Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-32, Tahun 2025

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN
HARI PERKHIDMATAN AWAM KE-32
TAHUN 2025

PADA HARI ISNIN:
0 6 RABIULAKHIR, 1447H / 29 SEPTEMBER, 2025M

DEWAN PLENARI
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat berhimpun di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-32, Tahun 2025 pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga perkhidmatan awam yang terus bertanggungjawab menyumbangkan bakti kepada bangsa dan negara.

Kita mengambil perhatian bahawa dunia adalah semakin cepat berubah sehingga apa yang kita ada sebelumnya mungkin tidak relevan lagi pada hari ini.

Begitulah juga dengan cabaran ekonomi global, dengan mengambil kira perubahan iklim dan risiko kesihatan awam yang sukar diramal, serta corak pekerjaan yang berubah akibat kemajuan teknologi.

Ini termasuklah demografi negara yang berubah, dengan penuaan penduduk dan aspirasi generasi muda yang semakin berbeza.

Perkhidmatan Awam perlu peka terhadap cabaran-cabaran ini dan mesti bersifat tangkas dalam mengemaskini dasar, proses dan perkhidmatan untuk masa depan. Ketangkasan inilah yang menentukan sama ada kita mampu merebut peluang di sebalik setiap cabaran.

Sesungguhnya dalam setiap ujian, Allah Subhanahu Wata’ala telah menyediakan peluang untuk kita dapat berkembang dan maju. Malah dalam setiap kesukaran pasti ada kemudahan menurut Al-Qur’an.

Di peringkat individu, setiap penjawat awam mesti tangkas dalam melaksanakan tugas, dan juga perlu memahami objektif sebenar kita berkhidmat untuk bangsa dan negara. Kita tidak mahu sebarang kepincangan berlaku dalam perkhidmatan awam negara.

Kita mengakui bahawa apabila kerumitan menjadi realiti, tidak ada satu agensi pun yang mampu menyelesaikan cabaran secara bersendirian. Tiada agensi tunggal yang memonopoli pengetahuan atau kepakaran.

Lalu dalam Islam, kita telah diajar untuk saling tolong-menolong dan bekerjasama. Sesungguhnya kerjasama itu adalah kunci utama untuk mencapai apa jua matlamat yang disasarkan.

Sehubungan ini, Beta gembira mengetahui adanya inisiatif ‘Pemedulian’ telah diperkenalkan. Harapan Beta, inisiatif ini bukan setakat untuk mempercepatkan tindakan susulan terhadap aduan dan maklum balas rakyat, malah juga menjadi pemangkin kepada perubahan sikap dan minda dalam perkhidmatan awam.

Warga perkhidmatan awam juga, perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, kerana pendekatan seperti ini sudah terbukti mempermudah kerja, dan seterusnya memberikan ruang kepada penjawat awam untuk memfokus tugas-tugas teras yang sangat perlu.

Beta mahu, apa pun yang dilalui dalam perkhidmatan awam akan dapat menjadi sandaran, bukan sahaja untuk memenuhi kehendak masa kini, malah juga sebagai asas melaksanakan transformasi yang diperlukan dan sekaligus merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Oleh itu, Beta penuh berharap Pameran dan Persidangan Khas Perkhidmatan Awam Tahun 2025 akan mencetuskan wacana dan kefahaman lebih mendalam terhadap pembaharuan yang sedang rancak diteroka di peringkat serantau dan antarabangsa. Inisiatif ini juga merupakan permulaan yang tepat pada masanya sebagai pemangkin kepada perubahan dan kecemerlangan perkhidmatan awam.

Akhirnya, Beta menyeru seluruh penjawat awam supaya memperkukuhkan lagi perpaduan dan berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara, sesuai dengan sifat perkhidmatan awam sebagai tulang belakang bagi menjayakan segala rancangan untuk kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Beta juga tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para penerima anugerah pada tahun ini atas khidmat bakti mereka yang cemerlang. Semoga pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada semua untuk terus menyumbang jasa dengan ikhlas dan amanah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*    *    *