TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERSEMPENA
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA
BAGI TAHUN 1442H/2021M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana nikmatNya berupa keamanan, kesejahteraan dan kesihatan dapat kita nikmati bersama.

Malah kita wajib bersyukur kerana masih berupaya melaksanakan amal-amal salih, suatu sebab atau punca pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala terus dapat kita terima.

Kepala dari segala amal salih itu ialah rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu muslim. Inilah ‘Ugama Islam’ itu, dan tiangnya pula menurut Hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah ibadat Sembahyang Lima Waktu.

Terdapat puluhan ayat di dalam Al-Qur’an mengenai dengan sembahyang, antaranya ayat 277, Surah Al-Baqarah, tafsirnya:

          “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal salih serta mendirikan sembahyang dan membayar zakat, bagi mereka itu adalah pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada ketakutan atas mereka serta mereka juga tidak akan berdukacita.”

Cuba kita perhatikan, bahawa Allah Subhanahu Wata’ala tidak memisahkan dua rukun ini, Sembahyang dan membayar Zakat, kerana Sembahyang adalah bukti berlakunya hubungan hamba dengan Tuhannya, manakala Zakat pula menjadi lambang adanya ikatan tanggungjawab sesama insan.

Di sini, bolehlah dirumus, bahawa perintah mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat itu, mengandungi rahasia ‘kebaikan’ untuk semua, iaitu dengan sembahyang, kita memperkubu diri dari segala keburukan dunia, manakala membayar zakat pula bererti mensucikan harta, dengan cara, menunaikan hak para penerima zakat. Adapun harta yang ada pada kita, bukanlah 100 peratus milik kita, melainkan ada bahagian yang menjadi hak kepada asnaf zakat menerimanya.

Jika kita mendalami sungguh-sungguh akan hikmah atau rahasia dua rukun ini, sudah tentu kita akan lebih terikat untuk melaksanakannya. Kerana dengan berbuat demikian itu, untung laba di dunia dan di akhirat akan sama-sama diperolehi.

Keuntungan di dunia bagi orang sembahyang ialah, akan beroleh ketenangan dan keselamatan, sementara bagi pengeluar zakat, telahpun dijanjikan pertambahan harta, bukannya kurang. Dan manakala keuntungan di akhirat pula, akan diganjar oleh Allah dengan syurgaNya.

Adalah menjadi syarat umum bagi memperolehi syurga itu, ialah dengan melakukan keta’atan kepada Allah dan RasulNya, di mana antara ciri-ciri keta’atan itu, ialah mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, disamping juga tidak mengabaikan segala amal ta’at yang lain-lain. Orang-orang yang berada di dalam lingkungan ini akan menerima janji Allah, sebagaimana firmanNya dalam Surah An-Nisa ayat 13, tafsirnya:

          “Barangsiapa yang menta’ati Allah dan RasulNya, akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka itu kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar.”

Pada hemat Beta, umat Islam di negara ini sudahpun memahami dengan baik konsep ta’at itu, dan sedang menjalaninya dalam kehidupan. Kerana itu Allah Subhanahu Wata’ala telah menampakkan sedikit kesan daripada keta’atan itu, iaitu berupa nikmat keamanan, kemakmuran dan keselamatan, termasuk keadaan luar biasa, di mana negara kita seolah-olah sudah benar-benar bebas dari penularan wabak koronavirus, sedang di luar sana, orang masih bergelut menanganinya.

Apakah ini tidak mungkin satu bentuk ‘pemeliharaan’ Allah terhadap kita, kerana kita telah memenuhi pensyaratan ta’at yang dikehendakiNya yang antara lain berupa: Sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa, membaca Al-Qur’an, berzikir dan berdo’a tanpa ada penghujungnya.

Allahumma, mohon supaya dikekalkan keberkatan ini. Ameen.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.