TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG KE-76
TAHUN 1443H/2022M
PADA
HARI JUMA’AT,
15 ZULHIJJAH 1443 BERSAMAAN 15 JULAI 2022
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdullilah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk sama-sama menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-76 dalam suasana aman dan selamat.
Terlebih dahulu Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.
Walaupun kita masih diselubungi oleh kebimbangan akibat ancaman Covid-19, namun negara perlu melakar beberapa strategi pemulihan ekonomi yang mewajarkan kita dapat kembali kepada keadaan sedia kala.
Perkara ini dianggap perlu kerana mengambil kira Wawasan Brunei 2035 adalah semakin hampir, dimana negara mesti menggerakkan matlamatnya tanpa berlengah-lengah lagi, termasuk menitikberatkan pembangunan ekonomi.
Langkah Kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi negara alhamdullilah, telahpun mula menampakkan hasilnya. Sejak lima tahun kebelakangan ini, Sektor Bukan Minyak dan Gas telah berkembang secara purata, pada kadar 4 peratus setahun.
Sebagai contoh, Sektor Hiliran iaitu salah satu sektor utama ekonomi, telahpun menunjukkan peningkatan signifikan dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar meningkat dari BND200 juta pada tahun 2019 kepada BND 1.6 bilion pada tahun 2021. Sementara nilai eksport bagi Sektor Bukan Minyak pula, secara keseluruhan pada tahun 2021 adalah berjumlah BND 7.8 bilion, meningkat melebihi nilai eksport sektor Minyak dan Gas yang hanya berjumlah BND 6.4 bilion sahaja.
Bagi tahun 2022, beberapa agensi antarabangsa seperti International Monetary Fund (IMF), ASEAN+3 Marcoeconomic Research Office (AMRO) dan Asian Development Bank (ADB) masing-masing itu telah menjangkakan ekonomi Negara Brunei Darussalam berkembang pada kadar 1.8%, 4.1% dan 4.2%. Jangkaan positif ini mengambilkira potensi pertumbuhan bagi beberapa sektor perekonomian di negara ini, termasuk sektor makanan, baja dan kimia.
Beberapa syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDIs) yang telahpun memulakan operasinya pada tahun ini dan telah juga memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan seperti Syarikat Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad telah pun menghasilkan eksport urea sejak bulan Februari 2022. Di samping itu, FDIs juga tentu saja akan memberi peluang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Beta sangat berharap, PMKS yang dipunyai dan diusahakan sendiri oleh anak-anak tempatan akan meraih peluang ini. Sebagaimana telah Beta titahkan semasa Majlis Bersempena Hari Keputeraan Beta yang ke-75 pada tahun lepas mengenai dengan kajian Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Lembaga Tabung Amanah Pekerja terhadap skim persaraan bagi menggantikan skim TAP yang ada pada masa ini. Alhamdulillah, Beta mengambil maklum bahawa pihak Tabung Amanah Pekerja telahpun mengongsikan struktur Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).
Menyentuh mengenai jaminan keselamatan makanan, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketegangan geopolitik serta gangguan rangkaian perbekalan telah menjejaskan perbekalan makanan dunia. Ini sepatutnya memberi petunjuk kepada kita, bahawa negara tidak boleh untuk selama-lamanya hanya bergantung kepada perbekalan daripada luar. Namun alhamdulillah, data telah menunjukkan bahawa dari tahun 2019, sektor permakanan di negara ini telah berkembang secara purata sebanyak 11.4%. Dan dari sudut eksport pula, pada tahun 2021, nilai yang direkodkan adalah sebanyak kira-kira BND 52 juta berbanding hanya BND 8 juta pada lima tahun yang lalu.
Bagi hubungan antarabangsa, kerjasama dan hubungan pelbagai hala yang telah dijalin dengan rakan-rakan serantau bahkan juga rakan-rakan Dialog akan terus dipelihara dan dikembang majukan. Ini penting, untuk mencapai sasaran menikmati keamanan dan keselamatan bersama.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, Warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.
Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan perayaan ini.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan dan keselamatan. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
