TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN
RAMADHAN BAGI TAHUN 1445H / 2024M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Ramadhan datang lagi, satu bulan, yang darjatnya sangat tinggi di sisi Allah. Pada bulan inilah diwajibkan kita berpuasa, diturunkan Kitab Suci Al-Qur’an dan didalamnya disediakan satu malam yang lebih baik atau lebih utama dari seribu bulan.
Bayangkan, seribu bulan itu berapa tahun? Kira-kira lapan puluh tiga (83) tahun. Itulah nilai pahala bagi satu malam Lailatulqadar sama dengan pahala 83 tahun. Masya Allah, betapa luar biasanya bulan Ramadhan itu.
Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam memberitahu dalam sebuah Hadits Baginda, maksudnya: “Mula-mula Ramadhan itu ialah rahmat, di tengah-tengahnya pengampunan dan diakhirnya kemerdekaan dari api neraka”.
Dari Hadits ini, alangkah beruntungnya siapa yang dapat berpuasa sebulan penuh: Diawalnya akan mendapat rahmat, ditengah-tengahnya mendapat keampunan dan diakhirnya mendapat kebebasan dari api neraka.
Oleh itu, marilah kita sama-sama memasang niat untuk berpuasa sebulan penuh bagi meraih pahala yang dijanjikan.
Beta berharap, jangan siapa yang rimas dengan Ramadhan, tetapi bersedialah menyambutnya dengan hati terbuka, bukan merasa tertekan dan dukacita kerana terpaksa berlapar dan dahaga.
Inilah masanya kita akan mengaut pahala sabar, lebih-lebih lagi sabar di bulan Ramadhan yang tidak sama dengan sabar dilain-lain bulan. Kerana Ramadhan itu sendiri dinamakan ia ‘Bulan Sabar’, sebagaimana maksud Hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Ramadhan adalah ‘Bulan Sabar’ dan sabar pula balasannya ialah syurga”.
Umat Islam yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama berazam untuk menghayati Ramadhan. Hidupkan ia dengan ibadat puasa, dengan membaca Al-Qur’an, dengan qiyamullail, dengan tarawih, dengan zikir, dengan sedekah dan lain-lain amal salih.
Beta difahamkan berdasarkan riwayat, bahawa semua pintu langit dan pintu syurga adalah dibuka pada bulan Ramadhan, manakala pintu-pintu neraka pula ditutup, sekalian iblis dan syaitan dirantai, supaya mereka tidak dapat mengacau kaum muslimin dalam masa berpuasa. Satu sembahyang sunat dalam bulan Ramadhan dikira sama pahalanya dengan sembahyang fardhu pada lain-lain bulan, dan satu sembahyang fardhu pula dalam bulan Ramadhan pahalanya adalah sama dengan 70 fardhu pada lain-lain bulan.
Demikian keistimewaan Ramadhan itu, kita di negara ini sangat beruntung kerana dapat merebut fadhilat Ramadhan tanpa sebarang gangguan. Negara kita alhamdulillah, telah ditakdirkan aman, berbanding di sebahagian tempat di dunia, ada yang dilanda oleh pelbagai musibah, seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, peperangan dan lain-lain, yang semua itu boleh menjadikan ibadat, tidak boleh dilakukan dengan sempurna.
Kita hanya mampu untuk membayangkan betapa deritanya mereka, dan selebihnya hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani.
Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di negara ini, semoga kita sama-sama dapat menunaikan kewajipan berpuasa tanpa sebarang halangan atau gangguan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
