Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen kali Ke-37 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-37
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)
 
PADA HARI RABU
19 SAFAR 1447 /  13 OGOS 2025
 
BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-37 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Kejayaan ini tidak datang bergolek, sebaliknya hasil dari usaha para graduan dan sokongan padu para ibu bapa dan penjaga di sepanjang tempoh pengajian di UBD.

Semenjak penubuhannya pada tahun 1985, UBD telah berdiri teguh sebagai tunggak pendidikan tinggi negara, melahirkan ribuan para graduan dan telah meneroka pelbagai penemuan ilmu baharu.

Ulang tahun UBD Ke-40 ini mencerminkan komitmen berterusan dalam pembangunan pendidikan negara. Pada setiap tahun, UBD terus berjaya melahirkan graduan yang relevan, berdaya saing dan berkualiti. Maka sehubungan itu, Beta ingin menyeru supaya Institusi Pengajian Tinggi di negara ini terus melangkah kehadapan menjana kapasiti tenaga intelek yang lebih matang, khusus dalam bidang penyelidikan.

Beta berharap, nilai-nilai Islam serta warisan bangsa akan terus menjadi paksi kepada arah tuju UBD. Sesungguhnya kekuatan UBD tidak hanya terletak pada nama atau gagasannya, tetapi lebih utama ialah semangat dan sumbangannya kepada negara mesti berkekalan. Jika ini ada dan terus menyerlah, maka itulah tanda UBD berkualiti.

Beta ingin melihat UBD akan terus mendekati masyarakat, suka mendengar suara mereka dan memahami keperluan bersama. Sesungguhnya sebuah universiti yang hebat bukan hanya pandai mencipta nama tetapi juga tumbuh bersama masyarakat dan mampu pula menyesuaikan diri dengan arus perubahan.

Menyentuh komuniti pelajar, Beta juga mengambil maklum akan usaha UBD memperkenalkan kurikulum baharu bagi memperkukuhkan lagi pembangunan graduan cemerlang iaitu individu yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran. Kurikulum baharu yang dipanggil ‘GenBESTARI’ yang akan mula dilaksanakan pada September 2026 adalah merupakan satu langkah penting, dengan penekanan yang lebih seimbang antara pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran insan atau soft skills. Dalam era yang semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (A.I), kemahiran seperti kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritikal dan kebolehsuaian adalah menjadi kunci utama kepada peningkatan daya saing dan kebolehpasaran graduan.

Alhamdulillah, Beta juga gembira mengetahui penubuhan ‘UBD Sustainability Living Lab’ yang merupakan platform inovatif yang strategik dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dan industri. Beta yakin inisiatif seperti ini akan memperkukuhkan lagi UBD sebagai hab ilmu dan rujukan utama dalam bidang penyelidikan dan pengetahuan, serta menjadikan UBD kekal relevan bagi keperluan masyarakat dan industri.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Teruslah menimba ilmu, meningkatkan kemahiran diri, dan mengembangkan potensi, demi masa depan negara yang kita cintai ini. Berpegang teguhlah kepada Aqidah Ahli Sunnah Wal-jamaah agar setiap usaha dan jerih payah kita akan mendapat berkat serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Inilah kunci kejayaan hakiki, bagi dunia dan akhirat.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga UBD, baik yang masih berkhidmat atau yang telah bersara, yang merangkumi para Ahli Majlis, Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai, kakitangan, pelajar, alumni dan rakan strategik atas segala sumbangan mereka kepada UBD selama 40 tahun ini. Semoga segala usaha mereka akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Beta mendoakan UBD akan terus maju jaya sebagai institusi ilmu yang digalati.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

 ​