TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU MASIHI 2024
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita sama-sama melangkah ke tahun Masihi 2024.

Semoga tahun 2024 ini akan mendorong kita untuk lebih berjaya meneroka perubahan-perubahan bermakna, baik bagi diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Demikian juga, fokus Kerajaan Beta akan tetap mensasarkan pencapaian matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035. Maka untuk itu, Kerajaan Beta melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation akan terus melakar strategi baru menerusi blueprint-blueprint yang kita yakini mampu untuk membawa negara lebih dekat kepada matlamat-matlamat tersebut. Blueprint-blueprint ini akan sentiasa dikemaskini bagi memastikan ianya sentiasa relevan, dan apa jua jurang dalam perancangan dan pelaksanaan akan ditangani secara kolektif tanpa bertangguh.

Namun dalam pada itu, faktor-faktor luar seperti pergolakan geo-politik, krisis kesihatan global, kesan perang dagang di antara kuasa besar dan kepesatan kemajuan teknologi, akan terus mempengaruhi hala tuju dunia, dengan bahangnya juga turut dirasai oleh negara kita.

Apa yang pasti, kita perlu mendepani keadaan ini dengan fikiran terbuka untuk memahami perubahan tersebut dan seterusnya memanfaatkan sepenuhnya apa jua peluang yang dibawanya.

Menyentuh mengenai kepelbagaian ekonomi, Beta sangat gembira atas perkembangan Sektor Bukan Minyak dan Gas yang sangat menggalakkan, yang meningkat sebanyak 5.3 peratus bagi tempoh enam (6) bulan pertama tahun 2023.

Ini tentu saja hasil usaha bersepadu Kerajaan Beta dengan kerjasama sektor swasta dalam mempelbagaikan ekonomi negara.

Usaha ini tidak boleh berhenti, malah digiatkan terus untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan berdayatahan.

Ke arah itu, perkhidmatan awam negara ini perlu terus meneliti dan melaksanakan pembaikan-pembaikan dasar dan peraturan, sebagai langkah memperkemaskan lagi sistem penyampaian perkhidmatan yang sedia ada, khasnya ke arah mewujudkan eko-sistem yang kondusif bagi pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, disamping menekankan akauntabiliti para penjawat awam.

Dalam masa yang sama, penerapan nilai-nilai Islam dalam semua aspek urustadbir, perlu terus dititik-beratkan, selaras dengan langkah memelihara Maqasid Syar’iah bagi kelangsungan dan kestabilan negara.

Kerajaan Beta juga dalam beberapa bulan yang lalu telah melaksanakan dua (2) inisiatif penting untuk kebajikan warga kerja dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta iaitu Skim Persaraan Kebangsaan (SPK), dan gaji minima bagi sektor-sektor tertentu.

Beta berharap inisiatif-inisiatif ini akan jadi pendorong untuk mereka memajukan diri, baik di sektor kerajaan mahupun swasta.

Berkaitan pendidikan pula, pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama dari Darjah Pra hingga Darjah Tiga ke Dalam Sistem Pendidikan Umum yang telah bermula bulan November lepas telah menimbulkan pelbagai persepsi dan reaksi.

Beta berharap, semua pihak akan memahami bahawa rancangan ini adalah bertujuan untuk menjaga kesejahteraan para pelajar melalui keseimbangan suasana dan pembelajaran.  Kerana itu, sokongan semua pihak khasnya ibu bapa adalah masih diperlukan bagi keberkesanan dan kesinambungan usaha ini.

Di sudut lain, negara akan terus mengambil berat usaha-usaha di peringkat global berkaitan isu perubahan iklim. Sehubungan ini, pembentukan Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) dan pelantikan negara sebagai Tuan Rumah bagi Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change), adalah merupakan antara terjemahan dari komitmen yang disebutkan tadi.

Bersabit hal ehwal luar negara pula, Negara Brunei Darussalam turut melahirkan kebimbangan yang amat mendalam terhadap keganasan yang sedang berlaku di Palestin.

Kita mengharapkan supaya pihak-pihak berkenaan akan terus mematuhi kewajipan menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Khasnya dalam usaha melindungi keselamatan orang awam. Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat Palestin akan sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala.
 
Sebagai tanda simpati yang mendalam, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan menubuhkan tabung kemanusiaan untuk rakyat Palestin, disamping doa dan Qunut Nazilah bagi rakyat dan negara Palestin juga dibaca di masjid-masjid. Beta berharap, rakyat dan penduduk negara ini akan sama-sama menyumbang kepada tabung berkenaan sebagai derma atau sedekah kerana Allah Subhanahu Wata’ala.

Pada tahun ini, kita Insya Allah akan menyambut 40 tahun Negara mencapai kemerdekaan penuh. Kejayaan kita dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan dalam tempoh yang lama ini adalah berkat usaha bersepadu dan dengan izin Allah jua.

Semoga sambutan kali ini akan lebih mengukuhkan lagi patriotisme dikalangan generasi masa kini, selaku rakyat dan penduduk yang ta’at setia lagi gigih untuk membawa negara mencapai Wawasan Brunei 2035.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan bandan-badan bukan Kerajaan (NGOs), di atas komitmen dan usaha gigih kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2023.

Demikian juga, pada kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama yang baik lagi ikhlas antara kita.

Selamat Tahun Baru Masihi 2024 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

* * *​​