TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KE-32
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
 (UBD)
 
PADA:
Hari Isnin
16HB Rabiulawal 1442
02HB November 2020
 

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua dapatlah Beta hadir Ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-32 Universiti Brunei Darussalam pada tahun ini, walaupun dalam keadaan yang berbeza dari biasa.

Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Begitu juga ucapan yang sama kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.

Pada masa ini negara masih sahaja berhadapan dengan cabaran wabak koronavirus  yang mengancam dunia. Namun alhamdulillah, setakat ini kita di Brunei mampu mengawal penularannya. Kalau kita melihat hikmah, wabak ini turut merangsang penggunaan teknologi digital, yang meningkat begitu cepat. Selain dari itu, penggunaan artificial intelligence juga turut membantu usaha Kerajaan bagi membendung penularan wabak.

Sehubungan ini, Beta gembira, UBD telah mengemaskinikan Program Sains Komputer dan memperkenalkan Sarjana Muda Sains Digital dengan penekanan jurusan, seperti Artificial Intelligence and Robotic, Data Science dan Cybersecurity. Beta menyarankan supaya inisiatif-inisiatif digital UBD biarlah selaras dan mendokong Digital Ekonomi Masterplan 2025 yang diperkenalkan pada tahun ini.

Mengenai inisiatif inovasi pula, Beta menyarankan supaya penyelidikan di UBD perlu sensitif kepada perubahan pelbagai lanskap.  Beta difahamkan UBD telah mula meneroka penyelidikan dalam Smart Farming iaitu pertanian dengan menggunakan teknologi canggih, dan perubatan peribadi (Personalised Medicine) di mana perubatan disesuaikan dengan individu berdasarkan informasi genetik individu tersebut.

Ini semua sangat bagus untuk meningkatkan daya saing. Diharap ia dapat berjalan dengan baik dan berjaya.

Mengenai daya saing ini, Beta mengambil maklum dan mengucapkan tahniah kepada UBD kerana pada julung kalinya ia tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings.  Dalam QS World University Rankings, Beta juga difahamkan bahawa UBD pada tahun ini telah termasuk antara satu peratus universiti-universiti teratas di dunia.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Beta berharap agar setiap graduan sentiasa mengamalkan sikap menyesuaikan diri dan berdikari dalam keadaan dunia hari ini. Selain itu, Beta juga mengingatkan terutama sekali dalam menghadapi cabaran, agar para graduan sentiasa mengekalkan integriti dan berpegang teguh kepada ajaran Ugama Islam agar apa jua usaha akan sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka dengan ganjaran berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.