TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN
KALI KE-17
PADA HARI SELASA,
11 MUHARRAM 1444 / 9 OGOS 2022
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN
ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kerana dapat berkumpul bersama-sama bagi menghadhiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-17 pada pagi ini.
Tidak syak lagi para Belia adalah komponen kritikal dalam usaha pembangunan negara, selaku ‘stakeholder’ yang dinamik.
‘Acuan’ yang tepat adalah diperlukan untuk menjadikan golongan belia lebih bersedia dalam memacu pembangunan negara.
Hari ini kita melihat transformasi belia sedang berlaku, dengan mereka itu didapati lebih berwawasan dan berani untuk meneroka bidang-bidang baru, di antaranya bidang perekonomian, digital, inovasi sosial, agri-bisnes dan industri-kreatif.
Beta amat gembira apabila golongan belia kita menunjukkan pencapaian prestasi yang membanggakan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat serantau dan antarabangsa.
Misalnya dari sudut pertumbuhan ekonomi, hasil produk usahawan belia telah melangkaui jauh sehingga ke peringkat luar negara, khususnya dalam bidang teknologi komunikasi, pembangunan aplikasi pintar dan perisian (software), agri-bisnes, tekstil dan kreatif.
Sehubungan ini Beta mengalu-alukan kiranya lebih ramai lagi para usahawan belia menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, sebagai usaha memperkasa ekonomi negara.
Dari aspek kepimpinan pula, para belia kita turut menyandang pengiktirafan dari luar negara atas usaha dan komitmen yang mereka laksanakan, sama ada di peringkat ASEAN mahupun antarabangsa, seperti dalam bidang kesukarelawan, kemanusiaan dan kesukanan.
Baru-baru ini, atlet-atlet belia mengharumkan nama negara dengan meraih pingat dan kejayaan dalam kejohanan sukan prestasi tinggi pada Kejohanan Asia Tenggara (SEA Games) ke-31 di Vietnam dan The World Games 2022, Birmingham, Amerika Syarikat.
Namun Beta suka mengingatkan, bahawa ‘keharuman’ nama Negara Brunei Darussalam memang sudah sedia ada, walaupun tanpa meraih sebarang pingat. Tetapi yang lebih penting bagi kita bukanlah mengejar pingat, bahkan sangat utama ialah ‘Menjaga Nama Baik Negara’ dalam apapun bentuk tindak tanduk atau aktiviti kita.
Kalaupun hendak menempah kejayaan, maka para belia juga adalah tetap dituntut untuk tidak mengabaikan akhlak yang mulia dan tidak meminggirkan ke tepi calak kebruneian kita: “Melayu Islam Beraja.”
Beta yakin, inilah wadah atau landasan strategi yang sangat sesuai lagi afdhal untuk dilalui oleh para belia kita. Jangan fikir, dengan wadah ini kita berundur ke belakang, tidak! Tetapi para belia kita masih sahaja tetap berpeluang untuk melakukan pelaburan berskala besar ke persada yang lebih tinggi dan malah mampu untuk mencetuskan perubahan-perubahan dalam usaha-usaha pemulihan dan perkembangan ekonomi.
Pada kesempatan ini, Beta menyeru semua agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara amnya, untuk terus mendukung perlaksanaan Dasar Belia Negara dan Strategi, demi memastikan perlaksanaan dan kejayaan program yang dirancang menepati sasaran.
Untuk akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka, sama-sama membangun dan memajukan negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
