TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah 
ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, 
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

Sempena
Majlis Konvokesyen Kali Ke-36
Universiti Brunei Darussalam
 (UBD)
 
Pada Hari Isnin
07hb. Safar, 1446 /
12hb. Ogos, 2024
 
Bertempat
Dewan Canselor
Universiti Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita bersama-sama hadhir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-36 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan amat sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan atas kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan yang sama juga ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.

Dalam keadaan dunia berhadapan dengan cabaran dan risiko perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, sekuriti makanan, pemesatan digital, sekuriti siber, polarisasi sosial dan kemiskinan, maka adalah mustahak untuk kita melakar masa depan yang lebih menjamin bagi generasi akan datang.

Bercakap mengenai generasi ini, UBD sebagai universiti terulung di negara ini perlu bersedia menggalas tanggungjawab untuk melahirkan generasi yang progresif lagi kreatif, melalui keluaran-keluaran universiti pada setiap tahun. Dalam hubungan ini, Beta sukacita mengambil maklum bahawa UBD telah merangka UBD Sustainable Blueprint bagi mewujudkan ekosistem yang berdaya tahan. Dengan adanya Blueprint ini, kita berharap UBD akan dapat mewujudkan kampus yang bersifat lebih mesra alam dan kondusif dalam melahirkan generasi pemimpin yang sentiasa bersedia menangani tantangan zaman.

Dalam kita giat mencapai matlamat Sustainable Development Goals (SDG), Beta ingin mengingatkan tentang kepentingan aspek kerohanian. Dengan tidak mengabaikan aspek kerohanian, UBD akan dikenali sebagai sebuah universiti yang dapat memupuk dan merangsang perkembangan pelajar meliputi semua aspek kehidupan, yang dilihat mampu untuk meraih keberkatan, keselamatan dan kemakmuran, bukan hanya di dunia malahan juga di akhirat.

Dari sini dapatlah kita melihat betapa tinggi kemampuan setiap fakulti di UBD dalam memastikan gandingan pendidikan dan penyelidikan yang dilaksanakan sehingga mampu untuk mendatangkan impak signifikan yang diharapkan. Alhamdulillah, Beta gembira mengetahui bahawa UBD School of Business and Economics (UBD-SBE) telah dianugerahkan akreditasi berprestij tinggi, iaitu Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB). Akreditasi ini menjadikan UBD-SBE kini menyertai lebih kurang 6% kumpulan elit business school di dunia yang mematuhi piawaian kecemerlangan yang ditetapkan dalam pendidikan perniagaan.

Dari segi inovasi dan kerjasama industri pula, Beta ingin melihat kerjasama industri dan universiti di negara ini dikukuhkan, untuk membolehkan pemindahan pengetahuan, teknologi dan kepakaran antara ahli akademik dan pengamal industri. Sehubungan dengan ini, pembinaan UBD Innovation HubUBD Digital Science Nexus dan bangunan baharu UBD Institute of Biodiversity and Enviroment Research yang telah Beta perkenankan di bawah Projek RKN Ke-12, diharap akan menjadi pemangkin bagi memperkasakan lagi penyelidikan dan pendidikan. Ini tentu saja akan menghasilkan pembangunan produk, pelaburan, economic cluster baharu dan ekosistem inovasi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan.

Beta yakin, para graduan dengan penuh semangat akan menyahut cabaran-cabaran dalam memenuhi keperluan pekerjaan di masa akan datang.

Akhirnya, Beta mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka.

Semoga segala usaha mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​