KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERADA DI MALAYSIA
GRAND HYATT, KUALA LUMPUR
MALAYSIA
PADA HARI SELASA
5 MAC 2019
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta pada hari ini bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutama para pelajar dan pegawai Kerajaan yang sedang bertugas, termasuk juga mereka, yang kebetulan sedang bercuti bersama keluarga di sini.
Majlis ini memberikan peluang kepada Beta untuk lebih mendekati lagi para penduduk dan rakyat Beta serta para pelajar yang sedang menuntut di sini.
Alhamdulillah, kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan Negara yang ke-35 dengan tema “Menjayakan Wawasan Negara”. Tema ini wajar untuk mendapat perhatian kita semua, memandangkan jangka masa Wawasan Negara 2035 adalah semakin dekat. Semua pihak adalah dikehendaki untuk melipat gandakan lagi usaha ke arah merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan tersebut.
Para belia termasuk pelajar, sama ada mereka yang menuntut di dalam mahupun di luar negara, adalah memainkan peranan yang sama penting untuk menjayakan wawasan negara. Ini kerana, para belia dan pelajar adalah penggerak utama strategi dan inisiatif dalam tempoh 16 tahun mendatang.
Contoh keunggulan dari tenaga muda ialah, apabila mengetahui bahawa dari seramai 67 orang pelajar di bawah Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan yang telah tamat pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia setakat ini, seramai 12 orang pelajar iaitu 17.4% telah mendapat Kepujian Kelas Pertama manakala seramai 44 orang lagi iaitu 65.7% telah tamat dengan pangkat Kepujian Kelas Kedua Atas.
Lebih membanggakan lagi, ada juga dari kalangan pelajar kita di sini yang telah mendapat pengiktirafan serta dianugerahkan President’s atau Dean’s List dari universiti masing-masing. Kejayaan pelajar-pelajar ini membuktikan, bahawa negara kita memang mampu untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai asas kukuh serta adaptable untuk mengikuti pengajian peringkat tinggi di mana-mana sahaja.
Namun ini, tidaklah sehaursnya menyebabkan kita leka atau mudah berpuas hati, kerana masih jauh lagi matlamat untuk kita capai, disamping cabaran-cabaran yang dibawa oleh Revolusi Industri ke-Empat juga perlu dihadapi. Di sinilah, negara kita perlu lebih giat dalam menyediakan sumber tenaga manusia yang berkualiti.
Sehubungan ini, Beta sukacita menasihatkan semua pelajar yang belajar di luar negara, supaya merebut setiap peluang bagi melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu dan kemahiran, untuk dibawa pulang ke tanah air apabila tiba masanya nanti. Disamping belajar secara formal, mereka juga boleh mengasah diri melalui pengalaman dan pembacaan, dan jika ada kesempatan, mereka boleh menyaksikan sendiri apa-apa ‘usaha besar’ yang orang lain buat untuk dicontohi atau dipelajari.
Dalam pada itu, para pelajar perlu bijak menimbang dan menilai apa-apa yang dipelajari atau didapat di luar negara. Kerana bukan semuanya mesti bagus untuk diambil atau dipakai, malah ada ketikanya ia wajib dihindari atau ditolak.
Bahkan para pelajar khasnya, perlulah berhati-hati terhadap sebarang perubahan atau kemajuan yang dibawa oleh teknologi, kerana ada masanya teknologi itu disalahgunakan untuk merekrut anasir-anasir perosak ke dalam masyarakat, khasnya masyarakat golongan muda.
Maka berkaitan dengan ini, Beta suka mengingatkan kepada para pelajar yang belajar di luar negara khasnya, supaya tidak terlibat atau senghaja melibatkan diri dengan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah yang boleh menyebabkan para pelajar terbabas dari tujuan asal mereka untuk mengambil ilmu yang berfaedah. Kekalkanlah komitmen dengan MIB, insya Allah semuanya akan selamat serta diberkati.
Akhirnya, Beta dengan tulus iklas mendo’akan supaya semua para pelajar dan pegawai yang sedang berada disini akan berada di dalam kesejahteraan di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
