TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-32
 
PADA HARI SELASA
1 RABIULAWAL 1444 / 27 SEPTEMBER 2022
 
TEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadhir di Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32 pada pagi ini. Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di Negara Brunei Darussalam.

Tema Hari Guru pada tahun ini berbunyi: “Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan”. Pada hemat Beta, tema ini sangatlah relevan terutama sekali dengan keadaan global yang mengalami perubahan ketara, khusus akibat penularan COVID-19. Dunia telah mengharungi suasana amat mencabar dalam pengajaran dan pembelajaran yang belum pernah dialami sebelumnya. Semua ini memberikan impak signifikan kepada sistem pendidikan, termasuk kepada para guru di seluruh dunia.

Dalam hubungan ini, kita wajar bersyukur, kerana pendidikan di negara ini, masih dapat diteruskan, walaupun adanya kekangan dan rintangan. Semua ini mampu dilaksanakan dengan adanya para guru yang bersemangat kental. Beta sukacita mengucapkan terima kasih kepada mereka itu.

Brunei Darussalam, turut mengambil maklum bahawa World Bank telah menganggarkan hampir 1.6 billion kanak-kanak di seluruh dunia telah terkesan dengan penutupan sekolah, semasa beberapa gelombang pandemik melanda dunia selama lebih dua tahun yang lalu. Pada gelombang pertama, purata kehilangan pembelajaran para pelajar adalah selama lebih setengah tahun bagi tempoh penutupan sekolah selama 15 minggu. Sekiranya tiada sebarang intervensi dilaksanakan, maka kehilangan pembelajaran sudah tentu boleh membawa kesan negatif jangka panjang terhadap produktiviti dan kesejahteraan para pelajar.

Beta berharap Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus menggembling tenaga ke arah mengurangkan learning loss atau kehilangan pembelajaran, dengan melaksanakan program pemulihan yang bersesuaian.

Beta juga berharap agar kedua-dua Kementerian akan dapat meneliti kesan dan impak educational inequality ataupun ketidaksamaan pendidikan serta kaitannya dengan learning loss di kalangan kanak-kanak.

Beta yakin pengalaman semasa pandemik ini telah memaksa kita untuk melihat cara pengajaran norma baharu dan penggunaan teknologi. Secara tidak langsung, pengalaman ini juga membuka peluang inovasi dalam pendidikan, baik dari segi kurikulum, pedagogi pengajaran, teknologi pendidikan, penilaian, peperiksaan dan persekitaran sekolah.

Apabila sekolah kini telah dibuka sepenuhnya, maka kedapatan beberapa kaedah baru sebagai berkesan untuk diteruskan. Perlu diingat, adalah tidak mustahil krisis seumpama pandemik akan terjadi lagi dimasa akan datang. Oleh itu, mustahak bagi kita untuk sentiasa bersedia dengan membina sistem yang lebih berdaya tahan bagi menangani apa jua krisis yang melanda.

Bagi Kementerian Pendidikan adalah perlu fokus kepada menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat untuk semua pelajar, dari peringkat awal pendidikan sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Para guru pula perlu diberikan dorongan padu oleh pihak Kementerian dengan memastikan professional development mereka terus diberikan perhatian.

Kesejahteraan para guru mesti diambil berat. Beta berharap dengan tertubuhnya Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar di Kementerian Pendidikan pada tahun 2021, isu kesihatan dikalangan tenaga pengajar akan dapat diberikan perhatian sewajarnya, dengan kerjasama pihak-pihak yang berkepentingan.

Kepada para guru, Beta menyeru supaya mereka sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, khususnya dalam bidang Teknologi Maklumat. Beta menganggap, para guru adalah pelopor budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Beta mengambil maklum bahawa beberapa inisiatif telah dan akan terus dilaksanakan untuk memacu transformasi pendidikan di negara ini. Antara inisiatif tersebut ialah, penaiktarafan infrastruktur rangkaian info-teknologi sekolah-sekolah, pembekalan alat peranti dan data internet kepada semua para guru dan pelajar yang memerlukan. Semua ini adalah bertujuan untuk mendokong pembelajaran menggunakan teknologi, selaras dengan Pelan Transformasi Digital, Kementerian Pendidikan.

Di peringkat pendidikan teknikal dan pengajian tinggi, kita alhamdulillah telahpun mendapat pengiktirafan dan ranking peringkat dunia, yang ditafsir sebagai hasil pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan kita yang berkualiti. Beta berharap usaha akan terus dibuat untuk melahirkan rakyat yang future-proof. Sebagai way forward, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan merangka dasar dan pelan strategik bagi tujuan mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru, dan kepada para penerima Anugerah Hari Guru pula, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat dan motivasi bagi seluruh warga guru.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.