SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BERTEMPAT
DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
PADA
1443 HIJRAH / 2022 MASIHI
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat berhimpun di Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada malam ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan keberkatan di atas kehadiran kita semua di Majlis berkebajikan ini yang juga merupakan syiar dan dorongan kea rah bersama-sama meraih manfaat dan syafaat yang dibaca para qari dan qari’ah serta menghayati maknanya.
Alhamdulillah, dalam usia musabaqah kebangsaan mencapai 63 tahun, sudah setentunya ramai qari dan qari’ah tempatan yang telah dilahirkan di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dalam mana nama negara juga telah mendapat tempat di persada bidang Tarannum Al-Qur’an.
Tarannum sebagai salah satu bidang kemahiran yang sudah matang serta pesat berkembang di seluruh jagat dengan generasi demi generasi bersilih melangkah aktif ke hadapan untuk terus mendalaminya menerusi berbagai variasi penyampaian dan kemahiran. Laluan bagi meningkatkan kemahirannya akan semakin mencabar ke arah memelihara serta mengekalkan keaslian dan hukum-hakamnya.
Di samping usaha berterusan pihak kerajaan dalam memperkasa kemahiran dalam bidang Tarannum Al-Qur’an, qari dan qari’ah muda juga seharusnya berusaha mempertingkatkan kemahiran dengan rajin berguru. Manakala tenaga pengajar pula hendaklah terus berusaha membekalkan kemahiran dengan mendalami kaedah-kaedah tarannum yang sentiasa dikemas kini seiring dengan keperluan untuk melahirkan generasi qari dan qari’ah yang berpotensi dan berkaliber.
Mengambil sukut tema Musabaqah, iaitu “Bertemankan Al-Qur’an Sepanjang Zaman”, menanamkan minat serta melestarikan budaya yang mencintai seni pembacaan Al-Qur’an secara bertarannum amatlah bersesuaian untuk diserapkan seawal usia khususnya di kalangan pelajar dan belia. Keberhasilannya adalah sebagai wadah untuk mengukuhkan pembangunan generasi yang menjadikan kitab suci Al-Qur’an sebagai teman sejati duniawi dan ukhrawi.
Al-Qur’an diturunkan sebagai penasihat, penawar dan petunjuk hidayah bagi seluruh umat manusia seperti mafhum Surah Yunus, ayat 57:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”.
Kecanggihan Teknologi dan kepesatan prasarana semata-mata bukan sekadar pengukur kemodenan dan tahap kemajuan sesebuah negara khasnya dalam kepesatan era globalisasi masa kini. Sebaliknya, acuan kemajuan perlu seiring dengan pembangunan insan yang sentiasa taat dan patuh menghayati nilai agama. Kemajuan tanpa akhlak akan akhirnya membawa kepincangan. Sejarah kegemilangan tamadun Islam adalah terbina atas keutuhan nilai akhlak dan iman yang ditunjangi dengan sempurna sebagaimana acuan keperibadian serta kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Dalam hubungan ini, Paduka Ayahanda pada Sambutan Awal Tahun Hijrah 1444 baru-baru ini menyeru kita untuk bersama-sama mengotakan azam menjadikan “niat baik kerana Allah” sebagai pasak dalam semua tindak-tanduk dan amal salih kita yang semata-mata untuk kebaikan semua:
“Kalau kita membangun, membangun itu kita niatkan kerana Allah untuk kesejahteraan rakyat. Kalau kita menjana ekonomi, menjana ekonomi itu kita niatkan kerana Allah untuk kemakmuran negara. Kalau kita menjalankan undang-undang, menjalankan undang-undang itu kita niatkan kerana Allah untuk menegakkan keadilan. Kalau kita memperkasa pertahanan, memperkasa pertahanan itu niatkan kerana Allah untuk keselamatan. Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kita yang demikian itu, semua pekerjaan atau usaha kita yang berkebajikan akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Al-Qur’an adalah mukjizat agung dalam merawat kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup sebagai utap kepada ummah dalam mendepani berbagai cabaran sepanjang zaman. Justeru, amalan dan budaya memartabatkan Al-Qur’an dengan niat baik adalah tuntutan untuk meraih berkah dan rahmah Allah Azza Wa Jalla. Semakin kerap kita berinteraksi dengan Al-Qur’an maka semakin berkah waktu yang kita miliki.
Dengan demikian, peri mustahaknya penghayatan nilai Al-Qur’an untuk diterjemahkan menerusi pengisian rutin kehidupan dalam mana rumah adalah institusi tarbiah terawal dalam membentuk sahsiah dan mendidik generasi Al-Qur’an. Golongan pelajar dan belia adalah tunas bangsa yang akan seterusnya mengambil peranan yang lebih besar sebagai aset dan peneraju pembangunan negara serta pewaris bangsa yang akan terus menegakkan syiar Islam di bumi Darussalam yang kita cintai.
Pada hemat Saya, di sinilah keperluannya bagi pihak yang berkenaan untuk memanfaatkan berbagai perkembangan berkaitan yang menjurus kepada meningkatkan minat serta memperluas akses kepada masyarakat untuk mengikuti program pengajian tertentu yang bersinambung dengan usaha untuk memartabat Al-Qur’an dan syiar di negara ini.
Dalam hubungan itu, adalah bersesuaian bagi pihak yang berkepentingan untuk seterusnya meraih manfaat kecanggihan platform infokomunikasi khasnya di dalam bidang pembelajaran online sebagai peluang tambahan mendekatkan masyarakat untuk mendalami nilai-nilai akhlak yang tersirat menerusi program-program tarbiah dan pengajian Al-Qur’an termasuk As-Sunnah ke arah melahirkan generasi Al-Qur’an yang menghayati sepenuhnya nilai-nilai murni Islam.
Akhirnya, dengan melafazkan kalimah berkat ‘Bismillah Hir Rahman Nir Rahim’, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1443 Hijrah.
Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
***
