TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN
KALI KE-19
TEMA: ‘BELIA SIAGA MASA DEPAN’
PADA HARI RABU:
02 SAFAR 1446H / 07 OGOS 2024
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kerana dapat sama-sama berkumpul untuk menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-19 pada pagi ini.
Generasi belia adalah sumber tenaga yang sangat berharga. Maju dan mundurnya bangsa berkait rapat dengan prestasi belia.
“Belia Harapan Bangsa” adalah ungkapan yang sering diucapkan yang membawa makna sangat besar dalam menerajui pembangunan negara.
Beta ingin melihat lebih ramai golongan ‘Belia Cemerlang’ yang berani mendepani perubahan dan meneroka bidang-bidang baharu dalam masyarakat.
Kerajaan Beta melalui kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mewujudkan pembangunan mampan.
Kerjasama padu melalui pendekatan senegara adalah penting untuk dijadikan amalan, demi memastikan rantaian ekosistem berjaya diwujudkan, selaras dengan pertumbuhan ekonomi secara berterusan.
Dalam hubungan ini, Beta sukacita melihat ramai golongan belia mempelopori bidang keusahawanan dan perniagaan. Beta berharap golongan belia akan terus mampu untuk bersaing dan meneroka pasaran serta peluang-peluang baharu, lebih-lebih lagi berupaya untuk menembusi pasaran luar negara.
Oleh itu, agensi-agensi berkenaan adalah perlu untuk meningkatkan usaha dan memikirkan tatacara yang mudah bagi belia menceburi perniagaan dan sebagainya, termasuk memudahkan urusan peminjaman modal-modal perniagaan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam bidang inovasi dan teknologi.
Beta turut mengambil maklum, mengenai sumbangan belia ke arah Matlamat Pembangunan Mampan dengan perlaksanaan Dialog Belia Pembangunan Mampan Kohort Ke-2 dengan menfokuskan kepada tanggungjawab penggunaan dan pengeluaran (Responsible Consumption and Production).
Sangat diharapkan, ianya akan dapat menjadi wadah bagi para belia meneruskan usaha ke arah mencipta masa depan yang cemerlang.
Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada setiap 1 Ogos adalah merupakan pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan golongan belia dalam pembangunan negara.
Namun masih perlu diingatkan, dalam mengejar kejayaan, golongan belia hendaklah tetap mengekalkan ciri-ciri kebruneian, dengan mematuhi dan menghormati hukum-hukum ugama dan Undang-Undang.
Untuk akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
