TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS MUSABAQAH
MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 1445 HIJRAH / 2024 MASIHI
PADA HARI KHAMIS MALAM JUMA’AT
15 ZULKAEDAH 1445 / 23 MEI 2024
BERTEMPAT
DEWAN PLENARI,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur hanya kepada Allah Subhanahu Wata’ala jua, yang telah menurunkan Kitab Suci Al-Qur’an untuk jadi pedoman hidup kita.
Tema Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1445 Hijrah kali ini, ialah “Al-Qur’an Pedomanku”.
Tema ini dipilih betul-betul merujuk kepada fungsi Al-Qur’an itu sendiri sebagai suluh atau pedoman hidup kita di dunia dan di akhirat.
Al-Qur’an tidak pernah salah dalam memberikan petunjuk dan pedoman kepada kita, kerana ia adalah “Kalamullah”, firman Allah yang semata-mata benar.
Kerana itu sangat beruntunglah bangsa yang komited dengan Al-Qur’an yang membangun dirinya dan negaranya dengan Al-Qur’an, dalam makna, semua rancangan dan kerja-kerja pembangunan itu dipandu oleh Al-Qur’an.
Contoh membangun diri dengan Al-Qur’an ialah belajar membaca, menghafaz dan mengikut ajaran-ajarannya.
Di Brunei alhamdulillah, perkara ini sudah dan sedang berlaku menjadi trend yang digemari oleh semua. Memang menjadi dasar Kerajaan Beta menjadikan Al-Qur’an untuk dibaca dan ditadabbur ayat-ayatnya untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Al-Qur’an tidak syak lagi adalah sumber keberkatan dan kekuatan yang tidak ada tolok bandingnya. Sebab itu Negara Brunei Darussalam tidak boleh berenggang dari Al-Qur’an. Lalu untuk itu, dalam pendidikan pun, mata pelajaran Al-Qur’an dimartabatkan menjadi mata pelajaran wajib.
Keberkatan dan kekuatan Al-Qur’an meliputi semua aspek, termasuk aspek keselamatan dan kesihatan. Tidakkah kita melihat contoh sebagai bukti, bahawa do’a Nabi Allah Yunus ‘Alaihissalam yang terakam dalam Al-Qur’an, telah menyelamatkan Nabi tersebut daripada terus terperangkap di dalam perut ikan?
Begitu juga dalam aspek kesihatan, Allah sendiri telah menjelaskan perkara ini dalam surah Al-Isra’ ayat 82 yang tafsirnya: “Dan Kami menurunkan dari Al-Qur’an itu penawar (bagi penyakit-penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman…”
Menyebut mengenai penyakit rohani, teringat kita kepada isu gejala mental yang sedang rancak diperkatakan akhir-akhir ini. Rasa-rasanya, pihak berkenaan di negara ini patut sensitif untuk melihat bagaimana cara merawat atau menangani gejala ini dengan Al-Qur’an. Beta yakin, cara itu tentu sahaja ada menurut Al-Qur’an.
Inilah namanya kita berpandu kepada Al-Qur’an, dengan memanfa’atkan segala ajarannya bagi mengatasi apa jua masalah yang berkaitan.
Akhirnya, marilah kita sama-sama menghayati Al-Qur’an dengan konsisten membaca dan mengamalkan petunjuk serta ajaran-ajarannya. Dengan yang demikian itu insya Allah, kita dan negara akan beroleh rahmat berupa keselamatan, keamanan dan kemakmuran, berkat dari Al-Qur’an.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
