Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1446H / 2025M
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI
1446H/2025M
ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
PADA:
HARI SABTU
13HB SYAWAL 1446H
12HB APRIL 2025M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdullilah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita meraikan hari kemenagan umat Islam, Hari Raya ‘Idilfitri, dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. ‘Idilfitri seharusnya kita sambut dengan mengikut syari’at Ugama Islam, antaranya untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan silaturrahim, bemula dari peringkat keluarga, jiran tetangga, rakan taulan dan masyarakat pada ‘amnya.
Amalan yang baik ini perlu diteruskan untuk menyuburkan lagi perpaduan dan sikap hormat-menghormati serta amalan bantu-membantu dikalangan masyarakat kita.
Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah memberikan contoh terbaik dalam meraikan ‘Idilfitri dengan cara Baginda itu berangkat ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat ‘Idilfitri dan kembali ke rumah dengan melalui jalan-jalan berbeza, supaya Baginda dapat berjumpa dengan ramai orang, dan sekaligus dapat bersilaturrahim dengan mereka.
Beta menyambut baik tema sambutan Hari Raya ‘Idilfitri anjuran Yayasan Beta pada tahun ini iaitu “Perpaduan Masyarakat Dalam Mencapai Aspirasi Negara”. Perpaduan memang sangat penting dalam memastikan negara aman dan harmoni serta pembangunan dapat berjalan lancar dan berjaya.
Kerana itu adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara dan mengekalkan keamanan dan keharmonian itu.
Beta sangat mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada beberapa kumpulan masyarakat yang dilihat memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara. Usaha dan inisiatif mereka kearah memperkasa pembangunan ini amatlah dihargai.
Tidak dinafikan, zaman yang kita lalui sekarang, telah dan sedang mempengaruhi sebahagian besar dari gaya hidup kita. Namun kita tetap dituntut untuk mengekalkan tradisi sosial yang diwarisi sejak turun temurun. Ia tidak boleh lenyap dalam era dan arus moden.
Sikap dan nilai berawar galat orang Brunei, saling hormat-menghormati, sayang-menyayangi, bertolak-ansur dan saling bantu-membantu adalah perlu dikekalkan, tidak boleh sumbing, apatah lagi hilang.
Dalam masa yang sama, kita juga tidak dapat menyangkal kesan globalisasi terhadap pembangunan dan sosioekonomi. Di sinilah perlunya ketua-ketua masyarakat dari pelbagai peringkat untuk mengambil langkah-langkah positif dengan mengadaptasi kemajuan lebih berkesan untuk negara.
Semua diambil kira mengikut aliran zaman dan pendekatan-pendekatan juga hendaklah praktikal serta bersesuaian.
Beta ingin melihat semua usaha dapat diperluaskan melalui program-program lebih teratur dan berkesan untuk membawa negara mencapai kemajuan yang sempurna sebagaimana dihasratkan oleh Wawasan Brunei 2035.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
