TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERSEMPENA
AWAL TAHUN BARU HIJRAH 1441
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Awal Tahun Hijrah menjelang lagi. Kita bersyukur menyambut kedatangannya. Tidak syak lagi, ini adalah rahmat daripada Allah untuk kita dapat memuhasabah diri menjelang Tahun Baru Hijrah ini. 
Muhasabah diri antara lain bererti, memeriksa balik apa-apa kekurangan yang telah kita lakukan selaku hamba Allah. 
Kita manusia memang mempunyai banyak kekurangan, diantaranya termasuk, kurang mengenal diri sendiri, sedangkan mengenali diri itu mempunyai kepentingan yang sangat besar, sehingga disifatkan, barangsiapa yang mengenali dirinya, nescaya dia mengenali Tuhannya. 
Kita selaku hamba Allah, dituntut untuk muhasabah, samada kita telah menyempurnakan kewajipan atau tanggungjawab, terutama kewajipan menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak kita sesama manusia. 
Adapun hak Allah itu ialah menyembah-Nya, melalui ibadat-ibadat fardhu ‘ain, seperti menyempurnakan Rukun Islam yang lima, termasuk melakukan segala amal saleh dan meninggalkan semua larangan-Nya. 
Semua ini adalah hak Allah Ta’ala, yang mustahak dikenalpasti, samaada kita sudah melaksanakannya atau bagaimana?
Inilah gunanya konsep muhasabah itu. Tanpa memperdulikannya, kita tidak akan tahu apa kekurangan atau kelebihan yang telah kita buat. 
Begitulah juga untuk mengetahui berkenaan dengan hak-hak kita sesama manusia. 
Kalau kita ibu bapa, apakah hak  anak-anak yang telah kita sempurnakan, seperti hak pendidikan terhadap mereka? Begitu juga, kalau kita suami atau isteri, apakah hak suami atau isteri yang telah masing-masing sempurnakan? Dan kalau kita anak pula, apakah hak ibu bapa yang telah kita tunaikan? 
Demikian itulah seumumnya, kalau kita majikan atau pekerja, apakah masing-masing itu telah menunaikan hak masing-masing secara timbal balik?
Beta melihat, kehadiran Awal Muharram, Tahun Baru ini, adalah amat sesuai untuk semua kita melakukan muhasabah diri, sebagai langkah memperbaiki keadaan masing-masing, khusus dalam hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. 
Jika setelah muhasabah itu, kita mendapati keadaan bagus, maka kita akan mempertahankan ia, dan malah berazam untuk mencapai yang lebih bagus lagi. Sementara jika sebaliknya, apa yang didapati hasil daripada muhasabah itu, terdapat sesuatu yang tidak bagus atau banyak buruknya, maka pada ketika itulah kita wajar memakai konsep hijrah, iaitu berpindah daripada keburukan kepada kebaikan. 
Kita mesti berhijrah. Jangan tahan-tahan memerap diri dalam keburukan, tetapi wajib berhijrah, meninggalkan jauh-jauh keburukan dengan menghampiri kebaikan. 
Ini jika dilakukan, insya Allah, kita akan diberi pahala hijrah, kerana tindakan kita itu adalah benar-benar tindakan berhijrah daripada ‘destinasi dosa’ kepada ‘destinasi pahala’, demi semata-mata kerana menagih redha Allah. 
Beta beranggapan, dengan memahami pendekatan seperti ini, kita akan sentiasa teringat bahkan terdurung untuk memperbaiki segala kelemahan atau membersihkan segala kesalahan dengan semangat hijrah. 
Marilah kita sama-sama mengambil manfa’at daripada pengajaran hijrah itu, yang tidak lapok dik hujan dan tidak lekang dik panas, malah tetap relevan serta berguna untuk sepanjang zaman. 
Akhir kalam, Beta dan sekalian ahli keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1441 kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.