TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI KEPUTERAAN 
BAGINDA YANG KE-75 TAHUN
1442H/2021M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan sambutan Hari Keputeraan Beta berlangsung dalam suasana aman dan selamat. 
Beta tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.
Semua kita sedia maklum, bahawa dunia masih sahaja berhadapan dengan wabak koronavirus, yang memberi impak negatif kepada ekonomi dunia, dengan isu-isu sosial juga terus meningkat, seperti pengangguran, konflik politik dan lain-lain. Kita mesti melihat situasi ini sebagai iktibar, untuk kita dapat bergerak kehadapan dengan lebih waspada. 
Sekalipun dunia mengalami kejutan, namun pada tahun 2020 Negara Brunei Darussalam adalah yang termasuk salah satu dari tiga (3) Ekonomi ASEAN yang berkembang sebanyak satu perpuluhan dua peratus (1.2%). Sementara International Monetary Fund (IMF) melalui terbitan World Economic Outlook pada bulan April lalu, telah mengunjurkan bahawa ekonomi negara dijangka akan meningkat sebanyak satu perpuluhan enam peratus (1.6%) pada tahun ini, dan lebih daripada dua peratus (2%) pada tahun-tahun akan datang. 
Bagi merangsang inovasi dan sosio-ekonomi negara, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (Council for Research and Advancement in Technology and Science – CREATES) di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi menggantikan Majlis Penyelidikan Brunei dan Jawatankuasa Kerja Kebangsaan Sains dan Teknologi sebagai langkah memacu aktiviti penyelidikan dan perkembangan (research and development) dalam bidang Sains dan Teknologi di negara ini. 
Ke arah menerapkan penggunaan teknologi dalam Perkhidmatan Awam dan Perkhidmatan Kewangan, Beta telah memperkenankan Projek Usahasama diantara Jabatan Perdana Menteri dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi. 
Sebagai untuk memastikan kesejahteraan warga Perkhidmatan Awam di negara ini dipeduli, maka Beta juga telah memperkenankan bagi Warganegara Brunei Darussalam dalam perkhidmatan Gaji Hari  dan Open Vote yang memenuhi syarat, untuk diserapkan ke dalam perkhidmatan tetap secara berperingkat-peringkat. 
Sementara bagi Warga Perkhidmatan Awam yang bukan perkhidmatan berpencen pula, Beta telah memperkenankan untuk dibuat satu kajian oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) bagi tujuan untuk menjamin ahli-ahlinya apabila bersara nanti. Kajian tersebut sudahpun di peringkat akhir dan insya Allah Kerajaan Beta akan mengumumkan perlaksanaannya dalam masa terdekat. 
Sehubungan itu, bagi kesejahteraan rakat dan penduduk seumumnya pula, Beta telah memperkenankan Perintah Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya, (Pindaan) 2021 dan Perintah Orang Kurang Upaya, 2021 yang akan berkuatkuasa pada 1 haribulan Oktober 2021.
Dengan pindaan ini, Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya hanya akan diberikan kepada Rakyat dan Penduduk Tetap yang tidak mempunyai kewarganegaraan lain. 
Dengan pindaan ini juga akan memperkasa pencarian pekerjaan di samping memperkenalkan Elaun Penyedia Penjagaan (Care Provider Allowance)  berjumlah $250.00 sebulan bagi penerima elaun kurang upaya di bawah garispandu. Selain itu, orang kelainan upaya juga akan berhak menerima elaun kurang upaya disamping pencen umur tua apabila mencapai umur 60 tahun. 
Pindaan Perintah Orang Kurang Upaya, 2021 juga akan mengandungi undang-undang khusus, untuk melindungi golongan ini dari penderaan dan pengabaian. 
Mengenai usaha Kerajaan Beta bagi memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan pula, Manpower Planning and Employment Council melalui JobCentre Brunei (JCB) telah memperkenalkan Study in Professional Institution atau SPIN untuk melengkapkan tenaga-tenaga kerja dengan kemahiran tertentu, disamping secara aktif melaksanakan aktiviti-aktiviti jerayawara untuk membantu pencari-pencari kerja tempatan. Beta sering menekankan, supaya pencari-pencari kerja memanfaatkan peluang-peluang pekerjaan yang diberikan oleh Sektor Swasta dan Awam. 
Sedikit mengenai peringkat serantau dan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus meningkatkan hubungan rapat dengan negara-negara sahabat bagi sama-sama meraih manfaat, khasnya manfaat di bidang diplomasi dan ekonomi. Kestabilan di rantau ASEAN, Asia-Pasifik bahkan diperingkat global adalah sangat mustahak untuk dikekalkan melalui perundingan-perundingan, persefahaman dan kerjasama berteraskan keamanan. 
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta. 
Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan Perayaan ini. 
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan dan keselamatan. Amin. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.