TITAH PERUTUSAN

 

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN

SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

HARI RAYA ‘IDIL FITRI

TAHUN 1442H/2021M

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kedatangan Syawal wajar disyukuri oleh semua kita umat Islam, kerana ia adalah merupakan hadiah berharga daripada Allah Subhanahu Wata’ala kepada para hamba-Nya setelah mereka berjaya menunaikan kewajipan berpuasa. Marilah kita sama-sama menyambutnya dengan takbir dan tahmid mengagungkan Allah.

Di antara ni’mat kurnia Allah kepada Negara Brunei Darussalam ialah keadaan selamat, sehingga mengizinkan kita untuk dapat menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih berjemaah dan juga bertadarus Al-Qur’an di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat pada tahun ini. Sementara pada Syawal pertama pula, kita akan berkunjung ke Rumah-Rumah Allah untuk menunaikan Sembahyang Sunat ‘Idil Fitri.

Keadaan yang mengizinkan ini sudah setentunya akan menambahkan lagi keceriaan dan kegembiraan kita menyambut Hari Raya.

Namun begitu, langkah berhati-hati masih sahaja menjadi keutamaan, tidak terkecuali dalam suasana kita berhari raya. Garispanduan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi tahun ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya di samping garispanduan dan nasihat yang lain.

Dalam pada itu, sangat penting untuk diingat, bahawa kita tidaklah boleh mengabaikan keselamatan dan kesihatan, termasuk bagi pengguna-pengguna jalan raya dalam masa merayakan hari yang mulia ini. Langkah-langkah berwaspada dan mematuhi undang-undang adalah diperlukan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Dalam situasi pandemik masa kini, kebiasaan cara berhari raya dalam bentuk ziarah menziarahi mestilah disesuaikan demi kebaikan. Misalnya penyesuaian itu, sambutan hari raya pada tahun ini eloklah disambut secara sederhana sahaja, bukan secara besar-besaran.

Juga mustahak diingat, bahawa suasana hari raya bukanlah sebab atau alasan untuk meringan-ringankan tugas dan tanggungjawab selaku jentera kerajaan. Adapun bekerja dengan gigih dan tekun adalah merupakan satu ibadat dan amanah yang dituntut oleh ugama. Oleh itu, janganlah ia diabaikan, kerana mengikutkan emosi semata-mata.

Sudah biasa berlaku pada setiap tahun, bahawa terdapat pejabat yang kosong atau hampir kosong, kerana pegawai dan kakitangannya keluar berhari raya pada waktu bekerja.

Beta mahu supaya kebiasaan yang tidak bagus ini janganlah ia berpanjangan atau sampai jadi budaya yang merugikan.

Ia bukan sahaja menyalahi peraturan, bahkan juga menyalahi ugama.

Sebagai umat Islam, kita perlu membetulkan kesilapan seperti ini dari berpanjangan.

Akhir kalam, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri al-Mubarak kepada semua rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada, semoga kita semua sama-sama beroleh petunjuk dan pemeliharaan Allah Yang Maha Kaya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.