Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
Majlis Konvokesyen Kali Ke-12
Universiti Teknologi Brunei
(UTB)
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadhir ke Majils Konvokesyen Kali Ke-12 Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini.
Di kesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten telah mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.
Beta difahamkan bahawa mulai tahun ini, UTB akan melaksanakan Pelan Strategik 2024-2028 dengan visi Global University of the Future dan misi untuk melahirkan bakat yang tinggi bagi masyarakat yang mampan, global dan berdaya usaha, yang berakar umbi dalam falsafah negara (MIB) ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Dalam usaha untuk mencapai visi dan misi ini pihak UTB perlu menyediakan tenaga pengajar yang berkualiti tinggi untuk keberkesanan keseluruhan sistem pendidikan.Kerana kualiti sistem pendidikan tidak boleh melebihi kualiti tenaga pengajarnya. Oleh itu, Beta menyarankan agar UTB serta semua institusi pengajian tinggi memberi tumpuan kepada proses pengambilan yang lebih teliti untuk tenaga akademik mereka. Ini Penting untuk memastikan mereka diambil itu benar-benar layak dan mampu untuk menyumbang kepada pelan strategik institusi masing-masing dan pembangunan negara.
Pelan strategik UTB juga telah memberikan penekanan kepada pembelajaran cemerlang yang memfokus kepada tiga objektif strategik iaitu, kualiti pengajaran dan pembelajaran, kurikulum yang diiktiraf di peringkat global dan pengalaman pembelajaran. Bagi tujuan ini, Beta menasihatkansupaya UTB sentiasa memantau program-program yang ditawarkan agar, ia bukan sahaja relevan dalam memenuhi keperluan semasa tetapi juga mampu untuk beradaptasi dengan keperluan masa hadapan.
Beta mengambil maklum bahawa kecemerlangan dalam kualiti pembelajaran masih dapat dikekalkan melalui pemendekkan tempoh pengajian dari 4 ke 3 tahun.
Alhamdulillah kumpulan pertama dalam pelaksanaan perubahan ini akan dianugerhkan ijazah sarjana muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Perdagangan pada Majlis Konvokesyen pagi ini. Beta juga mengambil maklum bahawa perubahan tempoh pengajian adalah hasil dari kajian teliti UTB mengenai amalan-amalan terbaik.
Beta gembira mengetahui bahawa satu program baharu, iaitu, Doctor of business Administration akan diperkenalkan pada bulan Januari 2025. Selain ianya sebagai pilihan alternatif kepada PhD, ianya juga membuktikan kepentingan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Program ini memenuhi keperluan action research dalam dunia perniagaan sebenar dengan memperkaya ekosistem penyelidikan melalui intervensi yang dapat diguna pakai dan dapat meningkatkan hasil penyelidikan UTB.
Berkaitan penyelidikan, dalam usaha untuk meningkatkan jumlah petikan ataupun citation, Beta menyambut baik penstrukturan semula pusat-pusat dan research thrusts UTB dalam mensejajarkannya dengan amalan terbaik global. Penubuhan Pusat Teknologi Hijau dan Penyelidikan Lestari atau Centre of Green Technology and Sustainable Research adalah diharap dapat menyumbang ke arah ini.Penyelidikan UTB juga disasarkan kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG. Dalam hal ini Beta mengambil maklum bahawa UTB buat pertama kalinya telah memasuki Times Higher Education Impact Ranking. Syabas atas pencapaian ini.
Menyentuh mengenai Ranking Universiti di persada global, Beta difahamkan UTB akan terus memperkenalkan strategi-strategi yang lebih inovatif, terutama melalui agenda pengantarabangsaan, termasuk penubuhan Pejabat UTB Global.
Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Waramatullahi Wabarakatuh.
