TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU
MASIHI 2021

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita melangkah ke tahun baru Masihi 2021.

Tahun 2020, adalah merupakan tahun yang sangat mencabar bagi negara kita sendiri dan malah dunia, iaitu bersabit dengan tularnya wabak Coronavirus.

Wabak ini memberi impak besar kepada perkembangan sosio-ekonomi di seluruh dunia.

Alhamduillah, dengan izinNya jua, negara kita telah dapat membendung wabak berkenaan dari terus merebak, hasil dari usaha-usaha bersepadu oleh pihak-pihak berkenaan serta penglibatan dan kerjasama seluruh rakyat dan penduduk menanganinya dengan ‘vaksin ketuhanan’ juga digunakan secara konsisten.

Pada tahun 2021 ini, Negara Brunei Darussalam akan menjadi Pengerusi kepada mesyuarat di peringkat ASEAN yang membawa Tema ‘We Care, We Prepare, We Prosper’. Tema ini bertujuan memberi fokus kepada hal ehwal kesejahteraan rakyat ASEAN.

Maka dalam hubungan ini, keutamaan akan terus diberikan kepada melaksanakan inisiatif-inisiatif yang membolehkan negara-negara ASEAN akan lebih bersedia bertindak balas untuk memelihara kesejahteraan rakyat masing-masing, khasnya ketika menghadapi sebarang krisis atau bencana di masa-masa mendatang.

Dalam masa yang sama juga, rakyat ASEAN perlu diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan, supaya lebih bersedia menghadapi cabaran serta ligat merebut peluang dari perkembangan teknologi dan arus perubahan global yang pantas.

Oleh itu, Negara Brunei Darussalam sendiri mesti seiring dengan rakan-rakan membuat perubahan, dengan sistem negara, ekonomi, pendidikan dan keselamatan diperkukuhkan sebagaimana merujuk kepada Blueprint-Blueprint, Pelan-Pelan Induk dan Pelan-Pelan Strategik yang dikeluarkan, sama ada di peringkat kementerian mahupun nasional.

Mengenai ehwal keselamatan ini, pada bulan Ogos 2020 yang lalu, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Cyber Security Brunei sebagai agensi yang menjaga keselamatan siber kebangsaan dari sebarang insiden dan ancaman siber.

Brunei turut teruja dengan perkembangan transformasi digital untuk menuju aspirasi menjadikan negara sebagai sebuah negara pintar. Maka untuk itu, kerjasama strategik yang berterusan di antara semua pihak yang berkepentingan adalah diperlukan bagi menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran bagi mencapai kemajuan kearah smart city.

Mengenai tenaga kerja alhamdulillah, pada tahun 2020, sejumlah 9,317 warga Brunei telah mendapat pekerjaan di sektor swasta, berbanding sejumlah 9,056 pada tahun 2019. Kerajaan melalui Manpower Planning and Employment Council (MPEC) akan meningkatkan usaha menerusi Job Centre Brunei (JCB) di antara sektor awam dan swasta dalam meluaskan lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Apa yang Beta harapkan, mereka yang berkhidmat dalam sektor awam atau swasta akan mengamalkan budaya kerja yang berintegriti tinggi, bertanggungjawap dan patuh kepada peraturan dan undang-undang. Isu keruntuhan dan kelemahan etika dan moral dalam melaksanakan amanah boleh menjadi penyebab kepada keburukan amalan rasuah, pecah amanah atau salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi. Beta yakin, manakala sifat seumpama ini dihapuskan, insya Allah, negara akan selamat dan sentiasa diberkati untuk menuju kejayaan.

Kerajaan Beta melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi telahpun menyediakan Economic Blueprint sebagai hala tuju untuk mencapai perkembangan mantap ekonomi. Hasrat ini hanya akan dicapai melalui sokongan padu oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Beta ingin melihat dasar ekonomi tersebut berupaya untuk meningkatkan lagi produktiviti negara melalui inovasi dan koordinasi yang efektif. Disamping itu isu sekuriti makanan juga adalah agenda utama kita, supaya bekalan makanan asasi benar-benar mencukupi.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, pasukan-pasukan keselamatan, serta para sukarelawan di atas usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawap masing-masing sepanjang tahun 2020.

Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masehi 2021 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada kita semua dan menjadikan Negara Brunei Darussalam kekal aman dan sejahtera di bawah naunganNya. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.