TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA
UPACARA PERBARISAN TAMAT
LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI
NEGARA PENGAMBILAN KE TIGA BELAS
HARI ISNIN
18 SYA’ABAN 1446H / 17 FEBRUARI 2025M
KEM LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI
NEGARA, KAMPONG BATU APOI,
DAERAH TEMBURONG
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Segala puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita sama-sama hadir bagi menyaksikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-13 pada pagi yang permai ini.
Terlebih dahulu Beta dengan besar hati ingin mengucapkan syabas kepada seramai 367 orang Pelatih PKBN Pengambilan Ke-13 di atas persembahan perbarisan yang kemas dan bersemangat sebentar tadi.
Seperti pengambilan-pengambilan PKBN sebelumnya, pencapaian latihan PKBN terus-menerus menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri dengan mengekalkan Calak Kebruneian dalam melahirkan generasi Belia Brunei yang siap siaga selaku pemacu pembangunan negara.
Melalui program ini, para pelatih diharapkan akan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian dengan mengamalkan apa yang telah mereka pelajari.
Beta mengambil maklum bahawa dalam PKBN Pengambilan Ke-13 ini, PKBN sekali lagi melakar sejarah dengan kesemua para Pelatih berjaya menamatkan latihan PKBN dengan baik, selamat dan sempurna.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian ini ialah penerapan Program ‘Pre-Conditioning and Injury Management’ pada dua (2) minggu pertama latihan dijalankan sebagai nilai tambah kepada para Pelatih PKBN. Melalui inisiatif ini, ianya telah dapat memastikan para Pelatih mempunyai daya tahan kecergasan fizikal, mental dan rohani dalam menempuh cabaran latihan PKBN ini.
Beta mengambil maklum semasa Pengambilan PKBN Ke-13 ini, beberapa modul latihan baharu telah diperkenalkan iaitu program keugamaan dan kerohanian serta khidmat komuniti Kepimpinan Islam, Sejarah dan Tamadun Islam, Kesihatan Mental dari Perspektif Islam dan program pemedulian golongan-golongan sasaran.
Penambahan ini bertujuan untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan, kesedaran serta keprihatinan para Pelatih terhadap isu-isu penting dan kontemporari bagi mempersiapkan mereka dalam mengharungi cabaran-cabaran terkini dan akan datang. Beta percaya dengan evolusi serta transformasi PKBN ini akan dapat menghasilkan lebih ramai lagi belia yang berintegriti, berdisiplin, bertanggungjawab dan berdaya tahan.
Beta melihat, sudah tiba masanya untuk latihan PKBN ini diteliti semula akan tempoh latihannya, kiranya dapat dilaratkan kepada 6 bulan. Penambahan tempoh ini akan memberikan jangka masa latihan yang lebih kondusif dan mencukupi bagi mencapai matlamat utama latihan PKBN. Ianya juga akan memperluas ruang untuk para Pelatih menjalani latihan yang lebih efektif, komprehensif dan teratur. Di samping itu, mereka juga akan dapat menyesuaikan diri dengan kadar intensiti latihan secara berperingkat.
Beta sangat berharap supaya agensi-agensi yang berkepentingan sama ada Sektor Kerajaan, Swasta dan Badan Persatuan Bukan Kerajaan (NGOs) akan dapat memberikan sokongan dan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan serta merealisasikan perancangan ini.
Di kesempatan ini, Beta sukacita turut mengambil maklum bahawa buat julung kalinya seramai 15 orang Alumni PKBN telah kembali untuk menyumbangkan khidmat mereka semula sebagai Jurulatih yang diiktiraf di dalam bidang kemahiran kawad dan kemahiran latihan jasmani melalui Program ‘Train-the-Trainers’. Program ini jelas sekali mampu untuk memperkasa kemahiran (up-skilling) para alumni PKBN dalam membantu mengendalikan serta melaksanakan program-program di bawah Bahagian Khidmat Bakti Negara. Pada masa yang sama, ianya merupakan satu inisiatif untuk membuka peluang pekerjaan dan seterusnya menjadi rancangan penggantian (succession planning) dalam jangka masa panjang BKBN. Beta berharap program ini akan dapat diteruskan dengan lebih ramai penyertaan daripada alumni PKBN lainnya.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para Pelatih PKBN Pengambilan Ke-13 atas pengorbanan, ketekunan dan dedikasi mengharungi liku-liku cabaran latihan dengan jayanya.
Tidak lupa juga diucapkan ribuan terima kasih kepada para Ibubapa dan Penjaga serta ahli-ahli keluarga para Pelatih di atas suntikan semangat, bimbingan dan sokongan padu mereka yang berterusan.
Semoga para Pelatih dan semua yang terlibat dalam melaksanakan program ini akan memperolehi berkat, hidayah dan sentiasa di dalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
