TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

 

DI MAJLIS BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT BERSERTA RAKYAT DAN

PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI MALAYSIA DAN SINGAPURA​

 

PADA:

4 OGOS 2023

 

TEMPAT:

GRAND HYATT KUALA LUMPUR, MALAYSIA

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur, kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga di Malaysia dan Singapura.

Majlis seumpama ini telah memberikan peluang kepada Beta untuk bertemu secara lebih dekat dengan rakyat Beta, khususnya para pelajar yang sedang menuntut di sini.

Alhamdulillah, keramaian pelajar Negara Brunei Darussalam yang belajar di peringkat pengajian tinggi sama ada di dalam atau di luar negeri termasuk Malaysia dan Singapura, adalah terus menunjukkan peningkatan yang baik. Ini memberikan satu interpretasi yang positif dimana budaya belajar dan menuntut ilmu semakin menjadi pilihan. Inilah budaya yang akan kita pupuk dan kembangkan terus menerus tanpa titik noktahnya.

Kearah kesempurnaan budaya ini, Beta yakin para pelajar telah sedia memiliki iltizam, dedikasi dan tekad yang tinggi untuk mencapainya, terutama bagi para pelajar yang telah memilih untuk belajar di luar negara.

Belajar di luar negara memberikan peluang sangat bererti kepada para pelajar untuk bersaing dengan golongan pelajar dari persekitaran yang berbeza. Bersaing dalam lingkungan yang berbeza ini boleh menjadi cabaran terbaik bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, kreatif dan progresif, yang mampu untuk menangkis segala kejutan budaya perosak.

Inilah misi dan visi yang betul untuk dipegang oleh para pelajar.

Beta ingin mengingatkan, dalam keghairahan budaya melayari Internet dan penggunaan pelbagai aplikasi teknologi maklumat, para pelajar hendaklah sentiasa waspada dan berhati-hati supaya tidak semudah mana mengongsikan maklumat peribadi kepada sebarang pihak, bagi mengelakkan terjebak kepada ancaman atau jenayah cyber.

Selain itu, Beta juga ingin mengingatkan kepada para pelajar, selaku duta kecil, supaya terus konsisten mengamalkan nilai-nilai Kebruneian yang dimiliki. Jadilah contoh yang baik dengan mengekalkan dan menonjolkan nilai-nilai yang terpuji orang-orang Brunei.

Selain merebut peluang pembelajaran, Beta juga mahu supaya para pelajar menjadi tenaga kerja yang bukan sahaja berpendidikan dan berkemahiran tinggi, tetapi juga mampu untuk menyumbangkan jasa bakti kepada negara, ugama, Raja dan bangsa. Inilah matlamat luhur lagi tertinggi untuk dicapai oleh semua para pelajar.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa dalam keadaan baik-baik sahaja, beroleh perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.