amalan mulia kehidupan masyarakat Brunei yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja dan pendekatan sebuah Negara Zikir.

Sayugia, pada hemat saya inisiatif tertentu yang menjurus kepada usaha-usaha berkolaborasi bagi memperkasakan pengajian Al-Qur’an melalui media sosial, seperti kaedah hafazan dan tadabbur ayat-ayat pilihan secara tersusun akan dapat menarik minat setiap peringkat umur selaras dengan perkembangan dan akses kepada teknologi infokomunikasi semasa.

Ke arah itu, saya juga melihat kewujudan Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sebagai sebuah institusi pengajian Al-Qur’an dan hafazan yang ulung, ianya hendaklah juga sentiasa bersedia mengorak langkah ke hadapan dengan memperkukuh keupayaan untuk menjalankan kajian dan penyelarasan kaedah meningkatkan hafazan Al-Qur’an yang sesuai dimanfaatkan dengan demografi negara ini.

Kejayaannya adalah juga menjurus kepada meraih keberkatan Al-Qur’an dan rahmatNya sepertimana mafhum Surah Al-Israa’ ayat 82:

“Dan Kami turunkan daripada Al-Qur’an itu penawar (bagi penyakit-penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Syarat tunggal untuk kita dapat memperolehi penawar dan rahmat tersebut tidak lain adalah iman yang teguh sepertimana intipati Titah Paduka Ayahanda pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an 1436 Hijrah. Pembentukan iman yang kukuh adalah merupakan perkara terpenting daripada keberhasilan amalan-amalan masyarakat yang sentiasa berdamping dengan Al-Qur’an melalui membaca, menghafaz dan mengimani pengajarannya.

Ciri orang yang beriman adalah dalam makna, percaya dan mematuhi dengan sepenuh hati akan segala suruhan dan tegahan Allah tanpa sebarang keraguan atau bantahan. Dengannya insya Allah, Al-Qur’an yang kita baca atau hafaz akan menjadi penawar dan rahmat kepada kita.

Pada kesempatan ini, Saya sukacita menyeru kepada para graduan dan pelajar termasuk lepasan Institut Tahfiz untuk sentiasa memelihara hafazan Al-Qur’an dan menghayati apa jua isi kandungannya yang berbentuk pengajaran dan teladan sepertimana hasrat Paduka Ayahanda, iaitu pembinaan iman yang kukuh menjurus kepada melahirkan masyarakat yang beriman dan bertakwa.

Kita sedia mengetahui bahawa para penghafaz Al-Qur’an mempunyai kelebihan di sisi Allah seperti mafhum hadis Riwayat Ibnu Majah mengenai sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia.” Lalu sahabat bertanya: “Siapakah mereka Ya Rasulullah?”

Jawab Baginda: “Mereka adalah Ahli Al-Qur’an, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang- orang pilihannya.”

Semoga kita semua mendapat syafaat “Ahlul Quran” dengan adanya ahli-ahli Allah, iaitu para penghafaz Al-Qur’an khususnya di bumi Darussalam yang kita cintai.

Saya sekali lagi mengucapkan Alfu Mubarak dan tahniah kepada para graduan yang berjaya serta ibu bapa, penjaga dan keluarga masing-masing. Sebagai aset penting yang menjadi penggerak kepada pelaksanaan berbagai rancangan dan agenda pembangunan negara, para graduan ditekankan untuk sentiasa menerapkan nilai-nilai murni sesuai dengan sahsiah “Hamma-latul Quran”.

Harapan besar kita adalah untuk berjaya menanamkan sikap positif dan berdaya maju dalam diri setiap pelajar seiring dengan aspirasi bangsa, masyarakat dan negara.

Buat akhirnya, Saya juga sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli Jawatankuasa dan pihak-pihak yang terlibat menjayakan majlis pada hari ini.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan ganjaran-Nya yang berupa rahmat, syafaat dan pahala berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

 

***