TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI
1445H / 2024M
 
ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
 
PADA HARI ISNIN:
12 SYAWAL 1445H / 22 APRIL 2024M

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia ini dalam suasana aman dan sejahtera.

Dalam masa kita bersukaria menyambut ‘Idil Fitri, kita hendaknya tidak melupakan nasib sebilangan umat Islam yang ditimpa musibah dan kesengsaraan, seperti umat Islam di bumi Palestin. Sebagai orang Islam yang beriman, kita patut memberi perhatian kepada sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam riwayat al-Bukhari maksudnya, bahawa tidak sempurna iman seseorang kecuali dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.
 
Sekurang-kurangnya kita mesti mendo’akan mereka. Do’a hanyalah sekecil-kecil ikhtiar untuk membantu saudara-saudara seugama, namun ia mustahak sebagai sifatnya ‘senjata’ bagi orang-orang beriman.

Menyentuh mengenai sikap prihatin, Beta menyambut baik tema sambutan ‘Idil fitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, yang menekankan dua nilai kemanusiaan iaitu “Pemedulian dan Prihatin” yang memang sudah menjadi darah daging kepada kita orang-orang Brunei, selaku warisan turun temurun dari nenek moyang.

Beta bangga dengan penglibatan para belia kita melaksanakan pelbagai inisiatif kesukarelawanan seperti membantu golongan yang memerlukan di negara sendiri sehingga ke luar negara, misalnya mengumpulkan sumbangan dan pengendalian penghantaran ke bumi Palestin. Beta ucapkan syabas kepada mereka.

Beta gembira mengalu-alukan kehadiran penuntut-penuntut daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang dianggap mewakili semua rakan pelajar lain yang sama-sama terlibat melaksanakan aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan. Amatlah sesuai mereka ini diketengahkan sebagai peserta dalam sambutan tahun ini.

Beta difahamkan kebanyakan institusi pengajian tinggi tempatan telah menerapkan program insaniah dan kemasyarakatan dalam aktiviti kokurikulum pelajar bagi meningkatkan kecerdasan rohani dan fizikal pelajar. Inisiatif ini pada hemat Beta, adalah perlu untuk diteruskan dan dikembangluaskan lagi dalam menggalakkan dan membudayakan sikap prihatin dan pemedulian.

Pelaksanaan program insaniah dan kemasyarakatan ini hendaknya tidaklah terhad kepada satu bidang sahaja, iaitu program membantu golongan yang memerlukan yang sering kita dengar dan saksikan. Disana terdapat banyak lagi bidang yang perlu diteroka dan perkembangkan, misalnya bidang keugamaan, keusahawanan, teknologi, kebudayaan, sukan dan alam sekitar.

Tahun demi tahun kita menyaksikan ribuan para graduan tempatan telah dilahirkan, sama ada melalui institusi-institusi pengajian tempatan mahupun luar negara. Negara sangatlah gembira dan berbangga memiliki generasi yang mampu menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran.

Inilah antara hasrat Wawasan Brunei 2035 iaitu supaya negara berhasil melahirkan rakyat yang berpendidikan dan sekaligus berkemahiran tinggi. Jika ini benar-benar berhasil dicapai, maka itulah jawapan untuk merujuk kepada negara dan masyarakat ‘maju’.

Akhirnya, Beta merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada semua lapisan warga Yayasan Beta dan semua mereka yang terlibat mengungkayahkan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​