TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-11
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
PADA HARI RABU
29HB. JAMADILAKHIR 1443
02HB. FEBRUARI 2022
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah Beta merafa’kan Syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama meraikan Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-11, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Mengambil sukut baik Majlis ini, Beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang menerima ijazah pada hari ini sebagai tanda kejayaan mereka dalam bidang pengajian masing-masing. Tidak lupa juga, ucapan tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan para pensyarah atas usaha dan pengorbanan mereka dalam sama-sama menyokong bagi kejayaan para graduan.
Kepada para graduan pula, segulung ijazah yang diterima, bukanlah garis penamat dalam menimba ilmu. Sebaliknya ijazah, cuma pendorong atau pencetus semangat ke arah yang lebih jauh lagi. Kerana semakin tinggi dan mantap ilmu itu, maka semakin berupayalah ia untuk mengangkat bangsa ke martabat yang tinggi, sebagaimana mafhum dari ayat 11, Surah AI-Mujadalah:
“…Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat…”
Di sinilah letaknya kepentingan pendidikan sepanjang hayat, khusus pendidikan seimbang bagi kepentingan duniawi dan ukhrawi.
Oleh itu, Beta ingin menekankan supaya pendidikan seimbang itu benar-benar diperkasa untuk mencorakkan identiti bangsa.
Sehubungan itu, Beta gembira mengetahui, bahawa UNISSA begitu aktif menawarkan programprogram pembelajaran sepanjang hayat kepada para penjawat awam dan swasta serta orang ramai. Program-program seumpama ini sememangnya baik, dan malah perlu untuk diteruskan, bukan sahaja oleh UNISSA malahan juga institusi-institusi pengajian tinggi yang lain dengan menawarkan program-program baharu yang relevan dengan keperluan semasa.
Turut penting juga, ialah usaha untuk melengkapkan dan mengembangkan kemahiran pengetahuan profesional dikalangan tenaga profesional sendiri, termasuk para tenaga akademik dan tenaga bukan akademik. Usaha ini perlu dibuat secara berterusan supaya hasilnya dapat meningkatkan kualiti dan keberkesanan pengurusan di universiti.
Atas kepentingan inilah, Beta menyambut baik inisiatif menubuhkan Unit Pembangunan Profesional di UNISSA, yang akan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kompetensi dan kualiti sumber tenaga manusia di UNISSA.
Selain itu untuk kecemerlangan pengajaran, UNISSA juga perlu terus bergiat meningkatkan program penyelidikannya. Perundangan Islam, perbankan dan kewangan Islam, pertanian, sains halal dan isu-isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa ini adalah bidang-bidang yang boleh diteroka untuk dikajiselidik oleh tenaga akademik UNISSA.
Pencapaian dan kecemerlangan dalam pengajaran dan penyelidikan itu kelak akan menjadikan UNISSA sebagai antara universiti-universiti Islam terkemuka di dunia.
Dalam hubungan ini, Beta turut mengikuti perkembangan UNISSA dalam bidang penerbitan, yang antaranya baru-baru ini, berjaya menerbitkan 33 buah buku ilmiah terbaharu 2021, yang dihasilkan secara kerjasama antarabangsa melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA.
33 buah buku dalam pelbagai bidang yang ditulis dalam bahasabahasa Melayu, Inggeris dan Arab, bukanlah satu kerja yang mudah, melainkan hasil dari usaha memeras otak dengan melakukan kajian dan penyelidikan jua. Kerana itu untuk UNISSA, wajar diberikan pujian, berdasarkan, usaha seperti ini dapat disifatkan sebagai ‘usaha besar’ yang melayakkan UNISSA memiliki taraf (level of rank) tersendiri.
Beta melihat usaha seperti ini elok diteruskan dan bahkan patut dicontohi.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang diraikan, sambil berharap, semua mereka akan menggunakan ilmu yang dipelajari untuk sama-sama menangani dan menyelesaikan isu-isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa ini.
Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan setinggitinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-11 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati serta mengurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
