TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an
Bahagian Dewasa
Peringkat Akhir Kebangsaan
Bagi Tahun 2021
PADA 
HARI KHAMIS MALAM JUMA’AT
29 SYAWAL 1442
10 JUN 2021
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis  Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1442 Hijrah bersamaan Tahun 2021 Masihi kali ke-63 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala terus memberkati kita dengan syafa’at Al-Qur’an. 
Mengenai keberkatan Al-Qur’an, Allah Subhanahu Wata’ala telah menjelaskan dalam Surah Al-An’aam ayat 155, tafsirnya:
“Dan inilah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami turunkan mempunyai keberkatan, maka ikutlah ia dan bertakwalah supaya kamu beroleh rahmat.”
Ada banyak cara untuk meraih keberkatan Al-Qur’an itu, diantaranya dengan membaca, menghafaz dan memahami isi kandungannya. Demikian juga keberkatan boleh diraih dengan membaca Ayat-Ayat Suci Al-Qur’an bagi tujuan berlindung dan berubat daripada pelbagai penyakit dan musibah, sebagaimana petunjuk Al-Qur’an sendiri dalam Surah Al-Isra’ ayat 82, tafsirnya: 
“Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an itu ayat-ayat yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Kita di Brunei sedang mematuhi dan mengikut petunjuk ini untuk mengelak atau menolak wabak koronavirus. Kita telah memakainya bersama-sama SOP biasa sebagai “perisai bersepadu”, dan alhamdulillah, kesan daripada perisai bersepadu ini, Brunei Darussalam telah dilihat sedang dibentengi oleh keberkatan yang menakjubkan yang menjadikannya terselamat daripada serangan wabak. 
Ini adalah situasi luar biasa, dimana kita jangan menganggapnya sebagai ringan sahaja. 
Beta secara peribadi, amatlah meyakini perkara ini, bahawa apa jua jenis virus yang membentuk wabak, tidak akan mampu untuk melangkahi ayat-ayat suci Al-Qur’an. 
Oleh itu makanya, kita orang Islam janganlah berenggang dari Al-Qur’an, dalam makna, jangan lari dari membacanya. 
Beta berharap, kita orang-orang Brunei akan menjadikan membaca Al-Qur’an itu sebagai budaya sepanjang zaman. Ertinya semua generasi kita, sama ada yang sedia ada mahupun yang akan lahir kemudian adalah generasi-generasi yang membaca Al-Qur’an belaka. 
Betapa bertuahnya negara jika harapan Beta ini tercapai, kerana Al-Qur’an jika terus dibaca oleh rakyat dan penduduk, tidak diragukan lagi negara akan mendapat berkat dan berhias dengan cahaya, kerana bukankah Al-Qur’an itu memang ia cahaya?
Cahaya Al-Qur’an bukan seperti cahaya lampu atau pelita, tetapi cahaya Al-Qur’an mampu untuk menerangi hati sanubari dan menerangi kehidupan, bahkan menerangi alam kubur menurut ugama. 
Siapakah yang tidak mahu untuk mendapat cahaya yang seperti ini? Pada hemat Beta, semua kita adalah mahu. 
Untuk akhirnya, dalam kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan tahniah kepada peserta-peserta di semua peringkat pertandingan, khasnya peserta yang berjaya ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini. Beta berharap mereka itu akan dapat berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai mutu bacaan yang lebih baik.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.